Klak! Klak!
Pintu rumah dibuka dengan kunci yang digantung bersama-sama kunci kereta. Kasut ditanggalkan dan kaki diheret masuk ke dalam rumah. Badan yang lesu kelenguhan diurut. Mata tercari-cari gerangan sahabatnya bermula dari ruang tamu ke ruang dapur dan akhir sekali di dalam bilik. Tiada tanda-tanda Rania berada di dalam rumah.
"Rania?"
Satu per satu pintu di dalam rumah itu dibuka namun masih belum kelihatan kelibat Rania. Dahi mula berkerut. Mata mengerling jam dinding yang sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Nama Rania terus dipanggil berkali-kali.
"Rania? Oh Rania? Mana pula dia ni pergi? Tak akanlah keluar kot... Dah nak tengah malam dah ni."
Ke hulu ke hilir Angela mencari Rania, jantung bagai direnggut. Bunyi seperti kucing yang bergaduh dan bunyi besi berlaga antara satu sama lain kedengaran daripada belakang rumah. Batang penyapu terus dicapai sebelum dia berjalan perlahan-lahan mendekati pintu belakang rumah. Lampu suluh pada telefon pintar turut dinyalakan. Sebaik sahaja pintu dibuka, sergahan terus dibuat.
"Hoi! Siapa kau?! Kau buat apa ni hah?!"
"Argh!!! Jangan pukul! Ni akulah, Rania!"
Kedua-dua tangan sudah naik menghadang kepalanya daripada diketuk dengan penyapu. Sekali libas daripada Angela mampu membuatkan dia masuk ke hospital. Angela sudah menarik nafas lega. Setelah itu, tangan sudah naik mencekak pinggang melihat Rania yang tertunduk-tunduk mencari sesuatu di bawah timbunan besi yang ditinggalkan oleh tuan rumah.
"Kau cari apa?"
"Aku cari anak kucing."
"Oh... Anak... Anak kucing?!"
"Kau diamlah! Nanti dia lari!" Rania bersuara dengan gigi yang diketap rapat.
"Kau nak mampus ke Rania? Kalau tuan rumah tahu kau bawa kucing masuk rumah, mati kita berdua tahu?"
Rania tidak membalas. Tangan disuakan kepada Angela. Angela pula terpinga-pinga memandang tangan Rania.
"Kau nak apa?"
"Bak sini telefon kau. Aku nak suluh besi ni. Tak nampak dia ada dekat mana."
Angela terus memberikan telefon pintarnya kepada Rania dan menyandarkan badannya pada dinding sambil memerhatikan gerak-geri Rania. Setelah bertungkus lumus, akhirnya Rania berjaya mengeluarkan seekor anak kucing berwarna hitam gelap seperti langit malam.
"Patutlah kau tak nampak... Kau pun satu masalah. Yang kau cari dia dalam gelap dah kenapa?"
"Aku pun tak perasanlah tadi yang dia warna hitam. Mari sini sayang kakak yang comel..."
Rania mengusap kepala si comel berwarna hitam itu. Mata bundar berwarna hijau keperangan itu. Angela pula sudah mula keresahan. Jari telunjuk digigit sedikit kuat. Jika dia melarang Rania, si sahabat bakal bermasam muka dengannya. Tetapi jika dia membenarkan Rania membawa masuk si kecil itu ke dalam rumah, silap hari bulan boleh dihalau mereka berdua daripada rumah sewa itu.
"Kita jaga dia boleh? Please?"
Angela diam sejenak. Mata Rania pula sudah bulat meminta simpati daripada rakannya yang bersikap dingin itu. Angela mendecit geram sebelum menjulingkan matanya.
"Ish! Yalah... Tapi kalau kita kena halau, aku tak tanggung."
Seusai Angela memberikan kebenaran, Rania terus berlari masuk ke dalam rumah bersama-sama si hitam kecil itu. Bahagianya tidak bertahan lama. Otak mula runsing bagaimana mahu dia menjaga si kecil. Hari sudah lewat malam untuk mereka keluar membeli barang keperluan si kucing.
"Angela..."
"Herm?"
Angela yang duduk di meja makan hanya mengerling sekilas ke arah Rania yang duduk bersila di atas lantai. Si kucing sudah mula berbunyi kerana kelaparan.
"Midnight lapar rasanya. Kita ada makanan kucing ke?"
"Midnight?"
"Ya, nama dia Midnight. Aku kan jumpa dia masa tengah malam, jadi aku namakan dia Midnight. Nama penuh dia Midnight Runner."
"Mana ada. Bela kucing pun tak pernah. Makanan tak sihat kau banyaklah atas kabinet tu."
Rania mula pasrah. Keluhan berat dilepaskan sebelum matanya mendarat ke tangan Angela. Mentol idea menyala terang di atas kepalanya. Bibir mengukir senyuman ngeri. Perlahan-lahan dia mengesot ke arah meja makan.
"Angela... Hehehe..."
Raut si Angela sudah berkerut seribu. Kerusi ditolak menjauhi Rania yang semakin mendekat.
"Kau ni dah kenapa? Mengesot macam hantu."
"Hehehe..."
"Baik kau cakap sebelum kau dengan kucing tu dua-dua aku humban keluar rumah."
"Ayam goreng kau tu... Bagi sikit pada Midnight boleh?"
Mata Angela turut melirik ke arah ayam goreng yang dipegang elok pada tangan kanannya. Kepala terus digeleng berkali-kali tanda tidak setuju. Plastik hijau yang membungkus beberapa ketul ayam goreng itu disauk dan disorokkan di belakang badan.
"Tak ada maknanya. Aku lapar tahu tak? Ni makanan pertama aku hari ni."
"Alaa... Seketul saja... Bolehlah eh? Kasihan dekat Midnight Runner."
"Tak kisahlah Midnight Runner ke? Maze Runner ke? Tak... Boleh!"
"Please..."
Angela sudah mencebik. Mata merenung si kecil yang berbulu hitam dengan mata bundar itu. Mata yang hijau keperangan itu turut memujuknya untuk memberikan ayam goreng itu. Akhirnya, Angela mengalah.
"I hate both of you. Ambillah!"
"Yeszahhh!!!"
Rania terus bangun daripada duduk dan menyambar plastik yang berisi ayam goreng itu. Kemudian, dia mula menyuap cebisan-cebisan ayam kepada si kecil. Sungguh berselera Midnight menguyah isi ayam goreng itu. Tanpa sedar, hati Angela sedikit tercuit dengan rasa sayang kepada si kecil itu.
"Angela. Ibu macam mana? Doktor kata apa?"
"Doktor kata ibu makin okey. Cuma masih tak kuat macam dulu. Kena selalu pantau keadaan ibu."
Rania mengangguk.
"Terima kasih tahu sebab sudi jaga ibu aku."
"Tak ada hallah. Ibu kau tu pun dah macam ibu kandung aku..."
Angela senyum kepada Rania.
'Malah lebih baik daripada ibu kandung aku sendiri.' Hatinya berbisik.
Saat Angela dibuai lamunan, kedengaran bunyi sendawa daripada Rania. Tersentak dirinya dan dia memandang plastik ayam goreng tadi. Terbeliak biji mata.
'Kosong!'
"Kau habiskan ayam aku?! Midnight yang nak makan ke atau kau yang makan?!"
"Alaa... Sambil-sambil aku suap dia, aku rasa sikit ayam goreng kau. Sedap sangat. Tak sedar pula dah habis. Nanti aku belikan ayam goreng baru untuk kau."
Angela hanya memandang jengkel kepada si sahabat yang sudah baring terlentang di atas lantai akibat kekenyangan. Si kecil Midnight juga tidak kurang apabila dia turut berbaring terlentang dengan perut bulatnya. Tak sopan betul perangai kedua-duanya.
"Haih... Okeylah, aku masuk bilik dulu. Penat aku melayan kau orang berdua."
Langkah dibawa ke bilik untuk beristirahat. Badan dihempas ke atas katil yang empuk. Seluruh badan terasa sengal. Rambut pendeknya diraup ke belakang. Fon telinga dicapai lalu diletakkan pada kedua-dua belah telinga. Sebuah lagu dimainkan pada telefon pintarnya. Dengan alunan lagu yang mendayu, mata mula memberat dan dia beransur ke alam mimpi.
ANDA SEDANG MEMBACA
THE DEATH EATER (C)
AkcjaKeluarga mati dibunuh ketika di usia remaja menjadikan dia seorang anggota tentera berpangkat kapten. Kapten Wang Zhen Wei, anak lelaki sulung bagi keluarga Wang yang dikenali sebagai sebuah keluarga yang sangat dihormati. Punca kematian ahli keluar...
