*Prolog*

10 0 0
                                    

NURYN berhenti di persimpangan jalan yang dimasuki oleh MPV Dayyan. Dia memerhati sekeliling kawasan tersebut, gelap gelita dan hanya terdapat pokok-pokok getah. Entah ladang getah siapa yang mereka lalui, cuma terdapat papan tanda yang ditulis 'Dilarang Masuk' terpampang di tepi jalan itu.

Nuryn segera mengeluarkan telefon bimbitnya dan membuka aplikasi Google Map untuk mengetahui lokasi keberadaannya. Dia perlu menghantar lokasi itu kepada Ghadi supaya senang menemui mereka. Pesanan Ghadi supaya patah balik tidak diendahkan. Apa yang dia tahu, dia mesti menyelamatkan Qaid.

"Apa yang kau buat?" tanya insan yang menemaninya dari tadi.

"Eh! Kata polis Interpol, takkan tak tahu apa yang saya buat? Jangan buat lawaklah." Nuryn ketawa sambil terus menekan telefonnya.

"Aku rasa kau tak perlu buat begitu," nada suara insan tersebut sudah berubah, kedengaran agak dingin.

Nuryn kalih pandangan, hatinya terdetik rasa hairan. Kenapa 'dia' berubah menjadi dingin, tadi elok saja bercakap dengan Nuryn.

"Kenapa?" walaupun merasa cuak, Nuryn tetap bertanyakan soalan kepada 'dia'.

Tanpa menjawab soalan Nuryn, 'dia' merampas telefon bimbit Nuryn dan melempar telefon itu keluar. Telefon bimbit Nuryn berkecai setelah alat itu mencium asfalt. Ternyata balingan polis Interpol itu amat kuat.

"Apakah? Hei!! Kau dah gila??" tengkingan Nuryn memecah keheningan malam. Dia tidak peduli, polis ke, tentera ke atau siapa sekalipun... dia akan marah kalau menjahanamkan barangnya.

Nuryn tidak menyangka lelaki itu membuat perkara yang tidak pernah terlintas di fikirannya. Kenapa 'dia' sanggup melempar telefon bimbitnya sedangkan dia hampir menghantar lokasi keberadaan mereka kepada Ghadi? Apakah motifnya?

Entah macam mana, Nuryn terfikir sesuatu. Ilham datang secara tiba-tiba... "Jangan kata... kau... Dayyan... Shinji, jadi kau bukannya polis?" Nuryn sekadar meneka.

Mata Nuryn membulat besar selepas 'dia' ketawa dengan kuat, membenarkan segala teka teki yang bermain di kepala Nuryn.

"You're so clever my dear Nuryn. That's why everybody loves you." 'Dia' ketawa lagi, kali ini lebih kuat.

"Kurang ajar!!!" tahap kemarahan Nuryn sudah sampai paras bahaya apabila dia sanggup memaki. Nuryn bukanlah seorang yang suka mengeluarkan perkataan yang tidak elok itu sesuka hati. Pak Jan dan Mak Yam cukup marah jika Nuryn menggunakan perkataan carut kepada orang lain.

"Tck... tck... tck... tak elok gadis cantik macam kau maki aku macam itu."

"Kau bukan orang tapi setan!" Nuryn segera membuka pintu kereta setelah berkata demikian.

Nuryn tidak mampu duduk dan mengadap 'dia' lagi. Dia mesti lari dari situ. Nyawa dia pula dalam bahaya. Keadaan gelap dan dikelilingi pokok getah menyukarkan Nuryn memastikan kedudukannya dan dia tidak biasa di tempat ini. Tak pernah datang atau lalu pun di sini.

'Dia' hanya memerhati Nuryn berlari tidak tentu arah di sebalik pokok getah dan ternyata 'dia' amat kagum dengan keberanian Nuryn, sanggup melarikan diri dengan menempuh kegelapan malam. Tidak menunggu lama, 'dia' mengejar Nuryn sepenuh tenaga.

'Dia' tidak boleh membiarkan Nuryn lepas. Sebentar tadi pun nasib baik 'dia' sempat memecahkan telefon bimbit Nuryn, jika tidak pasti polis akan menyerbu tempat ini. 'Dia' juga bernasib baik apabila melihat Nuryn menyaksikan Dayyan dan konco-konconya menculik Qaid.

Nasib baik juga Nuryn mempercayainya sebagai polis Interpol tanpa banyak soal jadi senang kerjanya untuk mengikuti Nuryn hingga ke sini. Kasihan pula kerana menipu Nuryn yang naif itu tapi jika 'dia' tidak berbuat begitu kemungkinan rahsia mereka akan terbongkar.

"Nuryn! Kau tak boleh lari daripada aku!" 'Dia' memberi amaran kepada Nuryn.

Nuryn tidak peduli, selagi hayat dikandung badan, dia tidak akan menyerah. Nuryn perlu hidup untuk menyelamatkan Qaid. Ya, Qaid perlukannya. Dia sendiri tidak boleh kehilangan Qaid, Nuryn tidak mampu.

Penat berlari, Nuryn menyembunyikan diri di sebalik pokok getah. Dia mencari nafas sebelum lari lagi. Pokok getah itu tidak mampu untuk melindunginya daripada 'dia'. Batang pokok getah agak kecil jika dibandingkan dengan pokok di dalam hutan.

"Nuryn, tak guna kau lari, aku akan jumpa kau juga nanti."

'Pergi mampuslah kau!' Hanya perkataan itu bergema di dalam hati, Nuryn tidak berani meluahkan secara kuat.

"Come here puss... puss... come to papa."

Nuryn berasa seram sejuk mendengar suara 'dia'. Nampaknya 'dia' lebih psiko daripada Dayyan. Nuryn memeluk tubuh sendiri, cuba mencari jalan untuk melarikan diri daripada 'dia'.

'Dia' tersenyum melihat kelibat Nuryn di sebalik pokok, lantas menghampiri tempat persembunyian Nuryn dengan perlahan. Bunyi ranting patah mengejutkan Nuryn dan sebaik saja Nuryn ingin bangun untuk melarikan diri...

"Gotcha!"

Pukulan di bahagian leher Nuryn membuatkan pandangan Nuryn kelam dan jatuh ke pangkuan 'dia'.

'Dia' tersenyum kemenangan dan sudah merangka apa yang dia akan buat kepada Nuryn dan Qaid.

"It's gonna be fun tonight." Tawanya yang menyeramkan bisa membuat bulu roma meremang sesiapa yang mendengarnya. 

 

Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.
Anda telah sampai ke penghujung bahagian yang diterbitkan.

⏰ Kemaskini terakhir: Sep 02, 2024 ⏰

Tambah cerita ini di Pustaka anda bagi pemberitahuan tentang bahagian baharu!

QAID UZAIR - MISI GERAKAN SINGATempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang