Tengku Luth perhatikan Eden yang datang mendekati mejanya bersama seorang wanita jelita. Dia menyiku Hanz yang duduk di sebelah.
"Aku ingatkan kau tak nak kenalkan isteri kau dekat kita orang," ujar Hanz.
Eden dan Hanz adalah orang yang paling rapat dengan Tengku Luth. Namun sayangnya, sehingga kini hanya dia seorang yang masih bujang. Kedua-dua sahabatnya sudah mendirikan rumah tangga.
"Bukan tak nak, tapi takut ada ulat bulu naik daun." Eden kerling Tengku Luth.
"Kau mengata aku ke?" Tengku Luth buka mulut. Sudah faham sangat dengan kedua-dua manusia yang asyik tak habis-habis menyindirnya.
Hanz hanya mampu menggelengkan kepala dengan karenah Eden dan Tengku Luth. Dari dulu sampai sekarang, masih sama. Tak sah kalau tak bertikam lidah.
"Yang tu, Tengku Luth. Kalau nampak dia, lari. Buaya paling bahaya dekat Malaysia," jari Eden menunjuk ke satu arah.
Tengku Luth angkat tangan, melambai isteri Eden dengan segaris senyuman yang paling manis.
"Tu pula, Hanz. Sebelah tu, isteri dia." Eden perkenalkan Hanz dan isterinya.
"Kenalkan, orang rumah saya, Natalia." Hanz perkenalkan isterinya yang tak lokek dengan senyuman kepada isteri Eden.
"Ni tulang rusuk aku, Helena." Eden sengaja menuturkan ayat ini kerana mahu melihat reaksi Tengku Luth yang sudah berpeluk tubuh.
"Seorang, orang rumah. Seorang lagi, tulang rusuk." Tengku Luth ulang ayat mereka, lalu mencebik kegelian.
Tawa masing-masing meletus.
Helena berbisik di telinga Eden. Bertanyakan sesuatu apabila melihat Tengku Luth yang keseorangan.
"Luth... Dia tanya isteri kau mana." Eden sampaikan soalan tersebut kepada si empunya badan.
"Dia ni tak laku." Hanz jawab soalan itu bagi pihak Tengku Luth.
"Tak laku? Biar betul?" soal Helena, terkejut. Tak mungkin lelaki kacak seperti Tengku Luth masih bujang.
"Tengku Luth single?" Natalia turut berpaling ke arah Tengku Luth yang berpotensi untuk jadi salah seorang klien di syarikatnya.
"Tak percaya, kan? Mana ada lelaki perfect macam saya yang masih single." Tengku Luth mula angkat bakul.
"Nasib aku dengan Hanz dah kahwin. Kalau tak, sampai bila-bila kau tak dapat pegang title perfect tu." Eden bersuara apabila isterinya mula beri perhatian kepada Tengku Luth.
"Ambillah title tu. Aku dengan Eden dah cuci tangan." Hanz turut menyuarakan isi hati.
Tengku Luth angkat muka. Langsung tak diberi peluang untuk naikkan saham sendiri.
"Kalau aku buka mulut pasal cerita silam korang berdua, rasa-rasa apa jadi dekat korang bila balik rumah nanti?" Tengku Luth mengugut. Kedua-dua kening diangkat. Mencabar mereka.
"Kau jangan nak buat cerita, Luth." Eden pandang mata isterinya yang sudah seperti laser.
"Aku tak ada kena mengena." Hanz angkat tangan ke udara. Senyuman isterinya kelihatan agak mengerikan sekarang.
"Kalau nak tahu pasal Eden dengan Hanz, bolehlah call saya nanti. Saya tahu semua cerita dia orang." Tengku Luth keluarkan kad nama.
Belum sempat dia menghulur kad tersebut, Hanz sudah terlebih dahulu menarik isterinya untuk pulang.
"Takkan isteri kawan sendiri pun kau nak try?" Eden menghalang tangan Tengku Luth daripada mendekati Helena.
"Tadi, waktu korang sindir aku, tak fikir pula perasaan aku?" Tengku Luth tarik semula kad nama dan dimasukkan ke dalam bekasnya. Dia tersenyum kemenangan.