17- Stories & The Light

40 8 0
                                    

SIKIT lagi nak tercabut leher Seroja tatkala wanita itu cuba untuk berpaling ke belakang bagi memandang sang jejaka yang sedang menolak kerusi roda yang didudukinya. Berkali-kali dia mengeluh dek kerana hal ini.

Ceritanya, tadi memang la Iman yang menghantarnya ke hospital. Namun, perempuan itu mendapat panggilan 'kecemasan' daripada kliennya lah pula. Jadi, terpaksa Iman tinggalkan Seroja sendiri di hospital ini. Katanya nak datang ambil balik selepas tamat sesi rawatan Seroja tapi tak juga Iman muncul.

Seroja pun tunggu lah di lobi hospital. Tahu-tahu, jejaka ini sudah datang tak dijemput. Entah daripada mana muncul, tiba-tiba sahaja ada.

"Saya ke sini untuk ambil ubat ibu saya". Jelas Lais tanpa dipinta.

Benar, dia ke sini memang untuk mengambil ubat ibunya di farmasi hospital ini. Baru sahaja dia jejakkan kakinya di lobi, terus matanya menyapa figura Seroja terlebih dahulu. Seolah-olah si mata tahu sahaja bahawa ada si wanita itu di mana-mana. Seakan matanya sendiri yang ternyata jelas selalu mencari-cari bayangan wanita itu walau di mana sahaja Lais berada.

"Saya tahu. Tadi kan awak bawa saya sekali ke farmasi tu". Balas Seroja senada. Dia agak tidak senang sebenarnya meminta atau menerima pertolongan daripada Lais tetapi malas pula dia mahu mengeluh dek kerana janjinya untuk berteman dengan lelaki ini sudah terpatri. Nanti terasa pula hati Lais jika Seroja menghalaunya pergi.

"Lah, tahu? Saya ingat awak tak tahu". Lais ketawa kecil di hujung sindirannya membuatkan dahi Seroja berkerut.

"Kenapa pula awak cakap macam tu?".

"Iya la... daripada tadi muka awak asyik berkerut saja. Macam banyak sangat persoalan untuk saya. Saya sebagai lelaki yang gentleman, tak tunggu ditanya, terus saya beri jawapan". Lais memberikan jawapan dengan sungguh lancar. Agaknya, pernah atau tidak lelaki ini tersasul atau tergagap, ya? Atau dia memang sudah dilatih untuk bercakap dengan selancar ini?

Seroja mengeluh sebelum berkata lagi,

"Awak tak sibuk ke harini? Kawan saya peguam juga, sibuk semacam saja dia". Seroja memaksudkan Iman.

"Kawan awak peguam apa?". Lais bertanya serius. Kali pertama dia mengetahui bahawa kawan kepada si nymphaea nouchali di hadapannya ini juga merupakan seorang peguam. Fakta menarik!

"Erm... Saya tak pasti lah pula". Aduhai, Seroja! Berkawan dengan Iman sudah lama namun dia peguam apa pun, kau tak tahu!

"Setiap peguam, jadualnya berbeza. Mungkin hari ini kawan awak tu ada kes, saya pula tak ada. Mungkin hari ini kawan awak ada meeting dengan klien dia, saya pula tak ada. Lagipun, kami berdua mungkin daripada syarikat guaman yang berbeza. Jadual pun mungkin lah berbeza". Lais menerangkan dengan penuh sabar. Dia tahu, Seroja mungkin tidak mengetahui hal ehwal orang yang berkerja dalam bidang undang-undang ini.

Tangan Lais setia menolak kerusi roda Seroja menuju ke arah sebuah food court terdekat. Dia lapar dek kerana masih belum sempat makan tengahari. Niatnya nak mengambil ubat Puan Azura kemudian pergi makan sekejap. Nak makan di rumah Puan Azura? Tidak sanggup lah Lais. Melainkan di waktu hujung minggu. Bukan kerana dia tidak menyukai masakan Puan Azura namun...

"Mungkin dia sibuk sedikit hari ini, saya pula tak. Sebab itu saya ada dengan awak sekarang". Sambung Lais lagi.

Seroja terdiam. Malas sudah dia mahu membuka bicara. Iya la, sudah tidak ada apa-apa yang harus dia perkatakan.

🍁

"LEPAS makan ni, kalau saya nak pergi ke kedai buku sekejap, boleh?". Pinta Seroja. Dia ingin melihat-lihat buku baharu yang ingin dibeli. Sudah berjanji dengan Iman sebentar tadi namun Iman pula ada kerja.

CAHAYA SEROJA ||OGWhere stories live. Discover now