Perempuan selamanya menjadi rahim yang mengandung dan buaian, tetapi tidak pernah menjadi kuburan. Kita mati untuk melahirkan kehidupan, sebagaimana jari-jari kita memintal benang untuk pakaian yang tidak pernah kita pakai...' Kahlil Gibran
"Kenapa tak tidur lagi tu?"
Dia bukanlah lelaki yang menyeronokkan selepas beberapa lama hidup dengannya. Mungkin aku yang beranggapan begitu. Kecelaruan di dalam kepala otak yang memproses situasi selepas terjadinya sesuatu. Hey, dia rakan untuk buat jenayah paling menarik pernah aku ada.
Dia dahulu adalah seperti pati kopi pekat yang boleh dicampur dengan susu untuk dijadikan latte atau cappuccino, boleh juga diminum sebegitu untuk nikmat secawan espresso, boleh dicampur dengan coklat untuk rasa mewah mocha atau sekadar dilarutkan di dalam air sebagai Americano yang penuh nilai klasik.
Dia begitu istimewa seperti buku yang perlu dijelajah dari satu bab ke satu bab yang lain yang penuh dengan kata-kata yang boleh dicetak di laman sosial dan dinanti berapa orang yang akan bersetuju dengan setiap falsafah yang diberinya. Dia istimewa. Jadi aku merasakan, untuk hidup dengannya tidaklah menjadi masalah besar cuma terkadang aku merasakan yang perasaan itu timbul tenggelam dicuri masa yang berlalu.
"Awak tidurlah. Saya tak ngantuk."
Aku lihat dia melangkah pergi. Menuju ke bilik tidur. Ruang yang dulu penuh dengan gelak tawa dan senyuman nakal miliknya. Aku mereka-reka cerita di dalam kepala sewaktu awal perkenalan dulu. Semuanya manis. Hinggalah semalam, aku mendapat satu mesej dari satu nombor yang tidak dikenali;
'Kami dah ada calon yang terbaik buat dia.'
Aku ke bilik tidur kami, aku kuak pintu. Kelihatan dia sedang membelek telifon bimbitnya.
"Awak nak kahwin lain?"