LUR | 22

67 18 5
                                    

BREK tangan ditarik dan enjin kereta dimatikan. Tanpa berlengah, Raqib keluar dari perut keretanya sambil menjinjing flight bag di tangan kiri. Langkah kaki kemudiannya dihayun menuju ke pintu rumah.

Tuil pemegang ditolak ke bawah dan saat itu juga, daun pintu terkuak dari dalam. Terkebil-kebil mata Raqib saat disapa dengan kemunculan Rafiqa yang cantik bertudung dan berskirt seperti ingin keluar berjanji temu.

"Afi nak ke mana?"

"Keluar jalan-jalan. Bosanlah kalau terperap aje dekat rumah."

"Keluar? Dengan siapa?" Laju Raqib menyoal. Jangan cakap dengan kawan lelaki sudahlah. Memang dia akan ikut Rafiqa keluar sekarang juga dalam seragam juruterbang ini.

"Dengan umi dan kak Hanis. Dia orang tengah bersiap lagi dekat atas tu."

Raqib menghembus nafas lega. Namun kelegaannya hanya bertahan sesaat sebelum riak wajahnya berubah setelah dia menyedari sesuatu.

"Along baru balik, kau orang bertiga dah nak keluar, ya? Habis tu, rumah ni siapa nak jaga?" Raqib berdiri mencekak pinggang. Rafiqa dipandang geram.

"Mestilah along. Along bukannya keluar pergi mana-mana pun. Girlfriend pun tak ada, nak keluar buat apa?" sindir Rafiqa, selamba.

Raqib terkedu.

Amboi, gurau kasar nampak! Ingat yang ada boyfriend atau girlfriend saja ke boleh keluar? Yang single kena kuarantin dekat rumah? Begitu? Pelik-pelik sajalah adiknya yang seorang ini.

"Jom pergi, Afi! Umi dah siap!" Sekonyong-konyong suara ceria Puan Zaharah menyapa pelupuk telinga mereka berdua.

Serta-merta Raqib memanjangkan lehernya dari muka pintu untuk menjenguk ke dalam isi rumah. Bukan main lagi senyuman ibunya saat ini. Teruja nak keluar dengan anak perempuan kesayangannya barangkali.

"Eh, along! Awalnya balik?"

"Singapore dengan KL bukannya jauh sangat pun, umi. Satu jam tujuh minit aje dari KLIA." Raqib tunduk untuk mengucup dan menyalami tangan si ibu.

"Habis tu, ni dah makan ke belum?"

"Belum." Bibir Raqib melengkung ke bawah.

"Laa, kenapa belum?"

"Sebab along ingatkan bolehlah lunch dekat rumah hari ni, tapi tak tahu pula umi dan Afi nak keluar," tutur Raqib, pura-pura sedih.

Rafiqa yang melihat, mencebik menyampah. Kuat drama rupanya alongnya ini.

"Sorry, Isa. Hanis tak tahu flight schedule Isa akan habis awal hari ni. Paling lewat, Hanis ingatkan Isa balik sebelah petang. Sebab tu Hanis ajak umi dan Afi keluar sekejap, buat girls' day out." Hanis datang menerangkan keadaan memandangkan outing hari ini adalah ideanya.

"Oh, ya ke?"

"Tapi kalau Isa nak ikut pun boleh juga."

"Eh, tak payahlah, kak. Along baru balik, jadi dia mesti penat nak keluar. Kan?" potong Rafiqa, pantas. Dia senyum kepada Raqib, namun renungan matanya jelas memberi amaran kepada lelaki itu dalam diam.

Melihatkan itu, bibir Raqib spontan menyenget nakal.

Lalu, bersama ekspresi muka tidak pasti, dia menggerakkan bahu dan lehernya, mencari sekiranya ada kepenatan yang dia tidak tahu.

"Hmm, penat ke? Macam tak aje."

"Ya, penat. Sini mesti lenguh, kan?" Rafiqa ketap rapat giginya sambil mengurut leher Raqib dengan penuh geram.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: 3 days ago ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Lily Untuk Raqib [OG]Where stories live. Discover now