PUAN ANIDA memandang tajam ke arah Izzul. Kini mereka dua beranak sedang duduk berehat di balkoni rumah itu. Hanis pula sudah masuk ke dalam bilik untuk berehat. Hawra di bilik bawah tidak diendahkan oleh Puan Anida. Izzul juga tidak menjenguk atau bertanya tentang diri Hawra.
"Mak. Izz dah cakap banyak kali. Izz tak kan ceraikan Ara," luah Izzul.
"Apa lagi yang Izz nak daripada dia? Anak? Dia tak boleh beri Izz anak. Izz nak dia buat apa lagi?"
"Izz tak sampai hati nak berpisah dengan Ara. Ara ada dengan Izz dari zaman universiti," tutur Izzul.
Itulah hakikatnya. Disaat kawannya yang lain menjauhkan diri kerana kegagalannya, Hawra datang menghulur tangan untuk membantu. Kekasih hatinya ketika itu tidak pernah meninggalkan dirinya untuk lelaki lain. Oleh sebab itu, dia cukup terhutang budi dengan Hawra.
"Kalau Izz dan Ara berpisah sekalipun, ianya tak jejaskan apa-apa. Sekarang ni pun, mak tengok Izz tak peduli pun dekat Ara. Jadi apa gunanya Ara dalam rumah ni? Kesian dekat Hanis. Dia yang kena hadap Ara dalam rumah ni," tutur Puan Anida dengan lembut.
"Nantilah Izz fikir. Buat masa sekarang, Izz nak Ara ada dekat rumah ni. Sampai bila, Izz sendiri tak tahu."
"Mak pun pening dengan kamu ni. Benda tak berguna, kita kena buang. Takde manfaat kalau kita simpan," caci Puan Anida.
"Mak. Ara masih isteri Izz. Bila mak caci dia, hati Izz pun terguris."
Izzul mengeluh perlahan. Bukannya dia kejam dalam membiarkan Puan Anida menghina Hawra. Tetapi Puan Anida itu adalah ibunya. Dia tidak sampai hati menegur ibunya dengan kasar.
"Kalau Izz tak nak hati Izz terguris, ceraikan Ara. Itu je yang mak nak. Boleh ya Izz," rayu Puan Anida.
"Izz dah penat lah mak. Izz nak tidur dulu. Kita borak esok pula ya."
Pipi Puan Anida dicium sayang sebelum dia berlalu ke bilik. Puan Anida yang masih berada di balkoni itu mula merencana sesuatu. Dia perlu menggunakan jalan kotor untuk memisahkan anaknya dan juga menantunya itu.
🌼
HAWRA menarik nafas secara perlahan-lahan. Saat dia cuba mengangkat kotak besar itu, dadanya tiba-tiba berasa sesak. Malah tekaknya juga terasa nyeri. Badannya juga terasa lenguh ekoran daripada kerja yang dibuat sepanjang hari sewaktu Puan Anida di rumah.
"Ara? Kau kenapa?" Muncul Fairuz yang kebetulan lalu di bahagian Hawra bekerja.
"Dada aku rasa sakit sangat Fairuz. Tolong aku..." Lirih Hawra sambil memegang bahagian dadanya.
Fairuz segera menelefon pekerja perempuan yang lain. Mereka semua segera membantu Hawra untuk dibawa ke bilik rehat. Di bilik rehat, Wina menjaga Hawra. Mereka yang lain juga sudah kembali ke tempat masing-masing.
"Wina...aku tak boleh tahan. Aku tak boleh bernafas," tutur Hawra tiba-tiba.
Wina segera menghubungi pihak hospital. Dia juga sudah cuak apabila melihat Hawra seolah tercungap-cungap. Fairuz yang kebetulan mahu memeriksa keadaan Hawra juga terkejut apabila melihat Wina membantu Hawra untuk bernafas.
Bunyi ambulans yang tiba menggemparkan pasar raya itu. Petugas segera membawa Hawra ke hospital. Fairuz sudah meminta Wina untuk menemani Hawra ke hospital. Dia juga sudah memaklumkan kepada pengurus mereka tentang keadaan Hawra. Mujurlah pengurus mereka dapat menerima perkara itu.
🌼
MANIS yang baru tiba di hospital segera berlari ke unit kecemasan. Dia berasa cemas saat menerima panggilan daripada Fairuz. Mujurlah Fairuz mempunyai nombor telefonnya.
"Hi nurse. Boleh saya tahu pesakit nama Hawra dekat wad mana?" Soal Manis dengan nafas tercungap-cungap.
"Kejap ya." Jururawat itu segera memeriksa nama pesakit yang baru dimasukkan ke hospital.
"Nama dia Hawra Farhah ke?"
"Ya betul."
"Dia masih dalam bilik doktor. Awak boleh tunggu dekat sana," ucap nurse tersebut sambil menghala ke arah kanan.
"Terima kasih." Manis segera bergerak ke bahagian yang disebut oleh jururawat itu.
Sampai di bahagian yang disebut, dia bertemu dengan Wina. Dengan segera dia menyapa Wina yang sedang bermain telefon.
"Wina...macam mana dengan keadaan Ara?" Soal Manis dengan kalut.
"Manis. Dr. masih rawat dia. Aku dengan yang lain pun tak tahu punca dia. Ara cuma sesak nafas dekat pasar raya," jelas Wina dan meminta Manis untuk duduk.
"Ya Allah. Mesti demam dia teruk semalam."
Manis sudah resah. Dia berharap tiada yang buruk berlaku kepada Hawra.
Beberapa minit selepas itu, muncul seorang doktor perempuan yang merawat Hawra. Manis dan Wina segera bangun.
"Macam mana dengan kawan saya, Dr.?" Soal Manis dengan rasa debar.
"Boleh saya dapatkan maklumat penjaga dia?" Pinta Hasya tiba-tiba.
"Untuk apa ya? Dia ada masalah kesihatan yang serius ke?"
"Nampaknya macam tu. Jadi saya perlu berbincang dengan penjaga dia. Sama ada mak ayah dia atau suami dia," terang Hasya lagi.
Manis mula berasa lain. Mustahil Izzul mahu menjaga Hawra saat itu. Tambah pula Izzul baru sahaja berkahwin dengan Hanis. Lelaki itu sahaja sudah banyak mengabaikan Hawra.
"Boleh Dr. beritahu saya? Dia anak yatim piatu. Jadi saya seorang je yang dia kenal." Manis cuba untuk mengelakkan Izzul daripada mengetahui semua itu.
Hasya mula berfikir semula. Dia seolah dapat meneka situasi yang dialami oleh Hawra. Malah kandungan nutrisi dalam budak gadis itu juga agak merisaukan. Tampak seperti Hawra tidak makan untuk beberapa hari.
"Boleh. Saya akan minta jururawat untuk bawa dia ke wad biasa. Awak ikut saya ke bilik untuk kita bincang." Hasya segera mengarahkan jururawat lain untuk membawa Hawra ke wad biasa.
Manis meminta Wina supaya menjaga Hawra terlebih dahulu. Wina hanya menurut sahaja kerana dia juga sudah mengambil cuti separuh hari.
🌼
DR. HASYA dan Manis berjalan bersama-sama ke bilik kerja Hasya. Di sana Manis menunggu kehadiran Hasya yang sedang menelefon seseorang. Sewaktu Hasya duduk di hadapannya, Manis mula berasa berdebar.
"Dukacita saya sampaikan bahawa Cik Hawra mempunyai kanser," ucap Dr. Hasya dengan helaan nafas yang agak kecewa.
Manis terkedu saat itu. Dia seolah merasakan semuanya adalah mimpi. Sahabatnya yang dulu ceria dan aktif disahkan sebagai pengidap kanser.
"Betul ke Dr.? Dr. tak main-main kan?"
"Maafkan saya Cik. Simptom yang ada pada Cik Hawra sekarang jelas menunjukkan dia mempunyai kanser. Kami akan buat diagnosis sekali lagi untuk betul-betul confirmkan. Jadi saya harap Cik dapat bersabar dengan perkara ini."
Hasya juga tidak suka menyampaikan berita duka itu kepada penjaga pesakitnya. Tetapi itulah hakikat yang cukup perit untuk mereka terima.
Saat itu juga, air mata Manis lantas menitis. Dia benar-benar berasa sedih dengan apa yang berlaku kepada Hawra. Segala dugaan yang dihadapi oleh Hawra cukup berat buat dirinya juga. Dia tidak mahu kehilangan Hawra lagi. Dia tidak mahu melihat sahabatnya itu bersedih lagi. Teresak-esak Manis menangis di bilik kerja Hasya. Hasya juga cuba untuk memujuk Manis supaya kembali tenang.
YOU ARE READING
PELENGKAP HATI DIA [ C ]
RomanceSebuah kisah yang agak berat buat insan bernama Hawra Farhah. Perkahwinan yang dirasakan indah untuk selamanya musnah kerana kemunculan orang ketiga dan sikap mertuanya sendiri. Ditambah pula dengan kekurangan diri yang tidak dapat disembuhkan. Ha...