DAHLIA memandang jari-jemarinya yang merah. Sekejap lagi dia akan diijabkabulkan dengan Syafiq, anak lelaki Tuan Haikal dan Puan Marina. Dahlia tidak pernah menyangka perkenalannya dengan Puan Marina akan membawa kepada perkahwinan ini. Sungguh! Dia tidak pernah menduga bahawa Puan Marina mahu menjadikannya sebagai menantu. Dan yang paling tidak terjangkau dek akal fikirannya adalah dia akan bersetuju!
Arranged marriage! Itulah gambaran yang paling tepat untuk perkahwinannya. Namun Dahlia reda. Walaupun pada mulanya rancangan perkahwinan ini ditentang oleh ibu bapanya, Dahlia yakin niatnya yang suci pasti akan membawa kepada kebahagian. Dan kerana itu, dia menerima Syafiq, lelaki yang tidak pernah dikenalinya sehinggalah di saat pertama pertemuan mereka tiga bulan lalu.
Syafiq baginya seperti lelaki yang baik. Suka ketawa dan agak keanak-anakan. Syafiq juga sepertinya, menerima rancangan perkahwinan ini dengan rela. Kata Syafiq, mungkin telah tersurat pada takdirnya bahawa Dahlia akan menjadi suri dalam hidupnya.
Kata-kata itu menyakinkan Dahlia bahawa dia telah membuat keputusan yang betul. Dahlia akui dia senang bersama Syafiq. Tetapi cinta? Mungkin tidak. Dahlia sedar dia tidak mencintai Syafiq. Tetapi dia memohon agar perkahwinannya nanti akan membuahkan perasaan cinta dalam hatinya. Lagipun kata orang, bercinta lepas kahwin lebih manis!
Dari kejauhan, masuk seorang lelaki ke dalam masjid. Langkahnya yang tergesa-gesa tiba-tiba terhenti betul-betul bertentangan dengan kedudukan Dahlia yang bersimpuh ayu. Dahlia mendongak dan matanya tertancap pada wajah lelaki yang segak berbaju melayu biru itu. Lelaki itu kelihatan serba salah. Dahlia terus mengalihkan pandangan dan berpaling ke arah ibu yang duduk di sebelah kanannya. Sungguh tidak manis untuk dia memandang lelaki lain pada hari pernikahannya sendiri.
Dari hujung matanya, Dahlia dapat melihat lelaki tadi berbisik sesuatu pada Tuan Haikal. Lelaki separuh abad itu berubah wajah dan kelihatan terkejut. Pandangan mata Tuan Haikal kemudiannya jatuh pada Dahlia sebelum dia kemudiannya bergegas menemui Cikgu Darius, bapa Dahlia.
Hati Dahlia tiba-tiba diselubungi perasaan bimbang. Apa sudah jadi? Ada apa-apa yang terjadi kepada Syafiq ke?
"Ibu, kenapa tu?" Dahlia menyoal ibunya perlahan. Sedikit berbisik. Takut-takut didengari oleh hadirin yang ada.
"Entah, ibu pun tak tahu. Adalah tu, hal lelaki kut?" jawab Puan Inas sambil memegang tangan anak gadisnya kejap. Sebagai ibu, Puan Inas dapat mengagak perasaan Dahlia. Dia tahu Dahlia kerisauan.
Puan Inas memandang bakal besannya yang kini sedang berbicara dengan suaminya. Dapat dilihatnya dengan jelas wajah kelat Cikgu Darius, suaminya. Perasaan risau turut menyelinap masuk ke dalam hatinya, menambahkan lagi perasaan tidak senang yang telah dirasakannya sejak dulu lagi.
Ya, sejak Dahlia dirisik oleh Tuan Haikal dan Puan Marina, dia memang tidak betah duduk. Sebagai seorang ibu, Puan Inas tidak sanggup melihat anaknya berkahwin bukan dengan lelaki yang dicintainya. Dia mahu Dahlia mengenali cinta, mengahwini cinta hatinya dan bahagia sepertimana bahagianya dia dengan Cikgu Darius. Tetapi kerana menghormati keputusan Dahlia, dia cuba untuk menerima Syafiq, bakal menantunya.
Cikgu Darius menapak perlahan ke arah anak gadisnya yang sedang memandangnya. Jelas tergambar kerisauan pada wajah manis itu. Cikgu Darius mengeluh perlahan, cuba untuk menenangkan dirinya yang penuh amarah.
'Ya Allah, Ya Tuhanku! Engkau berikanlah kekuatan padanya, aku memohon pada-Mu,' doa Cikgu Darius dalam hati.
Ketika Tuan Haikal menyampaikan berita itu tadi, hampir-hampir saja dia tidak dapat mengawal perasaan. Selama ini, dia dan isterinya telah menatang Dahlia bagai minyak yang penuh, melimpahinya dengan kasih sayang yang tidak terhingga.
YOU ARE READING
JODOH ITU MILIK KITA (Published)
RomanceNOVEL INI SUDAH DITERBITKAN DI PASARAN - Sinopsis belakang buku: "Kita tidak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai kerana kita akan berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah telah tetapkan sejak az...