“Kak Jez.” Aku pusing kanan sambil letak beg komputer riba atas meja.
Nampak Ariani yang kerja sebagai Jr Procurement Executive tergopoh gapah menghala ke meja aku. Ye, nama dia macam jenama tudung. Muka pun macam model tudung.
Awal pula dia datang hari ni, selalunya lambat dari aku masuk ofis.
Pejabat yang tadi nya sunyi dah mula riuh bila orang mula sampai. Sekarang baru pukul 7.46 pagi.
“Kenapa?” aku kerut kening.
“Kak Jez tak angkat call.”
Aku terus raba telefon dalam beg tangan, tak sedar pun ada orang call. Dan sebenarnya kalau sedar pun, aku akan malas nak angkat sebab aku dah nak sampai ofis pun.
“Kenapa call akak, ada urgent ke?”
“Super suruh akak masuk morning meeting. Tadi Captain Hadi bagitau.”
“Hah super mana? Haji Lukman ke?”
“Ehh bukan, yang baru tu.”
“Yang baru? Bukan dia masuk minggu depan ke?”
“Sebab ada problem dengan Projek Sinabung Alpha.”
“Alamak, problem apa?” aku pun terus scroll telefon dan nampak ada berjuta whatsapp yang masuk dalam group projek. Tak sanggup rasa nak baca.
Yani terus kembali ke meja dia yang tak jauh dari aku lepas beritau berita sadis ni.
Aku tengok lagi jam di tangan, selalunya meeting mula pukul 8 pagi, Ms Team dengan offshore. Ada lagi berapa minit aje ni. Matilah!
“Siapa super baru? Haji mana?” aku tanya Nabil di compartment sebelah yang baru sampai. Aku kena tau siapa bos baru aku sebab kalau Haji Rahman, dia baik sikit.
Sebelum ni tak ada siapa yang tau siapa yang ganti. Aku pun tak peduli sangat sebab tak ada masalah. Bila datang masalah, aku pun cuak.
Selalunya Drilling Superintendent dah tua-tua, pangkat haji belaka dah.
“Kenapa?” Nabil tanya tanpa jawab soalan aku tadi.
“Dia suruh aku masuk morning meeting.”
“Sinabung ke?”
Aku angguk dengan muka nak menangis.
“Dia muda wey, belum 40 pun lagi.” Nabil separa berbisik dengan aku, baru menjawab soalan.
“Mana dapat yang muda ni. Pakai kabel ke?” aku bisik semula.
“Entah, katanya dari Aramco.”
“Uish Pak Arab ke?” Aku teka Pak Arab sebab Aramco tu syarikat dari Saudi.
“Ye kot.” Nabil gelak. “Matilah kau kena tembak kejap lagi, selalunya yang muda-muda ni kerek.” Sungguh tak membantu ayat dia.