BAB 7

5 0 0
                                    

DHIYA mengetuk pintu yang dihuni oleh Mustafa. Bilik yang dijadikan ofis pemilik kafe ini.

"Masuk!"

Pintu dikuak perlahan.

"Abang Mus nak jumpa Dhiya?" Dhiya yang masih berdiri di muka pintu terus bersuara.

Mustafa yang sedang duduk di kerusi memberikan senyuman. "Ya, masuklah."

Dhiya tarik nafas sekali lagi sebelum melangkah masuk ke dalam bilik yang sederhana, tapi nampak kemas susun aturnya. Ini kali kedua dia masuk ke bilik ini. Kali pertama semasa dia mula masuk kerja. Mustafa memberi penerangan tentang apa yang harus dia lakukan serta berbincang soal gaji.

"Duduklah," pelawa Mustafa bila Dhiya masih kaku di depannya.

Dhiya akur. Dia duduk di kerusi, menghadap Mustafa.

"Boleh Dhiya tahu kenapa Abang Mus nak jumpa Dhiya? Dhiya ada buat apa-apa kesalahan ke? Atau Abang Mus terima apa-apa aduan pasal kerja Dhiya?" Dhiya benar-benar keresahan.

Mustafa bersandar di kerusi. Mata merenung wajah Dhiya. Kemudian, dia menggeleng.

"Habis tu?" soal Dhiya tak sabar.

"Dhiya kenal dengan kawan Abang Mus, kan?" soal Mustafa, memulakan intro.

"Kawan Abang Mus? Kawan yang mana?" Dhiya pun tak pasti siapa yang Mustafa maksudkan.

"Kawan mana lagi? Kawan Abang Mus yang nama Dato' Zaynn. Dhiya masih ingat dengan dia, kan?" tutur Mustafa.

"Ooo... Kenapa dengan dia? Errr... Maksud Dhiya, kenapa dengan Dato' Zaynn?" Kening Dhiya hampir bertaut.

Dalam masa yang sama, dia terbayangkan wajah lelaki segak, kaya dan berpangkat itu.

"Dhiya ada jumpa dengan Dato' Zaynn dua hari lepas, kan?" aju Mustafa, merenung wajah Dhiya.

"Ya. Errr... bukan jumpa, tapi Dato' Zaynn datang ke kafe ni." Dhiya membetulkan tanggapan Mustafa.

Mustafa mengukir senyum. "Hmm... Dan, dia ada cakap apa-apa tak dengan Dhiya?"

Dhiya menelan liur. "Dhiya..."

Mustafa gelak perlahan.

"Dia minta sesuatu daripada Dhiya, kan? Maksud Abang Mus, dia nak minta Dhiya buat sesuatu untuk dia, betul tak?" soal Mustafa.

Dhiya angguk kepala.

"So, apa keputusan Dhiya?"

"Dhiya rasa, Dhiya tak mampu nak tunaikan permintaan tu," tutur Dhiya perlahan.

"Kenapa? Dhiya ada masalah nak tunaikan permintaan dia?" soal Mustafa dengan wajah serius.

"Entahlah. Susah Dhiya nak cakap." Dhiya melepas keluhan perlahan.

"Kenapa susah pula nak cakap? Terima ajelah tawaran dia tu. Bukan susah pun, kan? Dhiya tak kena keluarkan modal satu sen pun," provok Mustafa.

"Ni bukan soal keluarkan modal ataupun tak. Isy... Apalah Abang Mus ni. Geram tahu tak?" Dhiya ketap bibir.

Mustafa melepas tawa. Makin lama makin kuat.

"Yalah... Bukannya Dhiya nak buka bisnes dengan dia pun sampaikan Dhiya kena keluarkan modal. Dia nak Dhiya tunaikan permintaan yang mudah aje, kan?" ujar Mustafa lagi.

Dhiya tarik nafas kasar. Semak rasa otaknya bila tiba-tiba perlu memikirkan hal ini.

"Tak payahlah nak fikir lama-lama. Kalau Abang Mus jadi Dhiya, Abang Mus terima aje tawaran tu tanpa fikir panjang," komen Mustafa pula.

ZAYNN AL-FATEHWhere stories live. Discover now