SYAFIQ duduk di atas sofa dengan kedua tanggannya digenggam kemas. Sikunya diletakkan di atas lutut. Dagunya pula diletakkan elok atas genggaman tangannya itu. Sepasang matanya merenung tajam permaidani. Tubuhnya terketar-ketar menahan emosi dalam hati.
Terbayang-bayang di matanya kemesraan Alya dan lelaki itu. Mereka berpelukan dan lelaki itu memegang pergelangan tangan Alya. Bayangan itu berulang-ulang di matanya dan semakin membakar perasaan Syafiq.
"Dia milik aku. Hak aku. Tak ada siapa pun yang boleh sentuh dia." Dingin suara yang akhirnya lahir daripada mulut Syafiq.
Lambat-lambat Syafiq bangun dan mengambil telefon bimbitnya.
"Aku nak jumpa kau. Sekarang."
Alya yang baru menerima panggilan daripada Syafiq menggeletar. Kakinya terasa lemah dan dia akhirnya terjelepuk ke atas kerusi.
Dengan tangan yang terketar-ketar, Alya mendail nombor telefon Jarrad. Hanya itu sahaja yang difikirkannya waktu itu. Memohon bantuan Jarrad!
"Jar... Jarrad, he... he's coming. He's coming to see me." Tergagap-gagap suara yang keluar dari kerongkong Alya.
*****
ALYA berjalan ulang-alik di ruang tamu rumahnya. Sekejap-sekejap dia duduk di atas sofa. Sekejap-sekejap dia berdiri sambil mulutnya terkumat-kamit.
"Ya Allah! Bantulah aku, selamatkan aku."
Tiba-tiba terdengar bunyi loceng rumah.
Alya terperanjat. Terus sahaja dia menoleh ke arah pintu. Dia teragak-agak mahu membuka pintu. Bunyi loceng kedengaran lagi, menggambarkan ketidaksabaran orang yang menekannya. Perlahan Alya menapak ke arah pintu. Dia menjungkitkan kaki, melihat ke luar melalui lubang kecil pada pintu. Dan wajah menyinga Syafiq kelihatan jelas di matanya.
Automatik Alya berundur ke belakang menjauhkan diri dari pintu. Pada saat itu pintu rumahnya tiba-tiba kelihatan menakutkan. Terlalu menakutkan.
Bunyi loceng kedengaran lagi. Berkali-kali.
Lambat-lambat Alya duduk dan mencangkung di atas lantai. Kedua tangannya menekup telinga, seolah-olah berharap tindakan itu boleh melenyapkan bunyi loceng yang masih lagi kedengaran tanpa henti. Tubuhnya menggigil. Air matanya sudah mula mengalir laju.
Kemudian pintunya diketuk dengan kuat disertai dengan jeritan kuat Syafiq yang seakan mampu mencabut jantung Alya.
"Alya!!! Buka pintu ni!!! Alya!!!"
Alya memejamkan matanya. Kedua tangannya makin kuat menutup telinganya.
"Alya, aku cakap buka pintu ni!!! Alya!!!" Jeritan kuat Syafiq kedengaran lagi.
"Tak nak!!! Apa awak nak daripada saya, Syafiq???" Kali ini Alya menjawab dari dalam rumah.
Senyap seketika. Dan kemudian....
"Apa saya nak? Awak kan tahu, saya nak awak?" Lembut suara Syafiq.
Alya tersentak. Syafiq mula lagi. Menunjukkan kelembutannya yang menakutkan.
"Kenapa? Sebab... sebab... saya ni milik awak? Your possession? Macam tu?" soal Alya di sebalik esakannya yang semakin menjadi-jadi.
Alya tidak mendengar jawapan Syafiq. Sebaliknya telinganya dapat mendengar dengan jelas bunyi bising di luar rumahnya.
Perlahan Alya bangun dan berjalan ke arah pintu. Dengan tangan yang menggigil dia membuka tombol pintu.
Membuntang mata Alya.
Kelihatan di matanya Syafiq yang ditolak kasar oleh Jarrad ke dinding. Lengan Jarrad berada di atas leher Syafiq, menekan leher itu sehingga Alya dapat melihat dengan jelas urat-urat darah pada leher lelaki itu. Mata Syafiq pula merenung Jarrad dengan tajam seakan mencabar lelaki itu.
YOU ARE READING
JODOH ITU MILIK KITA (Published)
RomanceNOVEL INI SUDAH DITERBITKAN DI PASARAN - Sinopsis belakang buku: "Kita tidak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai kerana kita akan berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah telah tetapkan sejak az...