"ALAH, Reen, kau tolonglah aku. Kau kan ramai kawan, ramai saudara-mara dekat sini. Takkanlah tak boleh nak tolong aku?" pujuk Dhiya sambil memegang lengan Nureen.
Nureen picing mata ke muka kawan baiknya itu. "Kau nak kerja apa?"
"Apa-apa ajelah, aku tak kisah. Asalkan dapat kerja sementara. Aku malas nak balik kampung. Nanti aku kena hadap muka mak long dan Kak Raisha dengan suami dia tu. Menyampah tahu tak!" balas Dhiya.
Kesian pula Nureen melihat wajah Dhiya yang bersungguh-sungguh minta tolong dia dapatkan kerja, semata-mata tak nak balik kampung.
"Hmm... Kau serius ke nak kerja?" soal Nureen lagi.
"Eiii... seriuslah!" Dhiya mendecit.
"Tak kisah kerja apa pun?" soal Nureen lagi.
"Tak kisah. Janji dapat kerja dan dapatlah kumpul duit sikit-sikit," ujar Dhiya.
"Ya ke tak kisah apa-apa kerja? Nanti dah dapat kerja, macam-macam komen pula yang aku dengar," ujar Nureen dengan muka serius.
"Aku janji takkan komen apa-apa. Tapi, kau janganlah cari kerja yang tak senonoh pula." Wajah Dhiya cemberut.
"Kerja tak senonoh? Maksud kau?"
"Yalah, manalah tahu kau carikan kerja sebagai GRO untuk aku. Kena layan lelaki kat kelab malam ke. Tak nak aku. Aku ni masih suci murni tau."
Nureen tergelak. "Ya, aku tahulah. Takkanlah aku nak cari kerja macam tu untuk kau yang cantik dan comel ni. Tak sampai hati pula aku nak tengok kau diusung ke sana sini oleh lelaki yang berhidung belang."
"Hmm... tahu pun." Dhiya tarik nafas lega.
"Okey. Nantilah aku tanya sesiapa. Manalah tahu ada kerja kosong untuk kau. Tapi..." Nureen pandang semula wajah Dhiya.
"Tapi, apa?" dengus Dhiya.
"Errr... kali ni, kau nak kerja berapa lama? Atau berapa hari?" Nureen tayang sengih.
"Nureen!" Dhiya menjerit dengan suara terkawal. Bimbang kalau suaranya mengganggu suasana kafe.
"Cik Dhiya Hawani sayang, aku bukan tak kenal siapa kau." Nureen mencerlung mata ke arah Dhiya.
"Kau tu kepala angin. Mana tahan kerja kat satu tempat lama-lama. Paling lama pun sebulan dua. Lepas tu, ada aje yang tak kena," komen Nureen.
"Dah tak sesuai dengan aku, nak buat macam mana? Kita kerja ni, biarlah ikhlas daripada hati," balas Dhiya.
"Kau ni cakap tak serupa bikin. Tak dapat kerja, nak kerja. Dah dapat kerja, banyak pula songehnya," komen Nureen lagi.
Dhiya tayang sengih. "Okey, kali ni kau carilah kerja yang okey sikit. Sesuai dengan jiwa aku."
"Tengoklah." Nureen mengeluh perlahan.
Namun, otak ligat juga memikirkan kerja apa yang dapat ditawarkan kepada Dhiya.
"Abang Mus!" laung Nureen apabila anak matanya ternampak lelaki yang baru melangkah masuk ke dalam kafe.
Lelaki yang berkemeja lengan panjang warna biru itu segera mengatur langkah ke meja yang dihuni oleh Nureen dan Dhiya bersama senyuman manis pada wajah.
"Hai, Nureen. Lama tak datang kafe Abang Mus," tegur Mustafa sebelum melabuh punggung di kerusi yang masih kosong.
"Alah, Nureen sibuk tolong mama dekat butik. Kan mama baru buka cawangan butik dia tu," ujar Nureen.
"Mmm, yalah. Abang Mus pun ada dengar juga mama Nureen buka cawangan baru. Tahniah ya. Nanti kirim salam kat mama Nureen," ujar Mustafa.
"Ni siapa? Kawan Nureen ya?" Mustafa melirik ke arah Dhiya yang dari tadi hanya menjadi pemerhati.
"Aha, bestfriend," akui Nureen, mengukir senyum ke arah Dhiya.
Mustafa mengukir senyum manis. "Cantik kawan Nureen. Tak pernah jumpa pun sebelum ni."
"Cantik ya?" Nureen angkat kening kepada Dhiya apabila Mustafa memuji.
"Ya. Dah memang cantik, kena cakap cantik. Kalau cakap hodoh kang, kecik hati pula," komen Mustafa lagi.
"Amboi, habis tu, Nureen ni tak cantik ke? Tak pernah pun Abang Mus puji," provok Nureen.
Mustafa gelak. "Tak puji, tak semestinya tak cantik. Cuma, Abang Mus risau Nureen riak. Nureen ni, pantang dipuji. Mulalah riak."
"Apa Abang Mus ni!" Nureen menepuk bahu Mustafa.
"Dah makan ke?" soal Mustafa.
"Dah. Tunggu bayar aje," balas Nureen.
"Mmm, tak payah bayar. Abang Mus belanja," ujar Mustafa.
Mata Nureen membulat. "Serius ni? Abang Mus belanja?"
Mustafa angguk kepala.
"Isy, kalau tahu Abang Mus nak belanja tadi, kami oder banyak lagi tau," balas Nureen.
Kali ini, Mustafa gelak kuat. "Alah, kalau tak cukup, oder je lagi. Hari ini, Abang Mus belanja. Esok kena bayar tau!"
"Tak adalah. Nureen gurau aje. Kami dah kenyang pun. Terima kasih sebab belanja hari ni," ujar Nureen.
"Dah lama tak jumpa. Apa salahnya sesekali belanja sepupu. Lagipun, ni kan kafe Abang Mus," ujar Mustafa lagi.
"Hmm, alang-alang jumpa Abang Mus, Nureen nak minta tolong. Boleh tak?" Nureen tayang muka comel.
"Tolong? Tolong apa?" Dahi Mustafa berkerut.
"Kawan Nureen ni tengah cari kerja. Errr... Ada kerja kosong tak kat kafe ni?" Tanpa berlengah, Nureen mengajukan soalan.
Mustafa memandang wajah Dhiya lama. "Kawan Nureen ni tengah cari kerja?"
Nureen angguk kepala.
"Kenapa tak kerja dekat butik mama Nureen?" soal Mustafa.
"Dia tak minat kerja dekat situ."
"Habis tu, minat ke kerja kat sini? Jadi pelayan kafe?" Mustafa memandang wajah Dhiya. Menanti reaksi.
"Errr... Dhiya boleh cuba," balas Dhiya.
Mustafa meneliti wajah dan penampilan Dhiya. Wajah cantik, tapi penampilan belum cukup perempuan. Apalagi melihat Dhiya mengenakan cap yang hampir menutup wajahnya.
"Macam mana? Ada kerja kosong tak? Kalau ada, kira on ajelah. Tak payah Dhiya cari kerja di tempat lain," tutur Nureen.
"Boleh. Tapi, jadi pelayan atau duduk kat kaunter. Boleh, Dhiya?" ujar Mustafa.
"Boleh, Abang Mus," sahut Dhiya.
"Kalau macam tu, kira jadilah ya?" Nureen terlebih dahulu bersuara.
Mustafa gelak. "Ya. Kalau kawan Nureen setuju. Nanti Abang Mus beritahu detil dan tentang gaji."
"Dhiya setuju," ujar Dhiya.
"Baguslah. Kafe ni memang tak cukup pekerja. Bulan lepas ada seorang staf berhenti sebab nak sambung belajar. Rezeki Dhiya la ya," beritahu Mustafa.
Dhiya mengangguk perlahan.Dalam diam, dia bersyukur. Memang rezekinya.Kalau tak, susah juga nak dapat kerja.
YOU ARE READING
ZAYNN AL-FATEH
RomanceTajuk: ZAYNN AL-FATEH Penulis: AZIENA Harga: RM34 / RM37 Dhiya belajar hidup berdikari di usia muda selepas kematian orang tuanya. Hidupnya tidak seindah remaja lain. Daripada duduk di kampung menghadap muka Puan Safiah, baik dia bekerja di bandar...