--------------------------------------------
aku hanya lah sebuah aksara yang tiada makna, sedangkan kau adalah fatamorgana yang ku mahu jadikan nyata
---------------------------------------------
"Assalamualaikum"
Pintu rumah dibuka, memaparkan figura kedua-dua orang tua Aathif yang baru sahaja ingin menjamah selera.
"Waalaikumussalam. Ha, Aathif! Meh sini makan sekali," ajak Khatijah.
"Mak masak apa?"
"Masak biasa je. Lauk kesukaan abah. Pergi basuh tangan dulu," arah Khatijah seraya meletakkan dua senduk nasi ke dalam pinggan suami.
"Okay..." jawab dia perlahan. Beg bimbit diletakkan di atas sofa sebelum sepasang stokin yang dipakai, dibuka dan dimasukkan ke dalam bakul rotan yang tersedia di tepi bilik mandi.
"Mak kata dekat abah yang kamu dapat tawaran kerja dekat KL tu," ujar Ilyas. Wajahnya tenang, matanya tetap memandang pinggan yang masih penuh berisi lauk kegemaran.
"Ouh"
Kedua-dua orang tua itu melihat sesama sendiri. Wajah Aathif langsing tidak menunjukkan yang dia gembira mahupun teruja dengan tawaran yang dia dapat di tempat kerja.
"Monyok je muka. Aathif tak suka ke?" Tanya Khatijah pula.
Nasi yang sudah 'banjir' dengan lemak cili padi, langsung tak dijamah. Malah, jari jemari Aathif hanya melingkar berterusan di pinggan seperti O.
"Bukan tak suka..."
"Dah tu? Tak payah lah fikir yang bukan-bukan. Tu kan peluang yang baik untuk dapat pengalaman yang baru. Mak dengan abah ada untuk selalu doakan kamu," balas Khatijah pula.
Aathif diam, matanya tertunduk. Mungkin sedang menyusun kata, atau mencari kekuatan untuk meluahkan apa yang bersarang di hatinya. Dia tahu, peluang kerja di Kuala Lumpur bukan mudah diperoleh, malah ramai kawan-kawannya yang mengimpikan untuk bekerja di kota besar itu.
Tapi…
"Mak, abah," Aathif memulakan dengan suara yang perlahan. "Aathif bukan tak bersyukur dengan rezeki ni. Tapi... Aathif tak rasa yang Aathif dah bersedia nak tinggal jauh dari sini."
Khatijah dan Ilyas berpandangan, masing-masing mengerti beban perasaan anak tunggal mereka. Sejak kecil, Aathif memang tak pernah berjauhan dari rumah, dari mereka.
Walaupun sudah dewasa, ada sesuatu tentang anaknya itu yang tetap mahu mereka berada dekat, seolah-olah tak pernah terlerai pautan kasih sayang yang kukuh."Aathif, bukan abah dengan mak tak faham... Tapi kamu kena tahu yang peluang ni mungkin datang sekali je," Ilyas menyuarakan dengan lembut, cuba menyuntik sedikit keyakinan.
"Lagipun, tempat kamu nak pergi tu bukanlah terlalu jauh. Dua minggu je, kan?"
Aathif tersenyum tipis. Tapi jauh di lubuk hati, dia masih risau. Bukan sekadar tentang jarak, tetapi tentang tekanan hidup di kota, budaya yang berbeza, dan cabaran yang mungkin belum pernah dihadapinya.
Khatijah mengusap bahu anaknya perlahan, cuba menenangkan. "Mak tahu kamu risau, tapi insyaAllah, mak yakin Aathif boleh hadapi semua tu. Tak salah kalau kamu cuba dulu. Kalau tak serasi, kamu boleh selalu balik, kita bincang lagi nanti."
Aathif mengangguk perlahan, matanya tertancap pada nasi yang masih belum berusik. Dia menarik nafas dalam-dalam. Mungkin, sudah tiba masanya dia mencuba melangkah keluar dari zon selesanya.