TAJAM matanya memanah pada jambangan mawar merah di atas meja. Simbolik untuk menyatakan perasaan cinta. Dalam tak sedar, dia mendengus kasar. Kad ucapan sebesar tapak tangan yang diselitkan bersama jambangan tersebut dicapai. Satu-persatu ayat yang tertera di atas kad ucapan itu dibaca.
To my dear Zariel :
Happy 31st Birthday, Darling!Ucapan seterusnya tidak lagi dibaca. Kad tersebut kemudian direnyuk sehingga bentuk asalnya langsung hilang.
"Rubbish!"
Makian Zariel berdengung di halwa telinga sendiri. Jambangan bunga serta kad ucapan itu terus dicampak ke dalam hallbar bin. Ditarik dan dihembus nafasnya. Cuba meredakan gelojak amarah dalam dada. Kemudian, jari menekan butang interkom.
"Come in."
Ringkas dan padat. Tak sampai beberapa saat, pembantu peribadinya muncul di muka pintu.
"Yes, Tuan Zariel?" Amar, si pembantu berdiri tegak di depan meja Zariel bersama iPad di tangan.
Zariel sandarkan badan di kerusi empuknya. Tangan disilang ke dada, lensa mata memaku pada wajah Amar yang kelihatan sedikit cuak. Ah, si pembantu peribadi itu sudah terlalu arif dengan pelbagai bentuk bahasa tubuh majikannya. Ketenangan yang ditunjukkan oleh Zariel sebenarnya lebih menggerunkan berbanding sisinya yang lain.
"Macam mana sampah-sampah ni boleh ada dalam pejabat aku? Kau tak buat kerja kau, Amar?"
Tidak perlu Zariel spesifikasikan jenis sampah yang dimaksudkan. Amar lebih tahu kerana setiap barang yang dihadiahkan perlu melalui si pembantu terlebih dahulu. Jika barang tersebut jelas tidak patut sampai ke tangan Zariel, Amar akan pastikan barang tersebut lenyap dari dijamah mata si majikan. Tapi, bagaimana sampah yang satu ini boleh terlepas pandang?
"Saya minta maaf, Tuan Zariel... Hadiah tu..."
"Aku tak nak dengar alasan, Amar." Belum sempat Amar habiskan bicara, keras Zariel memintas. Renungannya kini lebih gelap dan mendalam. Suasana yang sememangnya sejuk di ruang tersebut, bertambah beku dek kedinginan Zariel. Atmosfera tika itu sedang didominasi oleh bos besar Menara Group.
"Cik Hani minta saya sampaikan bunga tu pada Tuan Zariel. Dia kata... kalau saya tak sampaikan pada Tuan Zariel, dia sendiri yang akan direct datang berjumpa dengan Tuan Zariel. Dalam masa satu jam, Cik Hani akan text Tuan Zariel untuk pastikan sama ada bunga tersebut sampai ke tangan tuan."
Berjela Amar membela diri. Sedikit pun inti patinya tidak dibiar cicir. Apa yang diberitahu oleh Hani, disampaikan sebijik kepada si majikan. Dan seperti yang dijangkakan, satu pesanan masuk ke dalam kotak mesej Zariel.
- You dah dapat bunga yang I bagi tu?
Dibiarkan mesej tersebut tidak dijawab. Bahkan, Zariel dengan selamba memadam kiriman tersebut dan menyekat nombor si pengirim. Dia kembali memandang Amar.
"After this, aku tak mahu sampah macam tu wujud depan mata aku lagi. Apa saja gift, aku nak kau terus buang. I will not allow that kind of trash to be on my desk again."
Seperti belatuk, kepala Amar terangguk-angguk. Melihat saja isyarat dari si majikan, Amar undur beberapa tapak ke belakang sebelum badannya dipusingkan lalu berjalan keluar. Rapat jenang pintu itu ditutup tanpa meninggalkan sebarang bunyi.
Nafas dijunjut masuk ke dalam paru-paru. Kepala yang tiba-tiba berdenyut, pantas dipicit kuat. Serabut otaknya mencari cara agar tiada lagi segala mesej mahupun hadiah dihantar kepadanya setiap hari. Bukan Zariel tidak tahu, setiap minit ada saja kiriman yang diberikan kepadanya. Kalau bukan Hani, pasti perempuan lain yang langsung tidak Zariel kenali.
YOU ARE READING
4.0 | HIS POSSESSION
RomansaHidup berdua bersama mak di kampung, cukup membahagiakan Seroja. Adanya Irwan yang tak pernah jemu mengusik, melengkapkan lagi hari-harinya. Namun, takdir hidup tidak selalunya indah. Ujian yang datang bertimpa-timpa membuatkan Seroja tidak mampu ba...