Malam itu gelap dengan hanya cahaya bulan sebagai saksi, dan suasana kampung kecil di pinggir Kerajaan Serunai menjadi huru-hara. Asap naik ke udara, dan penduduk kampung berlari bertempiaran, mencari perlindungan daripada ancaman yang datang entah dari mana. Suara jeritan dan bunyi senjata bergaung di udara, membuatkan suasana yang aman bertukar serta-merta dengan jeritan dan ketakutan penduduk.
Di tengah kekacauan itu, kelihatan seorang lelaki gagah sedang berdiri di hadapan sekumpulan penjahat yang cuba menceroboh dan menjarah perkampungan. Pakaiannya mencerminkan tradisi Melayu klasik, lengkap dengan baju layang berwarna gelap dan kain selempang yang melilit pinggangnya. Di tangannya, tersandang keris berhulu ukiran emas yang bercahaya di bawah sinar bulan. Dialah Panglima Keris, Putra Mahendra, pahlawan yang tidak kenal gentar.
Penjahat-penjahat itu bersenjata lengkap, namun wajah mereka sudah mula menunjukkan keraguan ketika melihat keberanian dan ketangkasan Putra. Satu demi satu mereka tumbang, berdepan dengan serangan tepat dan tegas dari Panglima Keris.
"Berhenti menyerang penduduk kampung ini! Jika tidak, kalian akan berdepan dengan nasib yang lebih buruk!" teriak Putra, suaranya tegas dan penuh keyakinan.
Namun, salah seorang ketua penjahat itu, yang tampak lebih berpengalaman dan garang, tertawa sinis. "Kau fikir kau seorang mampu menghalang kami? Kau hanya seorang pahlawan, tiada apa-apa berbanding dengan kami semua."
Putra tersenyum sinis, matanya tajam menatap ketua penjahat itu. "Pahlawan tidak memerlukan sekumpulan untuk melindungi kebenaran. Cukuplah keberanian dan semangat yang benar." Panglima menarik nafas dan menghembusnya perlahan.
"Bismillah..."
Tanpa membuang masa, Putra melancarkan serangan kilat, gerakannya lincah bagaikan bayang-bayang. Kerisnya melibas tepat ke arah penjahat-penjahat yang datang, menumpaskan mereka satu demi satu. Setiap gerakan ditujukan dengan ketepatan, seolah-olah keris di tangannya menari mengikuti irama pertempuran.
Penjahat terakhir, ketua yang tadi begitu angkuh, kini berdiri terpaku, menggenggam pedangnya dengan tangan menggigil. Dia cuba melawan, namun Putra dengan mudah menangkis setiap serangan, menunjukkan kepakaran yang tidak terbantah.
Akhirnya, dengan satu hayunan keris yang mantap, Putra menumpaskan ketua penjahat itu, menjatuhkannya ke tanah. Perkampungan itu kembali tenang, dan para penduduk mula keluar dari tempat persembunyian mereka, mata mereka penuh dengan penghargaan dan terima kasih.
"Panglima Keris! Terima kasih kerana melindungi kami!" seru seorang tua sambil membungkuk hormat.
Putra mengangguk dengan tenang, menyarungkan kembali kerisnya ke dalam sarung. Ekor matanya kembali kearah ketua penjahat yang sedang terbaring di tanah menahan kesakitan.
Ketua penjahat itu melihat ke arah Panglima dengan mata yang tajam dan menghela nafas yang panjang sedar akan kekalahan dan kesalahan yang mereka lakukan.
"Tunggu apa lagi wahai pahlawan? bunuh lah aku." Ketua penjahat itu berkata dengan nada yang lemah tak berdaya. Dia sudah tidak mampu bangun disebabkan pertempuran itu tadi.
Panglima diam seketika kemudian menggelengkan kepala. "Niat aku hanya untuk menghentikan kau daripada menyerang penduduk di sini. Tiada langsung keinginan dalam diriku untuk membunuhmu. Cukup lah sekadar urusan itu diberi, selebihnya Tuhan yang akan memberi."
Penjahat itu kaku mungkin tersentap agaknya. Dia tidak pernah melihat seorang pahlawan yang begitu baik membiarkan para penjahat masih ada peluang untuk hidup. Hatinya tersentuh. "Kau pahlawan yang aneh.."
Panglima kemudian memastikan kesemua penduduk berada dalam keadaan yang selamat dan tenteram. Seorang lelaki tua yang berjanggut melangkah perlahan ke arah Panglima dengan senyuman ramah.
YOU ARE READING
Di Antara Duri Dan Keris
FantasyDi Kerajaan Serunai, keindahan dan kedamaian menjadi teras kehidupan rakyatnya. Puteri Andreena Allura, atau dikenali sebagai Anggun, seorang puteri yang anggun dan berbakat dalam tarian, terkenal dengan gerakannya yang seolah menggambarkan keindaha...