Seawal usia lima tahun, aku sudah pandai memakan epal bersama kulitnya sekali. Aku anggap ini merupakan ukuran kematangan yang meletakkan diriku di tahap yang lebih tinggi, yang membezakan aku dengan kanak kanak lain. Namun apabila aku beberapa kali turut termakan pelekat label bersama kulit epal, aku mula sedar yang kematangan itu ada batasnya.
Hari ini setelah 22 tahun kemudian, aku sekali lagi gagal menunjukkan kematangan apabila lupa pada janji untuk bertemu bakal isteriku untuk membincangkan perihal urusan perkahwinan kami. Sebenarnya aku tidak pernah mengenali perempuan itu sebelum ini. Ini ialah kali kedua dalam hidup aku akan bertemu dengannya. Oleh itu apabila dia tiba tiba sahaja muncul didalam rumahku tanpa aku sadari, aku berasa amat terkejut dan hampir jatuh terlentang dari kerusi kerjaku yang peratusan sudut sandarannya berada pada tahap maksimum.
"Siapa kau?" Soalku cemas pada bakal isteriku itu, yang jika tidak silap aku namanya ialah Norasyikin something.
Mulutnya terkumat kamit menghamburkan sesuatu. Dari riak wajahnya aku tahu dia sedang memarahi aku dengan kata kata kurang enak.
Mujurlah aku tidak mendengar percakapannya itu. Kedua telingaku kemas dikatup headphone monitor Beyerdynamic ribuan ringgit. Aku menanggalkannya lalu disangkut di leher.
Aku tidak mengulangi pertanyaanku tadi. Ingatan aku kembali pulih setelah melihat wajahnya yang garang dan diselubungi amarah itu. "Cantik juga" bisikku di dalam hati.
"Saya call banyak kali tak angkat, ketuk pintu bagi salam tak dengar. Pintu rumah tak kunci kalau perompak masuk tak sedar baru padan muka!" Terangnya dengan ganas.
"Sorry saya pakai headphone ni tak dengar tadi. Kita dah lambat ke ni? Awak tunggu kejap yee saya bersiap kejap jee.. kejap jee..." Aku membuat suara gedik agar hatinya tercuit dan kemarahannya surut.
Dia diam membisu tidak membalas sambil menarik wajah ketat. Tangannya disilang kemas di dada.
Aku bangun dari kerusi tersengih sengih sambil melunjurkan tangan kanan isyarat sopan untuk melewatinya ke arah bilik air. Tanpa aku sadari wayar stretchable headphone monitor mahalku (yang mampu dipanjangkan hingga lima meter untukku senang bergerak bebas didalam rumah tanpa menanggalkan headphone) yang bersambung dengan interface firewire Mackie ribuan ringgitku, telah tersangkut dibawah payudara bakal isteriku itu ketika aku membelakanginya untuk ke bilik air, kemudian selepas melepasi halangan payudaranya telah tersangkut pula pada hijabnya hingga hampir tertarik keluar dari membaluti kepalanya.
"Hey hey apa ni, apa ni?!!" Marahnya sambil kelam kabut melepaskan wayar headphone monitor mahalku yang terbelit pada hijabnya.
Aku terkejut dan segera menanggalkan headphone monitor mahalku yang sejak dari malam semalam tidak lekang dari kepala dan leherku.
"Sorry sorry tak sengaja" aku meminta keampunan.
"Lain kali tengoklah orang sikit!" Bebelnya lagi sambil mengemaskan kembali penampilan dirinya yang kini tidak keruan.
"Cancellah pegi butik pengantin ni, saya banyak lagi kerja lain. Awak pergi la sorang!" Marahnya lagi. Bakal isteriku itu mula bergegas ke arah pintu rumah. Langkahnya laju, dengan gaya sedikit menghentak kaki, bahasa fizikalnya nampak marah namun masih bercirikan muslimah.
"Awak kejap kejap!"
"Apa lagi?!" Dia berpaling. Hijabnya kini nampak tidak simetri pada wajahnya.
"Tarikh perkahwinan kita 30 Disember ni kan (seperti yang dipersetujui keluarga kami)"?
"Kenapa? Dah lupa la tu".
"Bukan bukan, saya cuma nak confirm kan".
"Iye, 30 Disember!" Jawabnya tegas kemudian segera berpaling tubuh menyambung kembali perjalanan ke arah pintu rumah.
"Awak tunggu jap tunggu jap!"
"Apa lagi?!"
Aku berlari anak ke arah meja kerjaku, mengambil mikrofon kondenser Neumann ribuan ringgitku, kemudian menekan butang record pada track baru di perisian Cubase Pro 8 ribuan ringgitku, di skrin monitor iMac ribuan ringgitku, kemudian berlari anak semula ke arah bakal isteriku itu.
Sambil dengan berhati hati merapatkan mikrofon kondenser ribuan ringgitku itu ke wajahnya,
"Err.. boleh tak awak ulang semula tarikh hari perkahwinan kita tu?"
Dia tergamam seketika sebelum berkata "awak ni gila ke apa, nak buat apa ni?"
"Err.. supaya saya tak lupa sampai bila bila. Boleh la pleaseeee.. pleasee..." rayuku dengan senyuman ikhlas.
Dia mendengus kuat tanda menyampah. Kemudian menarik nafas dalam dalam sebelum berkata dengan nada kuat
"30 disemberlah bodoh!"
Selepas melafazkan, atau menjeritkan tarikh keramat itu, dia memalingkan semula tubuhnya, kali ini langkahnya lebih laju menuju ke pintu keluar. Pintu dihempas kuat apabila ia sudah dibelakangnya, dan keadaan kembali hening dan tenang.
Aku berlari anak semula ke arah meja kerja, duduk diatas kerusi kerja yang peratusan darjah kesandarannya aku kecilkan sedikit agar dudukku selesa dan bersedia. Aku ambil headphone monitor ribuan ringgitku dan didekapkan kembali ke kepala. Rakaman suara tadi aku mainkan semula. Bahagian suara aku memintanya menyuarakan tarikh dipotong dan dibuang. Aku bercadang untuk memadam bunyi pintu yang dihempas itu juga tetapi aku batalkan niat itu apabila menyedari potensinya untuk dimanupulasi sebagai bunyian perkussi. "Sedap juga suaranya" bisikku apabila mendengar rakaman itu dalam mode berulang.
Dengan sedikit sentuhan gema reverb dan tapisan phaser, serta sedikit sentuhan ossilator frekuensi rendah oktav bersegi, akhirnya rakaman suara bakal isteriku yang mengingatkan aku tarikh perkahwinan pra perancangan kami itu, kini sesuai dijadikan loop untuk bassline sebuah karya yang ambien mahupun trippy. "Power juga ni" pujiku pada diri sendiri atas bakatku yang ekstra ordinari.
YOU ARE READING
Suamiku Seorang Produser Musik Elektronik
ChickLitEmiliana Norasyikin, seorang pegawai tadbir kerajaan gred M41 disebuah kementerian di Putrajaya, merupakan seorang gadis yang amat komited pada kerjaya, taat pada parti, bercita cita tinggi dan berhijab gaya moden. Pada suatu hari cita citanya menja...