Bab 6

420 37 2
                                    

TATKALA petang semakin menghampiri, dan langit di luar tingkap pejabat mula diselimuti warna lembayung. Elnara sudah tiba di rumah, menyandar pada sofa di ruang tamu sambil matanya tertancap pada cawan kopi yang mula sejuk di hadapannya. Penat seharian bekerja menambah rasa kosong di hatinya, satu rasa yang tak sepenuhnya dia fahami.

Dia menghela nafas panjang, fikirannya menerawang memikirkan perbualan telefon bersama Hakim semalam.

Sebenarnya, bukan soal hati yang dirisaukannya. Lebih kepada persoalan diri iaitu mengapa kini dia mula tertarik untuk membenarkan seseorang mendekati dirinya?

Dia tahu dirinya seorang yang sukar didekati, tidak pernah benar-benar ingin membuka ruang pada sesiapa pun.

Tanpa disedari, Nadya masuk ke bilik rehat, menegur sambil menjeling penuh makna, "Kenapa termenung, El? Rasa sunyi?"

Elnara tergelak kecil, cuba mengalihkan perbualan, tetapi Nadya lebih telus daripadanya.

"Kau nampak lain sikit akhir-akhir ni," Nadya sambung dengan lembut. "Bukan biasa kau termenung jauh macam ni... ada benda yang kau simpan ke?"

Enara sekadar mengangkat bahu, lalu mendiamkan diri. Dia tidak ingin memanjangkan hal itu. Namun, selepas Nadya berlalu pergi, Enara menyedari betapa jujurnya soalan itu.

Mungkin dia sendiri belum pernah benar-benar jujur dengan perasaannya, seolah-olah ada pergelutan di antara rasa ingin melindungi diri dan perasaan untuk tidak terus-terusan menutup pintu.

Tanpa dia sedar, satu mesej baru muncul di skrin telefonnya, menghentikan lamunan. Nama Hakim tertera di situ. Kali ini, dia mengambil masa beberapa saat sebelum akhirnya membuka mesej Hakim yang berbunyi ringkas.

"Harap hari awak berjalan lancar, El. Kalau perlukan kawan berbual, saya ada, okay?"

Mesej itu ringkas, tanpa niat memaksa. Hakim memang berbeza seperti yang difikirkan Elnara. Biasanya, orang yang cuba mendekatinya kelihatan tergesa-gesa dan terburu-buru, tetapi Hakim sentiasa bersahaja, memberi ruang.

Setelah beberapa minit berfikir, gadis itu membalas:

"Terima kasih, Ezra. Saya okay je, cuma... kadang rasa terfikir soal hidup."

Hakim membalas dengan pantas, namun kali ini nada mesejnya lebih dalam.

"Semua orang ada masa-masa macam tu. Tak apa kalau tak nak cerita. Tapi kalau awak rasa nak luahkan, mungkin sekadar dengar pun saya boleh buat."

Elnara terdiam. Selama ini, dia jarang benar-benar terbuka dengan sesiapa, lebih-lebih lagi soal perasaan dan keraguan dirinya. Namun, untuk pertama kalinya, dia merasa mungkin tidak salah untuk berkongsi sedikit.

"Saya cuma... sukar percaya. Rasanya susah nak percaya orang lagi sekarang ni."

Hakim mengambil masa sebelum membalas, seolah-olah mempertimbangkan setiap kata.

"Saya faham. Kadang kepercayaan tu memang ambil masa. Saya tak nak paksa. Cuma nak awak tahu, saya di sini—tak lebih, tak kurang."

Balasan itu ringkas tapi memberi kesan dalam. Enara terdiam lama selepas membaca mesej tersebut. Hatinya perlahan-lahan mula menerima kehadiran Hakim, walaupun kecil, kerana ketulusan yang dirasakan dari kata-kata lelaki itu.

Hari itu berakhir dengan hati Enara yang sedikit lebih ringan, mungkin kerana untuk pertama kali dalam masa yang lama, dia membiarkan seseorang mendekati walau hanya sedikit.


DISAAT malam sudah tiba, Elnara tiada sebab untuk menolak pelawaan lelaki itu untuk makan malam bersama. Begitu mudah sekali dia membiasakan diri dengan lelaki bernama Hakim Ezra itu.

"Awak mesti selalu sibuk kan, kerja hospital ni?" Hakim memulakan bicara setelah pesanan selesai dibuat. Dia memandang Elnara yang masih dengan uniform kerjanya itu.

Elnara sekadar mengulum senyuman kecil, sambil mengemaskan lengan bajunya, cuba santai.

"Memang sibuk, tapi saya dah biasa. Lagipun, rasa seronok bila tahu boleh bantu orang."

Hakim mengangguk, nampak benar-benar berminat.

"Betul tu. Saya kagum tengok awak mampu hadapi semua tu. Saya, masuk medan latihan pun kadang rasa penat."

Enara ketawa kecil, matanya sedikit terhibur. "Tapi awak kan polis? Patutnya lasak."

"Kata siapa lasak? Saya pun ada masa-masa kena jadi manusia biasa." Hakim tersenyum, lalu menambahkan, "Contohnya, malam ni, makan malam dengan orang yang saya nak kenal lebih dekat."

Kata-kata itu membuat Enara tersentak sedikit, tapi dia mengawal reaksi. Rasa malu dan segan berbaur dalam dirinya.

"Awak tak kisah ke saya... macam ni, tak mudah mesra?"

Hakim memandangnya lama sebelum menjawab dengan nada rendah.

"Tak apa. Saya akan tunggu. Kadang-kadang, benda baik memang ambil masa, kan?"

"Awak ni... kenapa baik sangat?" Memincing mata Elnara merenung lelaki di hadapannya itu.

Hakim tertawa perlahan. "Baik tak semestinya tak berani. Saya cuma nak awak tahu, saya serius."

Lekas Elnara mengalihkan pandangan ke arah lain. Gugup untuk membalas tatapan yang jelas terpancar penuh keikhlasan itu. Terlalu awal.

Jujur dia katakan, Hakim Ezra terlalu drastik. Tapi dia faham asbab lelaki itu berkelakuan sebegitu. Usianya makin lanjut. Tapi sebagai seorang perempuan, bukan mudah untuk Elnara menerima seorang lelaki semudahnya ke dalam hidupnya.

"Ini soal pasangan hidup. Sampai tua, sampai mati. Naya kalau salah langkah, El." Pesanan oleh si ibu berlegar di fikiran.

Pesanan yang sentiasa dia pegang hingga ke harini menyebabkan dia sukar untuk meluluhkan hati buat seorang lelaki.


HAKIM mengiringi Enara keluar dari restoran. Sebelum mereka berpisah, Hakim tiba-tiba bersuara. Tangan diseluk santai ke dalam kocek seluarnya.

"Esok saya bertugas. Tapi lepas saya balik, harapnya saya boleh jumpa awak lagi."

"Kita tengoklah nanti."

Hakim tersenyum puas. "Assalamualaikum, Elnara. Selamat malam."

Sambil melihat Hakim berlalu, Enara terdetik bahawa mungkin kali ini, dia boleh cuba memberi ruang pada dirinya untuk menerima kehadiran orang lain.

Cuma, dia mahu melihat sejauh mana keseriusan dan kesungguhan lelaki itu untuk lebih mendekatinya.

Bahagia Tanpa Ragu Where stories live. Discover now