Keseronokan hari jumaat bertukar menjadi sebaliknya sebaik sahaja aku membuka peti email jabatan. Lebih-lebih lagi pabila terlihat satu email yang dihantar terus oleh seseorang yang paling berkuasa di dalam jabatan ini. Email dengan subjek tertulis "Discussion and Planning Regarding Bla bla bla" sudah memberi bayangan akan nasib buruk yang bakal menimpa aku pada hari yang mulia ini. Ia sah menjadi mimpi ngeri sebaik sahaja aku membaca isi kandungan email tersebut yang menyebut aku harus berkumpul di dalam bilik beliau bersama dua tiga orang staff lain. Lebih mendukacitakan, perbincangan akan dinulakan pada jam 5.30 petang, waktu yang sepatutnya aku sudah berada di hadapan mesin perakam waktu, bersedia untuk punch out dan bergerak ke KLCC untuk menonton filem yang dinanti-nantikan.
Jam 5.40 petang, aku sudah berada di dalam bilik beliau. Lambat sepuluh minit itu mendefinasikan bahawa aku seorang Melayu yang masih tebal dengan sifat-sifat Melayu. Aku ditemani oleh dua orang Executive yang lebih berpengalaman dan ada rekod kedatangan lebih baik dan bersih daripada aku. Penghuni bilik ini atau seperti yang aku sebutkan tadi, orang paling berkuasa di jabatan ini masih belum kelihatan. Aku difahamkan beliau dalam perjalanan usai menghadiri satu mesyuarat yang lebih penting. Sedang aku membelek-belek buku catatan yang penuh dengan tulisan kisah-kisah sendu dan kata nista buat bekas kekasih, aku terhidu akan bau sesuatu. Bau yang kurang menyenangkan, aku fikir datangnya dari tapak kasut yang mungkin terpijak periuk api atau disebut sebagai tahi kucing. Tidak, bau ini bukan datang dari tapak kasut aku atau sesiapa di dalam bilik ini. Ketika aku masih mencari jawapan, pemilik bilik besar ini sudah sampai dan duduk betul-betul menghadap aku.
"Owh, mungkin bau ini datang dari hati orang yang berada di hadapanku ni" getus aku di dalam hati.