KOTA raya Kuala Lumpur hujan sejak beberapa hari ini dan bila hujan terlalu lebat, pasti akan berlaku banjir kilat. Jalan raya akan menjadi sesak berkali-kali ganda daripada biasa. Segala perkhidmatan juga akan menjadi lambat.
Tiani mengeluh tipis. Hujung jarinya mula terasa sejuk. Tak tahulah kerana perubahan suhu di luar atau kerana diri sendiri. Malah, dia dapat rasa, telapak tangan yang lembap. Belakang lehernya juga terasa basah.
Sungguh... Dia tak rasa selamat untuk ada di tengah begini. Malah, dengan begini ramai orang asing. Dia hanya akan selamat bila ada di rumah sendiri bersama keluarganya.
Pagi tadi, Abang Taufiq yang hantar dan setelah itu, abang terus bertolak balik ke Lumut. Nak harap dekat Teratai Nur dan Lailatul, dua orang tu hingga ke hari ini belum ada lesen memandu. Dia pula, tak pernah memandu sendiri sejak kejadian itu.
Dan sekarang, dia pulak perlu kejar penerbangan ni. Andai dapat ke KL Sentral pun jadilah. Dia akan ambil ERL. Tapi, masalahnya dah tiga pesanan e-hailing dibatalkan untuk alasan yang sama.
Tiani duduk di atas kerusi di lobi yang nampak mula sibuk dengan manusia yang boleh jadi sama sepertinya. Terperangkap kerana hujan lebat. Guruh yang berdentum membuatkan lututnya terasa longgar. Bunyi itu tak ubah seperti tembakan. Suara bicara orang tak ubah seperti suara orang gasar mengherdik, memarahi dan mengugut mereka. Saat ini, dia harap Abang Fiq datang menyelamatkannya sepertimana yang pernah dilakukan dahulu.
Dia tekup telinga. Tunduk hingga wajahnya hampir rapat ke riba. Sekujur tubuhnya sedang menggigil. Setiap suara yang berbicara terus mengasak minda warasnya. Dia bagai tak boleh beza kenyataan dan memori yang menyakitkan.
Kilauan kilat diikuti dentuman guruh yang berterusan membuatkan dia hampir menjerit. Tiani tekup mulut. Nafasnya mula tidak teratur. Birai matanya sudah basah. Pandangan mata kabur. Betapa kuat dia menekan peluput telinganya; menutup pendengaran, bunyi itu semakin kuat.
Air mata Tiani menitis di atas riba sendiri. Dadanya terasa sendat. Dia dengar suara tangisan Teratai Nur, Lailatul dan Johanees. Dia jelas nampak diri mereka yang bergelimpangan bersama beberapa tahanan lain di dalam sebuah kontena sempit dan gelap.
Degup jantungnya begitu kencang. Mendengar derap tapak kasut yang keras menendang dinding kontena. Malah, bunyi itu kian lama kian rapat padanya. Dia bergerak ke depan bila pintu kontena itu dibuka. Menghadang jasad Lailatul, Johanees dan Teratai Nur saat itu dalam keadaan diri yang juga sangat ketakutan. Namun, mereka bertiga adalah amanah orang. Dia pula tak punya sesiapa melainkan mama. Mama akan mengerti. Itulah yang dia fikirkan.
Dia masih ingat bagaimana muncung senjata api itu diacu tepat di tengah dahinya. Dia kaku tak ubah seperti mayat. Tak mampu bergerak walau hanya untuk mengerdipkan mata. Beberapa saat kemudian, dia dengar suara Johanees; kakak iparnya. Wanita halus ini lebih ke depan. Menggenggam tangannya. Seperti menyalurkan kekuatan yang hampir sirna. Membisikkan harapan. Untuk dia terus kuat.
Bagaimana dia boleh begitu lemah andai nak dibandingkan dengan Johanees yang lebih muda dan halus tubuhnya itu? Padahal dia telah berjanji untuk menjaga mereka bertiga.
Namun, dia juga tak pernah lupa mata tajam dan senyum sinis itu padanya. Bisikan suara garau itu malah hembusan nafasnya yang menyapa kulit.
Derap tapak kasut itu semakin kuat dan rapat. Dia terus rapatkan kelopak mata. Hingga akhirnya ada hujung jari yang menyentuh lembut bahunya, nyawanya hampir putus. Dia tahu, dia perlu melawan. Apapun jadi, dia tak akan biarkan mereka ini mencederakan kawan-kawan dan kakak iparnya. Jika bukan kerana dia, mereka tak akan terperangkap di sini.
Kali ketiga dia rasa hujung jari itu menyentuh bahunya, Tiani angkat wajah dengan mata yang mencerlang tajam bersama air mata yang menitis ke pipi. Dia menepis tangan lelaki itu sekuat hati. Pada saat tangannya hampir singgah ke wajah lelaki itu, dia dapat rasa lelaki itu lebih pantas menggenggam lengannya.
Hembusan nafasnya berat. Dia melilau sekeliling. Biarpun suasana sedikit suram kerana hujan lebat di luar sana, suasana ini berbeza. Dia tidak berada di dalam kontena sempit itu. Tiada kegelapan yang menyekat pandangan. Tiada juga bau yang tidak menyenangkan.
Tiani pandang wajah di depan mata. Lama. Hinggalah dia sedar siapakah pemilik wajah itu, dia beristighfar panjang.
"Tuhan..." Hanya sepatah kata itu yang terbit dari celah bibirnya bila yang muncul di depan mata adalah Lukman.