TELAPAK tangan suam itu singgah pada dahi. Tiani buka mata. Wajah mama terpampang. Dengan senyuman. Tapi, nampak juga risaunya. Dia juga tak sangka, sebaik sahaja tiba dari Kuala Lumpur dua hari lepas, dia demam. Alasan yang diberikan pada mama adalah terkena hujan.
"Tia okey tak ni?" soal mama. Sambil duduk di birai katil. Tangan mama merayap ke pipinya.
"Tia dah tak demam." Tiani pejam mata. Menikmati elusan mama. Rasa selesa.
Demamnya dah kebah. Cuma, tubuhnya rasa seperti diikat. Segala urat saraf terasa ketat dan kejang. Tak tahulah kenapa. Semangat dan jiwanya semakin lemah.
"Kejap lagi Kak Mek bawak naik makanan. Tia makan sikit, ya."
"Tia turun bawah ajelah, mama. Dah dua hari berkabung dalam bilik ni. Urat Tia ni rasa macam besi dah..."
"Betullah tu. Kata-kata kan doa," balas mama.
Aik. Tiani kerut kening. Tak faham.
"Tia selalu cakap dekat mama kalau mama suruh rehat. Tia kuat. Tulang besi urat dawai. Kan dah jadi kenyataan," usik Dato' Talhah lagi dengan senyuman lebar.
"Mama ni..." Bibir Tiani muncung. Dia tarik selimut dan menutup seluruh wajahnya.
Dato' Talhah ketawa. Menarik selimut itu dan menatap wajah yang agak pucat. Dia sendiri terkejut Tiani demam setelah pulang dari Kuala Lumpur. Seperti ada sesuatu yang terjadi. Tapi, mengenali Tiani... manalah anak ini mahu membuatnya runsing.
"Tia betul ke okey? Ada jadi apa dekat sana?" Ini kali pertama dia ajukan soalan ini sejak dia balik dua hari lepas. Dia hanya tahu Tiani bersama seorang lelaki asing sahaja di KLIA. Selain itu, tiada berita lagi.
"Tia okey. Cuma hari tu hujan lebat..." Dia tak tipu mama pun.
Memang hari hujan. Tapi, dia tak kena hujan. Kerana lelaki itu. Andai diikutkan hati, dia akan berlari dalam hujan. Menjauh dari lautan manusia.
"Mama risau dekat Tia. Kalau ada apa-apa, Tia kena cakap dekat mama. Sekarang, Tia bukan hanya ada mama dan Kak Mek. Tia ada tiga orang kawan yang baik. Diorang semua selalu risaukan Tia. Abang Fiq tu pun jangan ceritalah. Dia risau sebab tak dapat tunggu Tia hari tu. Tia tak boleh pendam sendiri," nasihat Dato' Talhah.
"Mama..." Tiani lepaskan nafas berat. Dia angkat tubuh dan memeluk tubuh mama. Menyangkut dagunya pada bahu mama.
Hurm... Hangatnya badan mama. Selesanya. Bibirnya senyum dengan mata terpejam. Tiba-tiba mengantuk itu datang lagi. Apatah lagi dia dapat rasa tangan mama sedang membelai rambutnya.
"Tia tu baby lebih usia..."
Dia masih ingat Abang Fiq mengatanya bila dia sering berada di bawah ketiak mama. Tapi, makin digiat, makin dia seronok.
"Abang Fiq selalu cakap Tia baby lebih usia," komennya perlahan.
"Alaaa... Abang dengkilah tu..." Dato' Talhah ketawa.
Tiani sengih. Jarang mama nak kondem anak jantan kesayangan. Biasanya mama akan larang dia mengumpat abang sendiri. Segala tentang abang sempurna pada mama. Dia juga rasakan yang sama. Berbeza dengan dirinya yang tercela segalanya.
"Tentang tadi tu, Tia okey. Memang masa tu hari hujan. Tia tak dapat kereta. Tapi, mama selalu pesan dekat Tia. Tuhan akan hantar bantuan pada saat kita benar-benar perlukan..."
"Ada bantuan ke?" soal Dato' Talhah, pantas.
"Hurm... Tuhan hantar seseorang untuk bantu Tia." Dia senyum kelat. Dia tak suka termakan budi. Entah macam mana nak balas jasa Lukman padanya.