Amin merupakan seorang graduan lulusan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal daripada universiti yang terletak di bumi Tok Gajah, iaitu Universiti Malaysia Pahang ( UMP ). Amin sudah lali dengan reaksi orang ramai yang kagum kerana menyangka Amin belajar di Universiti Putra Malaysia ( UPM ). Perkara ini sedikit sebanyak mengguris hati Amin kerana UPM merupakan universiti pilihannya yang pertama semasa dia mengisi permohonan UPU secara online 4 tahun yang lalu. Walaupun nasib tidak menyebelahi Amin untuk dia melanjutkan pelajaran ke universiti impiannya itu , Amin tetap redha dan pasrah di atas ketentuan Ilahi.
Setelah lebih kurang 4 tahun memerah keringat dan menjana sel-sel otak agar sentiasa berhubung sepanjang pengajiannya di universiti , Amin kini telah berjaya bergelar graduan segar. Amin kini telah memegang title alumni UMP dan dia berasa agak bangga kerana dia sudah layak untuk memasuki group Alumni UMP di Facebook.
Sebulan telah berlalu sejak Amin secara rasminya telah mendaftar keluar daripada UMP. Secara jujurnya , Amin masih lagi kabur tentang hala tuju dan pelan masa depannya selepas habis belajar. Amin buntu sama ada mahu menyambung Master, mencari kerja , ataupun berkahwin walaupun ironinya Amin masih belum mempunyai teman wanita . Amin sedar, dia perlu mencari jawapan segera kepada semua persoalan ini. Sebenarnya, jawapan yang perlu dicari Amin itu bukannya untuk dirinya sendiri, tetapi sebagai langkah persediaan untuk menepis soalan-soalan cepumas daripada pakcik dan makcik di kampung, jiran tetangga , kawan sekerja ayah Amin , kawan main kutu ibu Amin, kawan sekolah lama Amin, cikgu-cikgu Amin, dan orang yang entah siapa-siapa .
Soalan-soalan klise seperti " Kerja apa sekarang? " , " Bila nak kahwin? " , " Awek orang mana? ", " Kos kau tu ada kerja apa je? ", " Taknak sambung belajar ke " sudah di set dalam minda dan pastinya skema-skema jawapan daripada persoalan tersebut harus dirangka dengan teliti bagi memudahkan sesi soal jawab. Walaupun jauh di sudut hatinya, dia ingin menghumban ke parit sesiapa yang bertanya soalan-soalan sensitif seperti di atas, tetapi dia tetap berusaha ingin menjawab agar kelak dia tidak berada dalam situasi kekok disertai dengan bunyi cengkerik ketika berhadapan dengan pertanyaan orang ramai.
Sebelum ini, Amin pernah juga berhasrat ingin menyambung Master setelah habis belajar kerana dia merasakan dia belum lagi bersedia untuk keluar menceburkan diri ke alam pekerjaan. Amin bercita-cita mahu menjadi pensyarah kerana dia fikir kerjaya sebagai pensyarah mampu mengurangkan risiko sunburn pada muka. Iyalah, kalau jadi jurutera , pasti kerjanya dibawah terikan matahari sambil mengkoordinasi dan memantau pekerjaan baiya-baiya di tapak pembinaan. Sebagai seorang lelaki metroseksual yang sentiasa mengamalkan penjagaan rapi pada kulit, rambut, pakaian, dan tubuh badan , Amin merasakan bahawa pekerjaan sebagai jurutera dapat menggugat kekacakan dirinya itu. Pernah suatu ketika dahulu Amin merasakan yang dirinya lebih layak berbanding Aaron Aziz untuk menjadi model iklan pencuci muka lelaki Garnier di tv. Dia merasa bahawa dia dan Aaron Aziz berkongsi banyak perkara. Muka yang licin, kulit yang mulus, tubuh yang katang, dan gaya yang maskulin. Bagi pendapatnya , semua kriteria itu ada padanya tetapi malangnya orang sekeliling sangat susah untuk mengakuinya.
YOU ARE READING
Hikayat Seorang Penganggur
Kısa HikayeKisah Amin , seorang graduan yang masih lagi kabur tentang hala tuju dan perancangan hidupnya selepas tamat ijazah di universiti.