1490, Balairung Istana Melaka, Tanah Melayu. Jam 12.40 pagi.
Melihat tindakan Kasturi, hulubalang cuba menghalang, namun cubaannya terhenti apabila Sultan memberi isyarat agar membiarkannya. Kasturi yang tahu akan kesalahannya cepat cepat menuju ke hadapan Sultan lalu bersujud memohon ampun.
"Ampun tuanku! Sembah patik harap diampun! Patik mohon belas kasihan tuanku! Lepaskan lah gadis tidak berdosa ini!" Rayunya bersungguh.
"Bangkit Kasturi!" Titahnya.
"Patik mohon tuanku!"
"Beta kata, bangkit!" Nadanya yang meninggi membuatkan Kasturi bangkit serta merta. Bayangan akan dikenakan hukuman bunuh sudah berada dalam fikiran Kasturi saat melihat wajah menakutkan yang dipamerkan Sultan.
"Ada apa apa yang tuan hamba ingin beritahu beta?" Sengaja dijongket sebelah keningnya sebagai amaran supaya jangan menipu. Nampaknya Kasturi kelihatan teragak agak untuk berbicara seakan ada sesuatu yang cuba dia sembunyikan.
"Beta tidak ada masa untuk menunggu Kasturi. Jika ada sesuatu yang mahu tuan hamba katakan, ini lah masanya. Pokok pisang tidak berbuah dua kali, ingat tu." Bijak dia bermain dengan kata kata untuk menekan Kasturi. Melihat air muka Sultan yang seakan mengugutnya, dia tidak mampu lagi memendam.
"Ampun tuanku! Patik berdosa! Patik telah jatuh cinta dengan gadis tidak berdosa ini! Ampunkan patik, tuanku!" Kasturi kembali sujud memohon ampun. Jika diikutkan, pengakuan Kasturi ini akan benar benar membawanya ke hukuman bunuh. Salah di sisi undang undang untuk menyatakan perasaan cinta kepada bakal isteri Sultan. Tindakan itu seakan mengkhianati Sultan bahkan suatu bentuk penderhakaan.
"Jika benar tuan hamba mencintai Tun Teja, lalu mengapa tuan hamba memberi sirih jampi kepadanya supaya jatuh cinta kepada beta?" Kenyataan itu sekali lagi membuatkan Kasturi terkaku. Bagaimana rancangannya boleh sekelip mata terbongkar? Semuanya telah dirancang sebaik mungkin. Mana silapnya? Anak matanya mula melirik ke arah saudaranya, Tuah yang sedang berdiri di belakang Sultan. Lelaki itu sejak dari tadi hanya berdiam dan kelihatan tenang seakan dia bukan sebahagian daripada semua ini. Adakah Tuah telah mengkhinatinya? Tiba tiba, api kemarahan menyala dalam dirinya.
"Eh, jangan nak tengok Tuah macam tu eh. Dia tak salah. Beta memang sudah tahu dari awal, Kasturi. Bahkan sebelum hamba berdua pulang ke istana," Tidak sempat api kemaharan itu marak, dia telah menyimbah air dan memadamnya dengan kata kata itu. Kasturi terpempan. Dia sudah buntu dan tidak tahu alasan apa lagi yang boleh dijualnya.
"Beritahu beta Kasturi, mengapa tuan hamba memberi sirih jampi itu kepada Tun Teja?"
"Ampun tuanku, memang benar, patik yang berdosa tuanku. Setelah Bendahara Seri Amar menampik lamaran tuanku untuk memperisterikan Tun Teja, patik enggan pulang ke istana tanpa membawa gadis itu kerana patik gerun akan apa yang bakal terjadi sekiranya hamba berdua tidak mengabulkan hajat tuanku," Air mukanya terpapar rasa serba salah dan berdosa tapi dia perlu juga berterus terang kerana sepandai pandai tupai melompat, akhirnya pasti akan jatuh ke tanah jua.
"Telah patik sarankan kepada Tuah agar diberi patik peluang untuk memujuk Tun Teja. Pada mulanya Tuah enggan tapi akhirnya dia bersetuju untuk membenarkan patik memujuk Tun Teja. Tujuh hari berlalu sehingga akhirnya patik berjaya memujuk Tun Teja untuk melarikan diri ke Melaka. Tapi, patik memberitahu Tun Teja bahawa tujuan pelarian ini adalah untuk memperisterikannya, ampun tuanku. Maka setelah tiba di Melaka, patik dengan saranan Tuah telah memberanikan diri untuk berkata jujur kepada Tun Teja. Namun gadis itu tidak mahu menerima Tuanku sebagai suaminya kerana dia telah jatuh cinta kepada patik—"
"Dan Kasturi juga telah jatuh cinta kepada Tun Teja, bukan?" Dia menyampuk untuk kepastian.
"Benar, tuanku. Tapi cinta patik tiadalah ertinya jika patik berlaku durhaka kepada tuanku—"

YOU ARE READING
Hikayat Suatu Cinta Dahulu
FantasíaMacam mana kalau sebenarnya Hang Tuah tak pernah jatuh cinta pada Puteri Gunung Ledang? Macam mana kalau sebenarnya Hang Tuah taat pada Sultan bukan kerana setia? Dan macam mana pula kalau Sultan sebenarnya punya perasaan pada Hang Tuah? Semua perso...