Fangs and Fur: A Royal Romance

3 1 0
                                    

Langkahnya menyamai rentak jantungnya yang laju. Senyuman yang indah terpancar di wajahnya menggambarkan penantian di dada. Dia tidak sabar untuk berjumpa dengannya, Luka, lelaki yang telah lama memegang tempat istimewa di hatinya.

Kakinya berhenti di hadapan pintu kelas dan matanya mengimbas bilik itu. Hampa, kelibat Luka langsung tidak kelihatan.

"Dia belum sampai lagi ke?" Lawa mengerling jam tangannya yang tepat menunjukkan pukul 8 pagi. Kekecewaan memenuhi dada dan meredupkan semangatnya. Dia mengeluh perlahan.

"Cepatlah masuk." Satu suara monoton bercakap dari belakangnya. Lawa menoleh dan matanya terbeliak dengan kejutan dan kegembiraan. Dialah, orang yang dia idam-idamkan.

Dia tersenyum sendirian dan cepat-cepat melangkah masuk ke dalam kelas sebelum jantungnya meletup kerana keterujaan yang meluap-luap.

Sepanjang kuliah, Lawa tidak dapat menumpukan perhatian. Hatinya melafaz kata-kata yang bergema di fikirannya: "Cepatlah masuk." Berulang kali seperti radio rosak tetapi ia terasa seperti melodi yang paling indah. Lagipun, Luka tidak pernah bercakap dengannya sebelum ini, tidak sekalipun sepanjang dua semester mereka berada dalam kelas kuliah yang sama.

Di sisi lain, Luka kelihatan terganggu. Dahinya berkerut sambil mengerling ke arah jam. Ada sesuatu yang jelas mengganggunya. Mungkin dia tidak berminat dengan kuliah itu atau mungkin bilik darjah itu sendiri. Dia sering sampai ke kelas lewat 30 minit untuk mengelak daripada suasana kelas itu seboleh-bolehnya.

Sebaik sahaja kelas tamat, Luka bangun dari tempat duduknya dan meluru keluar menuju ke pintu. Kebanyakan rakan sekelasnya hampir tidak perasan kerana mereka sudah terbiasa dengan langkah Luka yang pantas. Tetapi bagi Lawa, ia mengecewakan. Dia baru sahaja melihatnya dan kini dia telah tiada.

"Kalaulah dia duduk lama sikit." Fikirnya sayu. "Bolehlah aku tengok dia."

🌑

Perjalanan pulang terasa seperti perjalanan menuju ke pintu neraka. Lawa menutup matanya dan menarik nafas panjang, menguatkan dirinya untuk konfrontasi yang tidak dapat dielakkan.

"Lawa, mari sini." Suara keras mencelah ketika dia melewati ayahandanya. Dia memperlahankan langkahnya seolah-olah untuk melambatkan masa.

"Sekejap lagi kau berusia 19 tahun. Tapi kau belum mencari seorang pun mangsa! Aktifkan 'werewolf mode' atau kau nak jadi serigala tak guna?!" Suaranya semakin kuat di setiap patah perkataan.

"Ayahanda, adinda tak nak membunuh." Jawab Lawa dengan tenang.

Sudah menjadi tradisi bahawa setiap serigala jadian dituntut untuk mengaktifkan 'werewolf mode' dengan memburu. Tetapi selama hampir 19 tahun, Lawa masih belum melaksanakan tugasnya.

"Tapi engkau dilahirkan menjadi serigala!" Ayahandanya menjerit dan bangkit dari kerusi. Lawa tersentak. Sudah menjadi naluri seorang serigala jadian untuk menjadi panas baran.

"Adinda tak pernah nak jadi serigala! Kalau boleh memilih, adinda nak jadi manusia!" Dia menjerit kembali sebelum berlari ke biliknya untuk mengelak pergaduhan besar dengan ayahandanya seperti saban tahun.

Setiap kali tiba hari jadinya, dia akan melarikan diri dari rumah untuk mengelak dari tuntutan ayahandanya mencari mangsa. Disebabkan 'werewolf mode' tidak pernah diaktifkan, ayahandanya tidak dapat menjejakinya kerana dia hanyalah seorang manusia biasa yang tidak berbau.

'Werewolf mode' sangat penting untuk membuka kunci kuasa mereka seperti keupayaan untuk berubah, meningkatkan kekuatan fizikal, dan juga memanjangkan hayat dengan setiap pembunuhan. Kebimbangan ayahandanya bertambah kerana mengetahui hayat puterinya yang semakin berkurang.

Fangs and Fur: A Royal RomanceTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang