"ZAYNN, tengah hari nanti kau datang ke kafe aku, boleh tak? Tu pun kalau kau tak sibuklah hari ni." Pagi-pagi lagi Mustafa menghubungi Zaynn.
Zaynn yang baru sahaja melabuhkan punggung segera memicit dahi. "Kau ni dah kenapa? Tak habis-habis lagi dengan rancangan nak jodohkan aku dengan pekerja kau ke?"
"Eh, aku tak cakap apa-apa pun pasal tu. Kau ingat, aku nak ke duduk hospital seminggu sebab kena belasah dengan kau? Sehari pun aku tak nak. Sayang nak tinggal bini dekat rumah." Mustafa gelak santai.
Zaynn tarik nafas lega.
"Lagipun, aku rasa perempuan tu tak sesuai dengan kau. Dia tu muda dan cantik. Ramai lagi pilihan untuk dia dekat luar sana. Kau pula, tua dan berkedut dah. Kau patut cari yang seusia dengan kau. Baru sesuai dengan kau kan. Lagipun, aku tak rasa kau masih bertenaga untuk buat projek meramaikan umat. Memang confirm tak berzuriat kau nanti bila dah kahwin," ujar Mustafa selamba.
Rahang Zaynn mula bergerak. Gigi diketap rapat. Dada kembali hangat. Kalau Mustafa ada di depannya sekarang, memang tak lelaki itu akan makan penumbuk sulungnya.
"Kau cabar aku ke?" Tangan dikepal kuat. Menahan rasa marah akibat dicabar.
"Eh, aku tak cabar kau pun. Kau terasa ke?" ujar Mustafa di hujung talian.
"Dahlah. Aku nak buat kerja ni. Tak ada masa nak sembang dengan kau." Terus Zaynn matikan talian.
Makin lama dia melayan Mustafa, mahunya berasap satu badannya nanti. Dia dah kenal sangat dengan perangai Mustafa. Kalau cakap bab nikah kahwin, laju saja idea nak kenakannya. Maklumlah, hanya dia seorang masih bujang kalau nak dibandingkan dengan kawan-kawan mereka yang lain. Sebab itulah, dia jarang nak layan atau jumpa kawan-kawan. Pasti dia dijadikan bahan usikan.
Namun, Mustafa merupakan kawannya yang paling rapat berbanding dengan kawan-kawan lain. Sejak zaman sekolah berasrama lagi, dia berkawan baik dengan Mustafa, sampailah ke hari ini. Jadi, antara mereka sudah kenal luar dalam.
Dari segi kerjaya, kawan-kawan memang respek dia habis. Cuma, dalam hal peribadi, dia masih gagal. Masih belum dapat memenuhi harapan Hajah Hanum yang inginkan dia berumah tangga. Tapi, tempoh tiga bulan yang diberikan oleh Hajah Hanum semakin hampir.
Tiba-tiba dia rasa seram. Mana tahu kalau ibunya nekad nak jodohkan dia dengan Gayah janda anak tiga itu. Atau mana-mana anak kenalan Hajah Hanum yang tak mampu dia nak terima. Macam mana? Naya dia nanti.
Mengenangkan jadual hariannya sedikit longgar hari ini, dia mengambil keputusan untuk akur dengan ajakan Mustafa.
"HEY, bro. Datang juga kau ya. Ingatkan tak sudi datang mencemar duli dekat kafe aku ni." Mustafa mendekati Zaynn. Menyambut kedatangan Zaynn umpama Zaynn tetamu VIP.
Memang betul pun. Zaynn kan berpangkat Dato'. Memang kena sambut dengan baik.
"Jom, kita duduk dan borak dekat sana," ajak Mustafa.
Zaynn diam tanpa suara. Matanya melihat sekitar kafe yang sudah ada banyak perubahan. Kali terakhir dia datang ke sini, dua bulan yang lepas.
Mustafa membawa Zaynn ke satu sudut. Menghadap pemandangan luar kafe.
"Macam mana? Okey tak suasana kafe aku? Aku dah renovate sikit. Yalah, nak rasa suasana berbeza. Dapat juga tarik pelanggan untuk terus ke sini." Mustafa meminta komen Zaynn.
"Bagus. Menarik," komen Zaynn.
Mustafa senyum lebar. "Aku sediakan kek spesial untuk kau."
"Aku tak berapa suka makan benda manis," tutur Zaynn.
YOU ARE READING
ZAYNN AL-FATEH
RomanceTajuk: ZAYNN AL-FATEH Penulis: AZIENA Harga: RM34 / RM37 Dhiya belajar hidup berdikari di usia muda selepas kematian orang tuanya. Hidupnya tidak seindah remaja lain. Daripada duduk di kampung menghadap muka Puan Safiah, baik dia bekerja di bandar...