Bab 5

580 42 0
                                    

DENGUSAN kecil dilepaskan Elnara dek rasa jengkel bercampur pelik dengan cara Hakim yang seakan sengaja buat dia tersipu-sipu sendiri.

Lantas, dia bangun dari katil lalu berjalan ke tingkap sambil memikirkan kata-kata Hakim tadi. Satu hari nanti? Apa maksud dia? Hati kecilnya mula bertanya, tapi cepat-cepat dia cuba menafikan.

"Tak ada apa-apalah. Dia tu saja nak main-mainkan aku." Elnara bercakap sendiri, cuba menenangkan hati yang tiba-tiba berdebar entah kenapa.

Namun, telefon yang berada di tangan masih lagi dipandang. Sedikit sebanyak dia terfikir, adakah Hakim serius dengan semua gurauan itu?

Mengapa lelaki itu kelihatan begitu yakin dan sabar, seolah-olah dia pasti yang akhirnya Elnara akan terbuka hati?

"Ah, sudah. Jangan dilayan sangat!" gumam Elnara, cuba mematahkan rasa yang mula hadir.

Tapi, dalam hatinya, dia tahu Hakim semakin sukar untuk diabaikan. Setiap kali Hakim muncul, sama ada dalam panggilan ataupun mesej, ada saja cara dia membuat Enara tersenyum tanpa sedar.

Lama dia merenung telefon, seolah-olah mengharapkan sesuatu dari Hakim lagi. Tapi, tiada apa-apa. Hanya sepi. Helaan nafas dilepaskan, cuba mengumpul tenang. Namun, jauh di sudut hati, ada harapan kecil agar lelaki itu tidak berhenti mengejutkannya dengan sikap yang tak terduga.



MENTARI masih malu-malu di kaki langit, menyelubungi bumi dengan cahayanya yang merah muda. Cahaya lembut itu menembusi tirai nipis, menjalin bayang-bayang indah yang menari di segenap dinding. Elnara tersenyum sendiri, merasakan kehangatan pagi yang menyapa jiwa. Seakan memberi janji bahawa hari ini membawa sesuatu yang tidak diduga.

Tetapi fikirannya masih terganggu oleh perbualan telefon semalam. Walaupun dia cuba mengabaikan, hati kecilnya tetap tertanya-tanya. Hakim muncul di ruang fikirannya tanpa henti, dengan senyuman dan gurauan yang terlalu sukar untuk dilupakan.

Ketika sedang bersiap-siap untuk pergi kerja, telefon bimbitnya bergetar. Dia melihat skrin dan nama Hakim tertera sekali lagi. Ada mesej.

"Morning, Enara. Hope today is a little less marah daripada semalam. :)"

Dia tersentak, terhibur dengan mesej yang spontan itu. Terasa lucu dengan cara Hakim mengusiknya, tetapi pada masa yang sama ada rasa seolah-olah Hakim sebenarnya cuba mendekati dirinya sedikit demi sedikit.

Elnara menaip balasan, namun kali ini dia tidak begitu keras. Hendak diabaikan, dia rasa itu agak biadab dan dia tidak sukakan sifat mazmumah itu.

"Good morning. Saya okay je. Terima kasih sebab tak terasa dengan saya."

Hantar.

Selang beberapa saat, Hakim membalas dengan pantas.

"Takkan terasa, jangan risau. Ada banyak masa lagi untuk buat awak senyum. Siapa tahu, mungkin satu hari nanti saya bukan 'orang asing' lagi?"

Hujung bibir tersenyum sendiri, terkejut dengan debaran halus di dadanya. Hatinya mula tertarik pada sifat Hakim yang tenang dan penyayang. Tapi, dia cuba berpegang pada prinsipnya.

Tidak mahu membuka hati terlalu mudah.

Mesej itu membawa sedikit rasa manis dalam hari Enara, seolah-olah Hakim memberi harapan bahawa bukan sahaja lelaki itu ikhlas, tapi dia juga bersabar menunggu waktu yang sesuai untuk mendekati hati Elnara.



SEHARIAN di tempat kerja, Elnara mendapati fikirannya terganggu oleh bayangan Hakim. Walaupun cuba fokus pada tugasan, pesona lelaki itu tetap mencuri tumpuan. Rasa itu terasa janggal, asing, namun dia tidak mampu menafikan betapa senang hatinya sejak Hakim hadir dalam hidupnya.

Ketika rehat tengah hari, telefon bimbitnya berbunyi sekali lagi. Mesej dari Hakim.

Ah, lelaki itu memang tiada kerjakah? Bukankah polis?

"Dah lunch ke? Kalau belum, jom makan. Tapi kalau tak dapat, at least jangan lupa makan. :)"

Teragak-agak Elnara berfikir adakah patut dia membalas. Namun, hatinya tidak tahan untuk tidak memberi respons. Tangan menaip tanpa sedar.

"Dah makan. Terima kasih ingatkan. Awak makan apa?"

Hakim membalas pantas, membuatkan Elnara tersenyum tanpa disedari. Mereka berbual ringkas, namun setiap ayat yang keluar dari Hakim terasa dekat dan ikhlas. Sedikit demi sedikit, dia merasakan hatinya mula menerima lelaki itu walaupun hanya dalam perbualan sederhana.

Sementara itu, di ruang pejabat yang dipenuhi bunyi hiruk-pikuk kakitangan sibuk, Elnara duduk di meja sambil meneliti fail pesakit. Namun, fikirannya tidak sepenuhnya berada di sana. Sesekali, dia termenung seketika, merenung keluar tingkap. Rasa debaran semalam masih bersisa.

Mungkin kali pertama dalam tempoh lama dia bertemu dengan seseorang yang berani mengejar perhatiannya walau dia sering cuba menjauhkan diri.

Rakan sekerjanya, Nadya, yang duduk berdekatan, perasan akan perubahan itu. Nadya senyum sinis, meneliti riak wajah Elnara dengan rasa ingin tahu yang jelas.

"Amboi El. Bukan main tersengih. Siapa yang buat kau senyum sendiri macam ni?" Nadya mengusik, dengan nada berbisik agar tidak didengari staf lain.

Elnara tersentak, cuba menutup senyuman yang tiba-tiba muncul di wajahnya. Dia menggeleng laju, namun tidak berjaya menyembunyikan rona merah di pipinya.

"Tak ada sesiapa la, Nad," jawab Elnara, berpura-pura fokus pada fail di hadapannya. Namun, Nadya tidak mudah terpedaya. Dia tahu benar sahabatnya ini, terutama bila soal lelaki terlibat.

"Tak payah tipu aku, El. Aku ni dah kenal kau lama. Kalau sampai senyum sorang macam ni, mesti ada yang istimewa kan?" Nadya sengaja mengusik lagi.

Elnara hanya ketawa kecil, mengalah. Hakim tidak disebut secara langsung, tapi cukup baginya tahu bahawa Nadya mungkin perasan perubahan pada dirinya sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Sementara itu, telefon gadis itu bergetar sekali lagi. Nama Hakim muncul di skrin. Meski sekadar mesej ringkas. Memang tak akan pernah habis!

"Good luck dengan kerja hari ni, Enara. Harap hari awak seindah senyuman awak :)"

Mesej itu cukup membuatkan bibir Elnara tersenyum lagi. Nadya memandang dengan penuh minat.

"Boyfriend, kan?" Nadya menyindir, matanya bersinar penuh semangat menyelidik.

"Kau ni... tak adalah. Dia cuma seorang kawan... mungkin." Elnara menjawab, cuba menutup rasa yang sedang mula berkembang dalam hatinya.

Biarpun di sebalik kata-katanya, ada perasaan yang kian kuat, satu perasaan yang dia tahu sukar ditepis jika Hakim terus melayani dirinya dengan penuh kesabaran dan ikhlas.

Dalam hati, gadis itu mula tertanya-tanya. Mungkinkah dia benar-benar terbuka untuk memberi peluang pada lelaki itu atau adakah dia masih akan berpegang pada prinsip lamanya?

Hari itu berakhir dengan lebih banyak persoalan dalam hati. Hingga tanpa disedari, setiap mesej, setiap gurauan, dan setiap perhatian dari Hakim sedikit demi sedikit melembutkan hatinya yang dulu dingin dan skeptis pada cinta.

Sehingga petang itu, sewaktu perjalanan pulang, Elnara teringat kata-kata Hakim. Ada rasa tidak sabar untuk melihat sejauh mana lelaki ini akan bertahan, betapa tekadnya dia untuk mengenali Enara dengan lebih dalam.

Hati gadisnya mula tergoncang, perasaan yang cuba dikunci rapat mula terkuak sedikit. Mungkin, untuk kali ini, dia patut beri peluang biarpun kecil. Tanpa dia sedari, senyuman tipis terukir di bibir. Hanya kerana sebuah nama di skrin telefonnya.

Bahagia Tanpa Ragu Where stories live. Discover now