AKU sedang berdiri di hujung lantai tingkat dua puluh tujuh. Di hadapanku adalah udara yang mana jika aku melangkah setapak saja ke hadapan, akan disedut gravitilah tubuh aku dan terhempas ke lantai di bawah sana.
Angin kota metropolitan sedang berhembus kuat. Rambutku terpukul hingga menutup mata. Aku tarik helaian-helaian rambut itu, betulkan semula letaknya di belakang telinga.
"Hei!" Lengkingan pekikan seseorang di belakangku.
Aku pusing belakang.
Seorang lelaki berhoodie hitam berlari menerpa aku. Dia hentak buku limanya di bahuku. Hentakan yang berimpak maksimum. Aku tercampak ke belakang. Terus jatuh ke bawah.
Aku cemas!
.
.
.
HAH!
Mataku tercelik luas. Nafasku tercungap-cungap. Aku bangun dari pembaringan. Duduk. Pegang dada yang tak tentu arah degupannya. Aku usap-usap sambil-sambil berusaha atur pernafasan.
Pasti ini kesan trauma kejadian tadi. Aku diserang gangguan setiap kali cuba pejamkan mata untuk tidur.
Aku pandang jam dinding.
Pukul dua setengah pagi.
Maknanya dah lebih sejam aku dalam keadaan begini. Langsung tak boleh tidur, padahal esok pagi ada kenduri aku kena pergi.
Tak boleh ni. Aku tak boleh layan rasa takut ni. Kena lawan.
Lalu aku berbaring semula. Ambil bantal golek dan memeluknya.
Tapi rasa gayat sangat. Rasa tak selamat. Rasa bila-bila masa bahaya akan memakan aku.
Aku tarik selimut. Selubung sampai kepala.
Selesai?
Tak. Tetap rasa tak tenang. Jari-jariku menggigil halus.
Satu orang sahaja yang aku teringat dalam waktu-waktu macam ni. Selalunya tiap-tiap malam dia yang peluk aku. Aroma tubuh dia yang aku hidu sampai nyenyak lena.
Aku kena dapatkan...
Tapi, hmm... kami tengah bergaduh.
Oh, tak boleh, tak boleh. Mesti lawan juga takut tu, Cinta.
Lalu aku pejam mata.
Lembaga berhoodie hitam tanpa wajah itu lagi yang menyelubungi aku. Dia berlari pantas dan dalam sekelip mata sudah tiba di hadapan aku. Benam kepala aku dalam laut.
Aku keresahan. Bila nak tidur kalau macam ni?
Dengan berat hati kucelikkan mata semula. Termenung.
Simpati dekat diri sendiri.
Aku teringat lagi kepada seseorang itu.
Dah tidur ke dia? Teruk aku maki dia tadi. Kalau orang normal, sah-sah dia akan keluar rumah balik pergi cari ketenangan. Silap-silap order pelacur terus. Yalah, baru sampai rumah dah kena basuh. Luka kat dada pun sakitnya tak hilang lagi.
Ahhh... Dah, satu lagi rasa bersalah memenuhi hati aku.
Aku gigit hujung jari. Rasa-rasanya macam dah tak ada pilihan lain dah ni. Kena juga dapatkan dia.
Tapi... Aku takut dia marah.
Dengan takut-takut, aku bangun. Turun juga dari katil dan keluar bilik. Pergi ke bilik sebelah.
Kupulas tombol pintu.
Tak berkunci. Aku kuak sedikit daun pintu. Intai keadaan di dalam.
Gelap, hanya ada cahaya suram dari lampu tidur.
Nampak sosok tubuh lelaki itu di katil. Sedang tidur bersendirian dan berselimut.
Aku gigit bibir bawah. Sekali lagi berbelah bahagi antara rasa takut dan serba salah.
Berhati-hati kuluaskan bukaan pintu. Dengan berhati-hati juga memijak lantai. Kadar keberhati-hatian aku sekarang ni, ninja sekali pun kalah.
Tiba di katil. Aku berhenti seketika melihat lelaki itu.
Dia sedang nyenyak. Tidur berbaju. Pelik, sebab selalunya dia tidur tidak berbaju.
Tanpa meninggalkan kesan dan jejak, aku panjat katil. Satu pergerakan. Berhenti pandang dia. Sepuluh saat kemudian, satu pergerakan lagi. Kemudian berhenti dan awasi dia lagi.
Perlahan-lahan aku berbaring di sebelah dia. Tapi, walaupun tidak sebetulnya rapat di sebelah dia, aku tetap dapat hidu sayup-sayup aroma tubuhnya. Cukup menenangkan. Menghidu itu saja pun dah kembali buat aku terbuai mengantuk.
"Mmm...?" Dia tersedar. Dia berpaling pandang aku yang di belakang ini.
Terhenti pergerakanku. Takut-takut pandang mata dia.
"Cinta..." Aku risau dijerkah. "Cinta tak boleh tidur, sebab bila pejam mata aje mesti dapat mimpi bukan-bukan. Cinta takut." Kecil sahaja suara.
Kedengaran nafas hangatnya berhembus. Dia berkalih. Baring mengiring menghadapku.
Tak cakap banyak, dia tarik pinggangku. Tarik aku hingga kepalaku mendarat di atas dada pejalnya.
Aku hela nafas dalam. Ya Allah, tenangnya rasa ni...
Dia kucup dalam dan lama ubun-ubun aku. Hingga aku hampir mengalirkan air mata.
Lelaki ini baik, tapi silap dia adalah dia terlalu obses, sampai sanggup membunuh.
"Dah." Dia leraikan kucupan. "Tidurlah. Jangan takut lagi, abang ada."
Suaranya seksi baru bangun tidur.
Dia usap-usap lembut kepala aku.
Aku masih takut-takut, jadi aku antara berani dan tidak meletakkan telapak tanganku di dadanya.
Merasakan degupan yang indah itu, jadi tenang sesungguhnya aku.
Tanpa dipaksa-paksa, tertutup rapat dua kelopak mataku.
"Tolong percayakan abang, Cinta. Bukan abang yang racang semua malapetaka yang tengah menimpa kita ni." Suaranya rendah bagaikan hanya bergetar di dada.
Aku pula agak terkejut. Tak sangka dia masih terbawa-bawa dengan isu itu.
"Bukan abang yang cuba cederakan Cinta."
Aku tidak mahu mood yang sedang berlangsung ini rosak. Jadi aku diamkan sahaja pujukan dan rayuan lelaki itu.
Lagi erat dia mendakapku, lagi hanyut aku dan terbuai-buai sehingga akhirnya berjaya lena.

YOU ARE READING
STORIETTE: OVERPROTECTIVE HERO [:FAST UPDATE:]
RomanceKalau aku mati, adakah dia pun akan mati sekali? - QAISARA