Dia selalu teringin menjadi halimunan. Tidak dilihat, tidak disedari. Macam angin di kawasan sub urban sunyi jauh dari pantai—kita tahu angin itu ada, tapi pokok tidak kelihatan bergoyang dan suratkhabar di atas meja pun tidak melayang ditiup angin.
Macam itulah. Macam itulah rasanya kalau jadi halimunan. Lebih baik kalau jadi manusia halimunan, boleh berteleku di hujung baris perhimpuan, mengelamun kisah indah tanpa dipanggil Mat Jenin. Boleh duduk di hujung kelas membaca novela kegemaran tanpa diambil atau dirampas pelajar lain. Boleh pakai tudung buruk berkeronyok lupa seterika dan kasut lusuh lupa kapur tanpa menjadi bahan umpatan gadis dan pria sebaya. Boleh pergi ke kantin untuk mendapatkan nasi lemak Kak Sah yang selalu laris dalam masa sepuluh minit tanpa kena pau duit dengan sesiapa didalam perjalanan.
Boleh mengharungi sesi persekolahan tanpa dibuli.
Ah, tapi kan! Itu mimpi saja. Mimpi yang mengisi detik tutup mata ketika ingin melupakan dunia sebenar dan memvisualisasi utopia terindah. Gadis itu terpaksa faham dan telan hakikat yang dirinya sekarang ialah manusia biasa, iaitu tergolong dalam pelajar malang di hierarki terbawah dalam kitar makanan pemangsa sosial sekolah. Atas sekali ialah Badan Pelajar—yang sempurna serba-serbi dari rupa wajah ke perilaku serta kepintaran belajar. Bagai singa, tiada siapa boleh sentuh kerana mereka dibayangi fakulti guru dan pengarah atasan sekolah yang sentiasa melindungi. Di bahaGinan tengah pula ialah pemanjat sosial—hanya memiliki samada rupa, saiz, bakat, atau peminat yang ramai—dan berusaha merebut tempat di atas bersama sang singa.
Di bawah itu ialah peminat-penyokong orang yang di atas—yang mendapat perlindungan dengan berasosiasi dengan yang ada rupa atau bakat. Groupies, kata orang putih. Dan yang dibawah sekali ialah yang 'lebihan'—macam si gadis yang tidak berapa cantik, tidak berapa ramah, dan tidak juga berapa pandai. Tambah pula dengan sikap yang pacifist dan intorvertis (tidak tahu mengapa pelajar di hierarki terbawah selalu memiliki ciri ini), yang memudahkan mereka menjadi mangsa mudah kepada semua golongan yang berada di atas.
Tiada siapa yang akan sokong. Tiada siapa yang akan bantu. Semua merelakan dengan samada melihat penuh senyuman, atau pandang ke tepi seolah-olah tiada apa berlaku.
Dan si gadis itu—oh ya, lupa pula hendak sebutkan namanya,maaf; dia kita namakan Mia—terpaksa mengharungi hari demi hari dengan sebolehnya mengelak semua jenis manusia yang ada di sekolah. Kalau tidak, jangankan kerja sekolah, menghabiskan pembacaan buku novela kegemaran pun tidak akan sempat. Namun elak-mengelak ini bukan semudah melarikan diri dari tembok ke tembok seperti ninja. Tiap hari ada saja yang menyedari kehadirannya—dan ada saja yang akan membuli.
Suatu hari, singa yang paling atas dalam hierarki menyebut-nyebut nama Mia. Ini bukan singa biasa—ini raja singa kepada semua singa—yang paling garang, yang paling kejam, yang paling ditakuti—pengawas pula. Dilindungi oleh guru; oleh itu tiada siapa berani sentuh.
"Mia! Mia, mana Mia!" jerit si singa. Kita namakan dia Gina. Dia bergerak seperti seekor pemangsa sepertinya, menerkam dari bilik darjah ke bilik darjah mencari Mia. Rakan-rakan hierarki tengah mula haru-biru; berbisik sesame sendiri tentang mengapa ia berlaku. Bisik seseorang, mungkin Mia ada bercakap dengan prospek kekasihnya, si lelaki wakil ragbi yang kita namakan Tam.
"Habislah kau, dia cari kau kerana kau berbual dengan Tam semalam," bisik ahli hierarki tengah, yang kebetulan berada di meja bersebelahan Mia. Dia senyum sinis dengan kening bersimpul, seolah-olah ia membayangkan keseronokan suatu persembahan sadis yang akan bermula sebentar lagi.
Mia ambil itu sebagai amaran, namun. Dia berlari keluar dari bilik darjah, lalu menelusuri laluan penyambung antara blok untuk ke blok paling hujung. Kepalanya pusing memikirkan insiden semalam. Tentunya, lelaki serupa Tam tidak berniat untuk memilih aku! Dia cuma mahu akau tapaukan rokok batang untuknya dari kedai di belakang pagar sekolah. Dia jadikan aku sasaran kerana aku selalu bersila di perdu pokok tepi pagar untuk membaca buku tiap kali kelas PJ. Tiada siapa akan sedar kalau aku hilang sekejap, katanya. Lagipun buku kau ni aku akan koyak masuk longkang kalau kau tak buat, katanya.
YOU ARE READING
Hanan
Mystery / Thriller“Mama kan ada,” jawab Mia, meninggikan kening namun suaranya masih lembut. “Tapi mama perempuan,” balas Hanan. “Apa masalahnya dengan perempuan?” “Hanan tak ada ayahkah?” tanya Hanan pantas. Terkesima sebentar Mia dengan topik sebegitu. “Mestila...