LRT tiba di Stesen Sri Petaling. Sani melihat jam yang berada di stesen LRT tersebut. Pukul 7:15 pagi. LRT tiba tepat pada waktunya.
Sani melangkah lemah ke dalam LRT. Seperti biasa, perasaan malas merajai dirinya setiap kali ketika mahu pergi bekerja. Walaupun sudah tiga tahun lebih Sani berhijrah dan bekerja di Kuala Lumpur, dia masih selesa pergi ke tempat kerjanya dengan menaiki LRT.
Sani tidak pernah terfikir untuk membeli kereta atau motorsikal sendiri. Dia selesa dengan perkhidmatan pengangkutan awam tersebut. Sani tidak rasa dia memerlukan kenderaan sendiri. Dia menyewa bersama 5 orang kawannya yang semuanya mempunyai motor dan kereta.
Semua kawannya tidak pernah lokek untuk memberi pinjam kenderaan mereka kepada Sani apabila dia memerlukan asalkan Sani menggunakan kenderaan mereka dengan cermat dan mengisi semula petrol yang telah gunakan. Sani akan menggunakan perkhidmatan bas ekspress apabila mahu pulang ke kampungnya di Melaka. Bila sampai di rumah ibubapanya, dia akan meminjam kereta ayahnya kalau mahu keluar bertemu kawan-kawannya.Itu adalah antara alasan relevan yang akan Sani berikan apabila ditanya kenapa dia tidak mahu membeli kenderaan. Tetapi sebenarnya ada satu sebab lagi, sebab utama kenapa dia tidak mahu membeli kenderaan sendiri. Apabila Sani pergi kerja menaiki LRT, peluang untuk dia bertemu dengan perempuan yang masih single agak tinggi berbanding menaiki kenderaan sendiri.
Memandangkan umur Sani kini sudah mencecah 29 tahun, dia merasa sudah tiba masanya untuk dia mendirikan rumah tangga. Namun dia tidak mempunyai teman wanita. Itulah salah satu sebab kenapa dia menaiki LRT. Dengan harapan dia akan bertemu dengan perempuan impian yang mampu menjadi suri hatinya di dalam LRT yang saban hari dinaiki olehnya.
Sani mendapat idea yang dia akan bertemu jodoh di dalam LRT hasil inspirasi dari video muzik lagu I Knew I Loved You, nyanyian kumpulan Savage Garden. Video muzik lagu nyanyian dari kumpulan yang berasal dari Australia itu sangat popular dan sering dimainkan di MTV sekitar tahun 2000 dan menjadi siulan anak muda sebayanya.
Dalam muzik video itu, penyanyi kumpulan Savage Garden, Darren Hayes, bertemu dengan gadis impiannya, lakonan Kirsten Dunst, di dalam tren yang dinaikinya. Video muzik itu melekat di minda Sani sehingga ke hari ini. Dia yakin satu hari nanti, usaha dia akan berhasil sama seperti muzik video tersebut."Sudahlah, Sani. Dah 3 tahun kau naik LRT. Aku tengok, takde jugak awek yang sangkut dengan kau." Itulah antara kutukan yang diterima dari Azri, kawan serumahnya.
"Aku rasa, setiap kali ada awek masuk dalam LRT tu, kau bukak lagu Savage Garden tu. Barulah ada awek lekat dekat kau." Tambah Iqbal pula, seorang lagi kawan serumahnya.
Sani hanya tersenyum nipis bila mendengar perlian dari kawan serumahnya. Dia yakin suatu hari impiannya bakal termakbul jua. Keyakinan Sani semakin menebal semenjak Sani bertemu dengan "dia" semenjak 3 bulan yang lepas.
"Stesen Sungai Besi." Lamunan Sani tersentap. Dia perlu fokus kerana stesen yang dinantikan sudah tiba. Bukan. Sani bukannya mahu turun di Stesen Sungai Besi. Tetapi dia menanti penumpang yang bakal masuk ke dalam gerabak LRT itu. Sani tersenyum. "Dia" sudah memasuki gerabak LRT.
"Dia" yang Sani maksudkan adalah Nur Hidayah, gadis yang Sani nampak semenjak 3 bulan lepas. Gadis yang sentiasa bermain di mindanya. Gadis yang menjadi calon impian untuk dijadikan isterinya.
Nur Hidayah mula muncul dalam hidup Sani semenjak 3 bulan lepas. Melihat dari raut wajah Nur Hidayah yang masih muda, Sani membuat taakulan sendiri yang Nur Hidayah baru sahaja menamatkan pengajian di IPT dan baru bekerja di Kuala Lumpur. Dan secara kebetulan juga, setiap kali Nur Hidayah masuk ke dalam LRT, pasti mereka akan naik dalam gerabak yang sama.Sudah 3 bulan Sani memerhatikan Nur Hidayah dari jauh. Sani masih belum ada keberanian untuk memulakan bicara dengan Nur Hidayah. Walaupun Sani masih belum pernah berbual dengan Nur Hidayah, namun Sani sentiasa membuat pemerhatian yang lebih kepada gadis impiannya itu.
YOU ARE READING
I Knew I Loved You
RandomKadang-kadang, kita tahu kita boleh jatuh cinta dengan seseorang hanya dengan sekali pandang. Atau pun sebelum kita bertemu dengannya lagi...