Di dalam kereta yang meluncur perlahan di sepanjang jalan yang sesak, suasana terasa tegang walaupun tiada sepatah kata pun terucap. Pandangan Sofea terpaku di luar tingkap, memerhati segala benda yang berlalu.
Namun, fikirannya melayang jauh, lebih berat dari pemandangan di hadapannya. Fikirannya berserabut dengan soalan yang tidak mempunyai satu jawapan.
"Ya Allah, betulkah suamiku benar-benar menyesal? Atau ini hanya sandiwara dalam fikiranku?" Bisik Sofea, merintih dengan penuh tanda tanya.
Riak wajah Zayn, suaminya yang kebelakangan ini menunjukkan rasa penyesalan kadang-kadang kelihatan ikhlas, namun Sofea masih merasa ragu-ragu.
Luka di hatinya terlalu dalam untuk sembuh dengan mudah. Dia bimbang jika kebahagiaan yang sudah tumbuh mekar akan musnah lagi, dan tidak pasti jika dirinya mampu menangung kecewa sekali lagi.
Di sebelahnya, Mawar memerhatikan Sofea dengan berhati-hati, sesekali menoleh ketika memandu. Mawar dapat melihat dengan jelas berapa drastiknya perubahan Sofea, sebelum dan selepas mereka membeli-belah di dalam mall tadi. Manakala, Ziyad sudah pun tidur lena di tempat duduk belakang setelah seharian berjalan-jalan.
Walaupun Sofea masih tidak mengucapkan sepatah kata pun, Mawar seperti tahu, Sofea sedang bergelut dengan perasaannya, namun dia memilih untuk diam. Dia tidak mahu menambahkan soalan yang dapat membuatkan Sofea semakin tertekan.
"Sofea...Aku tahu, kau fikir sesuatu. Tapi aku berdoa sangat-sangat, kau kuat." bisik Mawar dalam diri sendiri.
Namun, dalam diam, Mawar berdoa agar Sofea dapat menemui kedamaian dalam kekeliruan yang sedang menghantui dirinya. Mawar faham, hubungan perkahwinan Sofea tidaklah semudah yang disangka.
Dia telah melihat sendiri bagaimana Sofea cuba bertahan, menangis, dan kini, walaupun suaminya menunjukkan tanda-tanda penyesalan, Mawar tahu Sofea tidak akan mudah melupakannya.
"Sofea, so macam mana kandungan kau sekarang? Dah check?" tanya Mawar tiba-tiba, cuba menghilangkan kerisauan yang sedang difikirkan sahabatnya.
Sofea tersenyum, dia menganggukan kepalanya. "Dah, Zayn bawa aku check minggu lepas." balas Sofea.
"Baby dalam ni okay, cuma..." kata-kata Sofea terhenti.
"Cuma apa, Sofea?" tanya Mawar lagi.
"Cuma...Boleh tak aku nak minta tolong kau?"
Mawar mengerut dahi. "Minta la banyak mana pun, aku akan selalu tolong kau."
"Apa dia?" sambung Mawar lagi.
"Tolong jagakan anak-anak aku boleh tak, kalau aku dah tiada nanti?"
Mawar terdiam. Kata-kata itu terasa begitu berat, seolah-olah menggantung di udara. Dia tidak segera menjawab, cuba memproses apa yang baru didengarinya. Matanya terus memandang sahabatnya dengan penuh kekeliruan dan kebimbangan.
"Apa maksud kau?" Mawar bertanya, suaranya sedikit bergetar. "Kenapa kau cakap macam tu?"
Sofea menghela nafas panjang sebelum memandang Mawar dengan pandangan sayu.
"Aku, aku...tak pasti, kalau aku dapat melihat anak-anak aku membesar depan mata aku." ucap Sofea dengan nada yang sedikit perlahan, namun senyuman manis terukir di wajahnya.
Mawar tersentak, hatinya bagai ditikam dengan kenyataan itu. Dia terus memberhentikan keretanya di tepi jalan. Tangannya serta-merta meraih tangan Sofea, menggenggam erat, seolah-olah cuba untuk memberikan kekuatan yang dia sendiri tidak pasti dia miliki.
"Sofea, jangan cakap macam tu. Kau kuat, kau ada Zayn, dan anak-anak kau. Aku pun selalu ada untuk kau."
Sofea masih diam, senyum yang tadi terukir perlahan-lahan hilang dari wajahnya. Dia memandang Mawar dengan mata yang penuh perasaan, namun tidak ada kata-kata yang mampu diungkapkannya saat itu.
YOU ARE READING
ISTERI YANG DISEKSA S2 (OG)
RomanceWarning : Baca season 1 untuk tidak mengelirukan pembaca. Setelah mengalami derita yang berpanjangan, Sofea akhirnya menemukan jalan kebahagiaan. Hidupnya kini bahagia bersama keluarga tercinta, Zyan dan Ziyad serta kandungannya. Namun, kebahagiaan...