Imbasan
Inspektor Ebrahim a.k.a abang pedas
Waktu rehat. Masing-masing dapat nasi bungkus. Sebotol air mineral. Sebiji epal merah yang besar. Sampai giliran aku, buah epal merah dah habis. Agak hampa tapi tak apalah. Aku berjalan menuju ke skuad aku tapi tak ada tempat duduk pula. Semuanya duduk bersepah-sepah di tepi jalan. Makan dengan berselera tapi selera aku hilang. Aku letak balik nasi bungkus dan mata masih berharap ternampak sebiji epal merah terselit di mana-mana di celah kotak.
"Dah habis epalnya, dik. Maaflah tak cukup pula," beritahu salah seorang koperal wanita yang bertugas membahagikan makanan.
"Tak apa, kak..."
Aku keluar dari pondok bit polis. Berjalan sambil meneguk air mineral di tepi jalan, menghadap lalu lintas yang dah agak lengang.
"Hei!"
Aku menoleh. Serentak dengan itu, sebiji epal dicampakkan kepadaku. Aku menangkapnya pantas. Dia berjalan tegap ke arahku. Tetap tak lekang dengan mata kumpuannya.
"Kenapa tak makan?" tegurnya bila melihat aku masih terkaku.
"Takut epal ni beracun?"
Epal itu diambilnya semula dari tanganku. Dilap ke T-shirt putihnya, dia gigit kemudian kunyah. "Tak ada racun. Rangup dan selamat. Enjoy it."
Epal itu terus ditekan ke mulutku kemudian dia berlalu. Aku spontan cepat-cepat memegangnya, takut terlepas. Aku menunduk melihat epal merah di tangan.
Ahmad
Pandanganku hala ke tepi tebing. Seperti biasa, ada ramai penjual jagung rebus, telur itik, ABC, sate, roti berdaging dan air tuak. Air tuak?! Ramai duduk mengerumun penjual air tuak dan seperti ada anak kecil persis Ahmad. Hatiku tertarik untuk mendekat. Aku meninggalkan restoran bot. Langkahku semakin hampir dan mata melilau mencari bayangan Ahmad.
Tiada. Aku beristighfar perlahan. Aku masih belum boleh melupakannya. Dan aku juga tidak mahu melupakannya. Sampai bila-bila. Pandangan mata pelanggan yang lain tidakku hiraukan. Aku berdiri kaku memerhati air tuak dituang ke dalam gelas buluh. Rasa perit di kerongkong. Kenangan Ahmad mula mendatang. Sampai bila aku tidak akan menjamah air ini? Ingatan kepada Ahmad boleh saja tetapi aku harus kuat. Aku harus minum! Aku ingin buktikan kepada Firman yang aku dah okey. Aku dah boleh mengatasi keenggananku.
Aku membuat isyarat tangan kepada penjual air tuak ini, seorang lelaki tua. Lelaki tua itu melihat aku dari atas ke bawah kemudian menggelengkan kepalanya. Aku hairan. Aku isyaratkan aku ingin meminum dan membelinya. Lelaki tua itu tetap berkeras dan menggoyangkan tangannya. Kenapa? Dia fikir aku tidak ada duit? Aku mengeluarkan beg duit kemudian menunjukkan US dolar beberapa keping. Dia tetap menggelengkan kepalanya sambil mulutnya berbunyi Cham! Cham!
Aku semakin hairan.
"Awak nak minum?" Satu suara menegur.
Mataku hala ke wajahnya. Seperti pernahku lihat di kampung, tetapi siapa? Mendengar dia berbahasa Melayu aku lega. Pasti keluarga atau orang kampung Firman. Beberapa orang lelaki berdiri di sebelahnya sambil tersengih-sengih.
"Ya... Tapi rasanya pak cik ni tak faham apa yang saya cakap. Mungkin dia ingat saya tak ada duit atau dia tak mau duit USD."
"Dia faham... tapi dia fikir awak keseorangan. Saya boleh belikan untuk awak jika awak nak. Satu gelas cukup?" Senyumnya begitu ramah sekali.
"Saya nak tiga gelas."
Kali ini aku betul-betul nak tamatkan fobia aku dengan air tuak. Mukanya berubah riak, terkejut. Tapi kemudian dia tersenyum lebar.