Dua minggu berlalu, Hazel sudah belajar untuk menerima segala yang berlaku dalam hidupnya. Dia sudah mula tersenyum. Semuanya juga disebabkan oleh Irene dan Nufail yang tak berhenti memberi kata semangat kepadanya.
Rumah banglo dua tingkat itu dipandang kosong. Rumah ini adalah salah satu aset dari arwah Encik Hilman yang kini sudah menjadi miliknya.
Pintu rumah dikuak perlahan. Sebaik saja kaki mencecah lantai, dapat Hazel merasakan bertapa suramnya di dalam rumah itu. Perabot-perabot rumah juga ditutupi oleh kain berwarna putih.
Kaki diatur menuju ke bilik utama dimana menempatkan segala barang milik arwah Encik Hilman. Memandangkan dulu tiada yang berpenghuni di sini, tiada bilik khas untuk dijadikan sebagai bilik tidur. Bilik-bilik disini hanya menempatkan barangan kerja milik arwah Encik Hilman.
Sebaik saja dia melangkah masuk, Hazel tersenyum sendiri. Melihat ke arah buku-buku yang tersusun rapi di rak buku yang agak besar itu.
Setahunya, kebanyakkan buku-buku disini hanya tentang dunia perniagaan dan agama. Tak pernah sekalipun dia menyentuh buku-buku disini kecuali diberikan oleh arwah Encik Hilman sendiri. Itu pun tentang agama.
Dari dulu lagi, Hazel kurang gemar untuk mengikuti jejak langkah abahnya memandangkan dia lebih cenderung ke arah muzik. Namun sekarang, nampaknya dia perlu belajar dari mula. Siapa lagi yang mahu menguruskan syarikat peninggalan abahnya melainkan diri dia sendiri.
Hazel berjalan di sepanjang rak buku. Bila sampai ke penghujung, dapat dia lihat sebuah laci kecil di bawahnya. Mungkin isinya terdapat dokumen-dokumen sulit.
Terlintas di dalam hati ingin mencari tahu apa isinya. Ketika laci itu cuba ditarik, kunci.
Hazel kembali berdiri. Seraya mengatur langkah menuju ke meja kerja abahnya.
Laci paling atas dibuka, ada beberapa bekas kecil. Dibelek satu persatu sehinggalah dia terjumpa kotak yang berisi kunci di dalamnya.
Tanpa membuang masa, Hazel terus berlalu ke arah laci kecil itu kembali. Sebaik saja kunci itu dicucuk, satu bunyi telah terhasil.
Ditarik laci kecil itu perlahan. Betul sangkaannya. Memang ini semua ialah dokumen-dokumen peribadi abah.
Ada pelbagai jenis sampul surat. Warnanya pun berlainan. Mungkin itu adalah dokumen berkaitan dengan hal-hal syarikat abahnya. Itu, dia akan lihat kembali nanti.
Sekarang, apa yang menarik minatnya ialah bila mata Hazel teralih kepada satu sampul surat berwarna kuning yang agak tebal. Tertarik kerana tulisan yang tertulis di depan sampul itu.
Hazel Evelyn
Rasa berdebar. Apa mungkin isinya ialah maklumat tentang dirinya di masa lalu? Rasa takut mula menyelubungi diri. Bukan apa. Hazel takut, dia tak sanggup untuk mengetahui kebenaran lagi. Cukuplah yang Hazel sudah tahu yang dirinya ialah anak angkat.
Lama sampul itu digenggam kemas di tangannya. Masih mengumpul kekuatan.
Sanggupkah dia menerima semua ini? Entahlah... Namun selagi sampul itu tidak dibuka, selagi itu dia masih tertanya-tanya.
Hazel memejam mata sebelum menghembus nafas perlahan-lahan. Dengan segala kekuatan yang dia ada, dibuka sampuk itu lalu dikeluarkan segala isinya.
Ada beberapa keping gambar yang diikat kemas. Gambar sepasang suami isteri yang sedang memegang bayi perempuan. Wajah mereka pada ketika itu, bersinar bahagia. Bersih tanpa sebarang derita.
Ini....ibu bapa kandung aku?
Hazel terpaku. Melihat sendiri ke arah gambar pasangan itu, termasuk bayi yang berada di dakapan mereka.