Kening Najmi bertaut apabila melihat terlalu banyak bungkusan barangan yang dibeli secara online berterabur di atas meja di ruang tamu. Isterinya pula sedang duduk di atas sofa. Tekun dia membuka satu per satu bungkusan tersebut. Entah barang apa yang dibeli oleh si isteri agaknya.
"Sayang beli apa ni banyak-banyak? Novel?"
Najmi menyoal setelah dia melabuhkan sila di atas lantai. Kaki Mawar dibawa naik ke atas pahanya sebelum dia membawa keluar pemotong kuku dari dalam sebuah bekas plastik.
"Barang-barang untuk rumahlah. Untuk abang," jawab Mawar bersama senyuman.
"Barang apa?"
Najmi membelek beberapa bungkusan di hadapannya namun dia masih tidak tahu barang apakah itu. Dia memulakan kerjanya memotong kuku jari kedua-dua belah kaki si isteri sambil melihat isterinya membuka setiap bungkusan.
Ada penyangkut baju, ada sepit jemuran baju, ada kotak kain untuk tempat simpanan baju, dan macam-macam lagi. Memang semuanya barang keperluan rumah. Tidak ada satu pun barang milik kegunaan peribadi si isteri.
Usai dia memotong kuku kaki Mawar, dia henyakkan pula punggung di atas sofa di sebelah sang isteri. Tidak mahu mengganggu si isteri, dia putuskan untuk menonton televisyen. Tangannya pula bermain dengan perut isterinya itu. Sesekali dia mencium perut yang memboyot yang betul-betul berada di tepi wajahnya.
Sedang dia leka bermain perut itu, dia merasakan satu gerakan kuat dari perut isteri terkena pada wajahnya. Laju kepala tertoleh.
"Sayang lapar ke?"
Dia angkat pandangannya ke arah Mawar yang juga sedang memandang ke arahnya. Wajah isterinya itu berkerut seakan menahan sakit.
"Kenapa, sayang? Sayang sakit ke? Sakit kat mana? Nak pergi hospital tak? Jom!"
Najmi bingkas bangun dan sudah bersiap sedia hendak mencempung tubuh badan Mawar.
"Bukanlah, abang! Hero dengan Princess abang tengah aktif kat dalam tu. Cuba abang tengok perut Yas."
Najmi terus jatuhkan anak mata ke perut Mawar. Perut yang memboyot itu bergelombang kuat, membuatkan Najmi terkejut besar.
"Sayang, apa tu?!" Najmi menyoal kuat dengan jari telunjuk terhala ke arah perut Mawar.
Tergagap-gagap dia. Pertama kali dia melihat kejadian itu. Dia rapatkan kepala ingin memerhati lagi. Dan lagi sekali, gerakan kuat dari dalam perut Mawar menghasilkan gelombang.
Sekali lagi, Najmi terkejut. Membulat besar biji matanya. Pandangannya silih berganti melihat wajah isteri dan perut isteri.
"They're kicking me, abang," jawab Mawar sambil tersenyum.
"Sini!"
Mawar capai tangan Najmi dan diletakkan pada perutnya. Berkerut-kerut muka Najmi menantikan pergerakan seterusnya. Matanya tidak berkelip. Dan lagi sekali, perut isterinya itu bergelombang kuat, menandakan ada pergerakan kuat dari dalam perut.
Akibat terkejut, Najmi tarik laju tangannya. Sepanjang kehamilan si isteri, ini adalah kali pertama dia merasai pengalaman sebegitu. Sebelum-sebelum ini, tidak pernah pula. Padahal, dia selalu memegang, memeluk, dan mencium perut memboyot itu.
Jika dia sedang memandu sekalipun, sebelah tangannya turut memegang dan bermain perut si isteri. Tidak pernah pula dia alami hal seperti ini. Pergerakan anak-anaknya yang berada di dalam kandungan hanya dilihat jika isterinya itu melakukan imbasan ultrasound di hospital atau klinik.
"Siapa yang tendang ni? Hero ke Princess?" Najmi menyoal dengan wajah polos.
"Tak tahu. Cuba abang pergi jenguk sekejap. Siapa yang tendang ni tadi?" usik Mawar.
YOU ARE READING
𝐂𝐢𝐧𝐭𝐚 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐍𝐚𝐣𝐦𝐢 (𝐂)
Romance𝐑𝐘𝐀𝐍 𝐍𝐀𝐉𝐌𝐈 𝐱 𝐌𝐀𝐖𝐀𝐑 𝐘𝐀𝐒𝐌𝐄𝐄𝐍 ~𝑻𝒊𝒂𝒅𝒂 𝒂𝒓𝒂𝒉 𝒌𝒆𝒎𝒃𝒂𝒍𝒊 𝒑𝒖𝒍𝒂𝒏𝒈 𝒅𝒂𝒓𝒊𝒑𝒂𝒅𝒂 𝒄𝒊𝒏𝒕𝒂 𝒊𝒏𝒊~