BAB 1

87 4 0
                                    

FAIL berwarna hitam dicampak ke atas meja. Punggung menghenyak kerusi empuk miliknya. Tali leher berwarna navy blue yang dipakai dilonggarkan. Rimas! Merah pipinya menahan marah. Rambut lurusnya diraup ke belakang.

"Kau kenapa, Is? Marah-marah aje aku tengok?" soal Danial.

Dia masuk, mengekori langkah ketuanya. Punggung dilabuhkan di kerusi setentang dengan lelaki itu.

Soalan Danial dibiarkan sepi.

"Relaks, bro." Danial menyambung lagi apabila tidak ada reaksi daripada ketuanya itu.

Sejak mesyuarat tadi, bosnya itu mengamuk. Semua staf dimarah. Tak terkecuali dia. Wajah tegang lelaki di depan mata direnung seketika.

Iskandar bangkit. Dia berdiri, menghadap jendela di belakangnya. Tidak ada apa-apa yang menarik pada pandangannya. Hanya beberapa bangunan pencakar langit dan deretan kedai sahaja.

"Lembap! Buat kerja macam siput!" marah Iskandar.

Berkerut kening Danial mendengarnya. Iskandar kalau sudah marah, mulutnya boleh tahan laser.

"Aku harapkan mesyuarat kita kali ni akan bagi aku feedback yang positif. Bukan benda yang sama. Kalau setakat macam ni, kita tak perlu bermesyuarat," rungut Iskandar.

Jari telunjuknya dihalakan ke arah fail di hadapan Danial.

"Kau kena bagi staf kita lebih masa. Bukan mudah nak selesaikan perkara ni," luah Danial.

Dia perlu bijak bermain kata. Risau lelaki di hadapannya melenting lagi.

"Lagipun antara lima orang pemilik tanah yang menolak tu, cuma tinggal seorang aje yang masih 50-50. Yang lain semua kita dah berjaya uruskan. Pada aku, staf kita dah buat yang terbaik. Kau kena ingat, bukan senang nak tawan hati semua pemilik tanah tu," sambung Danial lagi.

"Kan aku dah cakap, tawarkan harga yang tinggi, tapi masih berpatutan dengan keuntungan syarikat kita nanti," jawab Iskandar, berpaling memandang wajah Danial.

"Ya, itulah yang sedang berlaku, Is. Cuma tinggal seorang aje lagi yang belum tertawan dengan tawaran lumayan syarikat kita," jelas Danial.

Iskandar diam. Dia sangat meminati bidang perniagaan. Setelah menimba pengalaman bekerja selama beberapa tahun di luar negara, Iskandar beranikan diri membuka syarikatnya sendiri setelah kembali ke bumi Malaysia.

Jadi, jatuh bangun alam perniagaan sudah dirasainya. Tak semudah itu dia akan mengalah. Dia menaruh harapan yang tinggi supaya projek resort yang dirangka di Terengganu sejak tahun lalu akan berjaya.

Sekiranya berjaya, keuntungan yang akan dinikmati nanti juga akan berlipat kali ganda. Jadi, dia harus memastikan projek kali ini berjaya. Tak boleh tidak!

"Takkan tu pun nak aku uruskan?" soal Iskandar. Marahnya sudah mula mereda.

"Nak harapkan bos juga turun padang," rungut Iskandar. Wajah keruh Danial ditatap lama.

"Aku nak maklumat semua pemilik tanah tu." Iskandar duduk setentang dengan Danial.

Danial menyerahkan fail di tangannya.

"Dalam ni ada semua maklumat tentang pemilik tanah tu. Kau boleh semak semuanya satu per satu," jelas Danial.

"Dann, aku nak kau yang uruskan kali ni. Jangan harapkan anak buah kita lagi," ujar Iskandar tegas.

Fail di hadapannya diselak satu per satu. Wajahnya tegang.

"Okey, bos," jawab Danial. Wajahnya serius.

"Kalau macam tu, aku keluar dulu. Aku ada kerja yang belum selesai."

"Eloklah kau sedar diri. Jangan makan gaji buta aje." Iskandar menyindir.

Danial memandang wajah ketuanya sekilas. Itulah Iskandar yang dikenalinya sejak dahulu. Iskandar cepat baran, tapi cepat pula sejuknya kalau kena dengan gayanya.

"Aduh, makan dalam ni, bos!" Danial meletakkan tapak tangan kanannya ke dada tanda sakit. Wajahnya dikerutkan.

Iskandar tersenyum sinis.

"Kau tak payah nak drama sangatlah," kata Iskandar. Kepala digeleng beberapa kali.

Danial tersengih. Dia mengangkat punggung dari kerusi. Malas sudah hendak melayan angin Iskandar yang tak kena masa itu. Lebih baik dia angkat kaki. Pintu di belakangnya ditutup rapat.

Iskandar tunduk meneliti fail di hadapan.

"Kenapa kau ni degil sangat?" soal Iskandar perlahan. Sekadar untuk pendengaran sendiri.

Fail di hadapannya ditutup. Satu keluhan berat dilepaskan.Dia benar-benar mahu mengenali siapa pemilik tanah itu.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: 5 days ago ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

INGIN MEMILIKIMUWhere stories live. Discover now