Bab 8

220 19 0
                                    

SEJAK pagi, memang langit mendung. Malah, pagi tadi gerimis turun ke bumi. Beberapa hari ini, ibu kota memang dilanda hujan lebat dan ribut kencang. Membawa ke banjir kilat sejujur setelah itu. Lukman bangkit. Menghampiri cermin dan menyelak bidai. Nampaknya hujan dah turun. Kilat juga sedang memancar. Guruh juga berdentum tak henti. Langit berubah bagai malam dalam sekelip mata.

Dia tak akan salah menilai. Tugasnya sebagai seorang peguam, menjadikan dia seorang yang cukup peka dan teliti. Dia juga tak akan mudah melupakan setiap orang yang ditemui. Apatah lagi pertemuan itu dalam suasana yang agak unik dan pertemuan dengan perempuan asing itu di KLIA dua hari lepas boleh dikira paling unik. Dia juga kenal beg yang Tiani bawa.

Tak pernah dalam sejarahnya menjadi peguam, dia lalui pertemuan demikian. Kerana itu, mustahil untuk dia lupa. Saat wanita itu menoleh padanya tadi, dia tahu telahannya tepat. Dia memanggil hanya untuk mencerapkannya sahaja. Dan, ia adalah tepat.

Tentang persoalan yang muncul di dalam kepala... untuk apa jika apa yang dia rasa ini adalah tepat? Lukman jongket bahu. Tak pasti. Dia tak mahu pergi lebih dalam. Dia hanya tahu, takdir juga begitu misteri untuk dileraikan oleh otak manusia biasa sepertinya.

Senyuman sengetnya terjongket pada hujung bibir.

Dia terus merenung hujan. Gelap-gelita. Hinggakan puncak Menara KLCC dan Merdeka Tower juga terlindung. Yang jelas hanya lampunya yang berkelip-kelip.

Mengingatkan pertemuan aneh itu, tidakkah wanita itu juga menggeletar dengan kejadian yang berlaku? Adakah hujan dan guruh ini... Senyuman Lukman runtuh. Dia tak menanti lama. Terus sahaja keluar. Persoalan ini juga memerlukan jawapan. Teguran Mas juga tak diendah.

Sebaik sahaja dia tiba di lobi, manusia agak ramai daripada biasa. Terperangkap kerana hujan lebat yang pastinya. Dia tidak kesah. Matanya melilau. Tak nampak susuk tubuh Tiani. Boleh jadi dah balik. Dia hela nafas lega tapi tak lama bila dia lihat ada satu susuk tubuh sedang duduk di atas kerusi dalam keadaan tunduk dan menekup telinga. Bahu itu terhinggut-hinggut tanpa henti.

Dia cam tudung itu. Beg tangan warna merah jambu yang sepadan dengan kasut daripada warna yang sama. Tak tahu kenapa. Simpatinya tumpah berselerakan. Melihat kejadian begini kali kedua di depan mata, dia yakin ada sesuatu yang telah menimpa wanita ini. Melihat Tiani berpeluh di dalam bilik yang sejuk, itu juga membuatkan dia syak akan sesuatu.

Kakinya melangkah. Mendekat. Langkahnya kian singkat bila jarak mereka semakin rapat.

"Cik Tiani?" serunya namun tidak menerima tindak balas.

"Cik?" Sekali lagi, dia memanggil dan seperti tadi, Tiani masih dalam keadaan begitu.

"Cik Tiani..." Kali ini, dia cuit bahu Tiani dengan hujung jari telunjuknya.

Tiani angkat tubuh. Menampar lengannya dengan begitu kasar dan saat tangan halus itu sekali lagi mencari sasaran, dia sempat menahan. Menggenggam kemas lengan itu. Dia renung Tiani dengan penuh tanda tanya. Yang pasti, pandangan itu bersulam simpati.

Kejadian apa yang menimpa hinggakan wanita ini tak ubah seperti takut dengan bayang-bayang sendiri? Jika tidak, masakan tiba-tiba sahaja wanita ini melemparkan diri ke dalam pelukan seorang lelaki asing? Ketakutan di tengah orang ramai? Seperti ada yang mahu menyakiti? Tiani jelas merasa tidak selamat.

Mata Tiani merah. Air matanya mengalir laju bersama pandangan yang sukar untuk dia gambarkan dengan kata-kata. Renungan itu jelas sedang merayu untuk diselamatkan. Rayuan itu adalah sangat tak terdaya. Dapat dia rasakan, usah kata lengan namun seluruh tubuh itu menggigil. Lukman tahu semua mata sedang memandang mereka malah ada staf sendiri.

Dia lepaskan tangan Tiani. Tanpa banyak kata, membuka kotnya dan diletakkan di atas kepala wanita itu. Lantas, menarik lengan Tiani pergi bersamanya. Biarpun dia tahu kaki Tiani bagai tak mampu menampung tubuh sendiri, Lukman tiada pilihan. Dia toleh bila langkah Tiani tidak berganjak.

"Jom. Kita berjalan sama-sama. Awak ikut aje saya," ajak Lukman dalam senyuman tipis. Dia tahu, Tiani mula tak selesa dengan kasut setinggi itu.

Melihat wajah tenang Lukman dan mendengar bicara lelaki ini, Tiani angguk. Dia kumpulkan sisa kekuatan. Menyeret kakinya dengan begitu susah payah cuba diimbangi tubuh yang terhuyung-hayang dengan kasut setinggi tujuh inci. Lukman menyambung langkah. Tanpa melepaskan lengannya.

Wajahnya pijar. Ada kecewa menyapa. Dia tak patut biarkan sesiapa sahaja melihat keadaan dirinya begini. Tak pernah dia biarkan sesiapa melihatnya. Usah kata orang asing, mama juga tidak pernah.

Hari ini, saat ini, waktu ini... lelaki asing ini sedang menyelamatkannya daripada lemas di daratan. Dia... telah menoreh air muka sendiri. Mencalarkan kerjasama antara mereka dengan kisah lalunya.

Mama pasti akan kecewa.

Dia juga... mula kecewa dengan diri sendiri.

Kenapa dia tidak mampu menjadi sekuat tiga orang temannya?

Dan, kenapa mesti dia akur dengan setiap tindakan lelaki ini?

Dia tak tahu.

Satu yang pasti, haruman dari kot yang menutup kepalanya ini, sedikit sebanyak membuatkan dia rasa tenang. Dia tidak ada di dalam kontena gelap dan sempit dengan bau yang tidak menyenangkan itu lagi. Malah, ada tangan gagah yang sedang memimpinnya dengan lembut. Bukan lagi tangan kasar yang menyeret dan menyentapnya.

Tapi, adakah benar dia telah diselamatkan?

Anak Perempuan Dato' PengarahWhere stories live. Discover now