"MAMA..." Leret suara Hafiq menyebut perkataan itu kerana gelisah. Lengan Puan Elysha ditarik lembut ke hadapan, biar wanita itu berdiri di sebelah meja antara tempat dia dan Naaila. Bimbang jika Hafiq terlalu mendedahkan wajahnya ke belakang, ada pelanggan yang bisa mengesan.
Naaila telan liur dengan payah apabila mendengar panggilan mama yang disebut oleh Hafiq. Ha, sudah! Masak kau, Naaila. Kalau wanita itu tahu yang dia curah air kepada anak kesayangannya, silap-silap Naaila pula yang kena simbah seperti di dalam drama.
Tangan Naaila tak boleh duduk diam daripada bermain dengan sesama sendiri. Bibir dalam digigit perlahan sembari mata sesekali dilarikan ke arah lain. Oleh kerana tak mahu nampak terlalu gugup, Naaila membalas senyuman yang dilemparkan oleh wanita lebih separuh abad itu. Walaupun sudah berusia, ibu Hafiq masih nampak cantik selaras dengan umurnya.
"Err, ni Naaila nama dia, ma. Fiq ada urusan..."
"Urusan ke... date? Tadi rasanya mama Hafiq ada ajak Hafiq keluar sekali dengan kami, kan? Tapi, Hafiq kata nak jumpa someone."
Mata Hafiq tertumpu ke arah seorang wanita yang berdiri di sebelah Puan Elysha apabila kata-katanya dipintas laju. Jari telunjuk Hafiq tidak semena-mena naik menggaru hujung kening seraya bibir berdesis perlahan. Akalnya tiba-tiba terkandas hendak menerangkan situasi yang sebenar. Hafiq rasa mereka telah salah faham apabila melihat dia berdua-duaan dengan Naaila.
"Ni la kut someone tu, El. Girlfriend Hafiq agaknya. Tak ada rezeki la kita nak berbesan, El," tambah wanita itu lagi sebelum bicaranya disampuk insan lain pula. Membuatkan mata Hafiq kini beralih kepada seorang gadis yang memaut lengan wanita tersebut.
"Mummy, tak selesa la dia orang nanti mummy cakap macam tu."
"Fiq?" Puan Elysha mengangkat kening, menanti balasan daripada si anak, juga mengharapkan apa yang dikata oleh Puan Nazira adalah benar. Kalau Hafiq dah ada pasangan, tak perlulah dia susah-susah atur rancangan sendiri.
Hafiq pandang Naaila sekaligus mata mereka bertautan buat beberapa saat. Melalui bahasa tubuh gadis itu, Hafiq tahu Naaila rasa tak tenang. Seperti dalam keresahan dan kegelisahan.
"Kawan Fiq."
"Naaila... kawan Fiq?" Puan Elysha bertanya untuk kepastian. Ragu-ragu dengan title 'kawan' yang diberikan Hafiq kepada Naaila.
"Ya, ma. Err, kita orang borak kosong je tadi. Kan?" Hafiq memberi isyarat mata kepada Naaila.
Biji mata Naaila yang sudah membuntang dengan pengakuan Hafiq tadi kian terjojol sehingga kalau boleh mahu terkeluar. Dia bingung sama ada dia patut bersyukur kerana Hafiq menjaga air mukanya, atau dia patut bengang dengan penipuan yang dia tidak pasti apakah asbab Hafiq. Dalam banyak-banyak alasan, kenapa mengaku Naaila sebagai kawan?
"Ha... haah, ya aunty. Tak sangka pula Naaila boleh jumpa aunty hari ni. Sebelum ni, Naaila dengar Hafiq je bercerita pasal aunty."
Terbatuk-batuk Hafiq kala Naaila begitu tangkas menyambut lakonannya.
"Oh, ya ke?" Bersinar-sinar mata Puan Elysha mendengarkan itu. Tanpa aba-aba tangannya meraih lengan Naaila bersama senyuman yang melebar. "Tch! Hafiq tak pernah pun bagitahu aunty yang dia ada kawan perempuan. Cantik pula tu. Entah berapa lama la dia sorok Naaila dari aunty, kan? Hafiq ni memang tau. Saja la tu tak nak aunty masuk campur urusan dia dengan Naaila."
Naaila menyambut kemesraan itu dengan bermanis wajah. Rasa berdosa pula sebab dah terjebak dengan penipuan yang Hafiq mulakan ini. Haih, betul ke apa dia buat ni? Kenapa la Hafiq perlu memesongkan situasi sehingga timbul salah faham lain pula.
YOU ARE READING
Love, In Action! | ON-GOING
Romance𝐇𝐀𝐅𝐈𝐐 𝐈𝐐𝐌𝐀𝐋 ✦ 𝐍𝐀𝐀𝐈𝐋𝐀 𝐌𝐀𝐈𝐒𝐒𝐀 Selaku seorang kakak yang mengambil berat, Naaila cuba menyelamatkan adiknya daripada spesies lelaki tak guna. Lalu, Najla akhirnya mengambil keputusan untuk menoktahkan hubungan dengan Fakha, si tem...