2015 (2)

43 1 0
                                    

Mia mengerling jam tangannya. Seminit lagi akan pukul 8 malam. Sejam lagi sebelum masa tidur seorang kanak-kanak tadika. Akan tetapi biasalah ibu muda sepertinya, kekurangan pengalaman mungkin—masih bersidai di kedai mamak sambil menghirup teh tarik. Hanan di sebelahnya masih lagi bermata buntang bergoyang kaki—belum mengantuk lagi. Akan tetapi dia diam; membelek jam The Flashnya itu sambil termenung.

"Mama, Hanan mahu minta maaf," akhirnya si kecil bersuara. Dia merasakan ralat atas sikapnya petang tadi. Mia tersenyum sambil berkata "tidak apa; Hanan memang betul pun."

Tengahari tadi sebenarnya Hanan terlihat juga tindak-tanduk Mia memecah masuk kereta ayah Farid secara senyap bagi mendapatkan jam itu. Ia menyebabkan dia merasa kecewa—terpaksa bersorok-sorok hanya untuk mengambil harta milik sendiri.

"Kalaulah ada ayah, sekali cakap saja dia boleh tumbuk si Farid tu," kata Hanan kepada Mia, ketika mereka sampai ke rumah. Sebenarnya ayah menumbuk orang semata-mata melindungi jam anaknya adalah tidak mungkin berlaku di dunia sebenar, tapi begitulah fikiran idealis si anak kecil. Kaum lelaki dewasa adalah hero manakala kaum perempuan adalah insan yang lemah.

"Mama kan ada," jawab Mia, meninggikan kening namun suaranya masih lembut.

"Tapi mama perempuan," balas Hanan.

"Apa masalahnya dengan perempuan?"

"Hanan tak ada ayahkah?" tanya Hanan pantas. Terkesima sebentar Mia dengan topik sebegitu.

"Mestilah. Bukankah semua orang wujud daripada seorang lelaki dan seorang permpuan, maka, kalau ada ibu mesti ada ayahnya."

"Jadinya mana ayah Hanan?"

Mia diam sebentar. Manalah dia tahu...

"Ha, dah agak dah, Hanan tak ada ayah!"

"Hanan!" tempik Mia. Dia berlari masuk ke dalam biliknya. Merajuk, bagai anak gadis!

Petang itu barulah Mia keluar dari biliknya. Dia bertembung Hanan yang sibuk menonton Boboiboy di kaca TV sambil ketawa. Ah, lazim kaum lelaki. Cepat benar lupa pergaduhan. Kalau perempuan, bergaduh pukul 2.30 pagi, 256 hari, dua tahun, dan lima bulan yang dulu pun masih boleh diingat butir-butirnya. Macam Mia.

"Hanan, lepas maghrib ni kita keluar."

"OK. Tapi kenapa, Mama?"

"Nak jumpa kawan yang dapat jawab soalan Hanan."

******

"Jadinya..." Hanan membuka bicara di kedai mamak itu. "Orang yang kita jumpa ni, lelaki atau perempuan?"

"Lelaki."

"Jadinya ayah Hanan kah?"

"Bukan."

"Jadinya, ayah Hanan itu di mana?"

"Itulah yang Mama mahu selesaikan." Mia menghirup air tehnya lagi. Kini tinggal lapisan gula paling bawah. Mia memang tidak pernah mengacau gula dalam tehnya. Aneh bukan? Mungkin dia pemalas, pelupa, atau dia juga jenis yang berpegang kepada pepatah save the best for last.

"Sebenarnya," Mia membuka bicara. "Masa Mama bertemu Hanan buat pertama kali, ayah Hanan pun dah tak ada."

"Dia matikah?" tanya si kecil.

"Entahlah. Ia tempat yang luas dan kosong. Tidak ada sesiapa pun di situ, kecuali Hanan." Mia mengenang kembali lima tahun dulu. Hari itu hujan lebat. Dia masuk ke sebuah rumah buruk yang kelihatan terbengkalai. Terdengar bunyi sayup-sayup suara anak kecil. Dia merapati suara itu, dan melihat segulung kain yang membedung bayi baru lahir, bersama timbunan lampin. Itu saja yang dia nampak, dan itu saja yang dia tahu. Dan sejak itulah budak itu bersamanya sehingga hari ini.

Mia menatap Hanan di hadapannya yang senyap membelek jam kesayangan. "Hanan OK?" takut telah diganggu emosi si kecil dengan kata-kata tadi. Tapi nampaknya Hanan tenang.

"Hanan ni macam Superman ya Mama, bukankah Mr dan Mrs Kent jumpa dia terjatuh dekat ladang jagung."

Mia senyum. Syukur aku ajarkan dia minat komik superhero!

Pap! Meja mereka diketuk. Hanan pantas memandang ke atas, mata mereka bertemu. Seorang lelaki berjambang bermisai, memakai skinny fit jeans dan T-shirt yang ketat menampakkan dia kaki gym. Namun badannya tidak 'kembang' seperti Malek Noor, sekadar tona otot yang kelihatan jelas.

Hanan ternganga. Matanya pantas memphotoshop logo superhero pada dada lelaki itu. Wah, lelaki segedang ini, mesti ada superpower!

"Mia!" sapa lelaki itu. "Mia kan? Wah dah lama tak jumpa. Dah jadi mak sekarang. Mama Mia!" lelaki itu mula menyiulkan lagu ABBA, dalam percubaan membuat lawak hambar. Mia menepuk bahunya.

"Ish Saiful!"

"Sorry. Hahaha. Siapa namanya adik?" dia menghulur salam kepada Hanan.

"Hanan." Kata si kecil yang kelihatan starstruck.

"Call me Pool. Short for Saiful. And also, I am pretty good at pool..." kenyit mata si abang jambang.

"Kau tak nampak macam repo man." Belek Mia. Selalunya kaki tarik kereta dibayangkan berwajah gangster berjaket kulit dengan rokok di tangan, seperti filem-filem Syamsul Yusof. Yang ini kelihatan seperti kaki gym bersilang dengan mat hipster.

"Macamlah repo man ada uniform," sindir Pool kembali. Dia menjeling ke Hanan. "Jadi, siapa ayahnya?"

"Itulah yang aku mahu kau carikan," pinta Mia. Biarpun dia hanya penarik kereta, dialah pilihan terbaik kerana Mia tidak mengenali sebarang penyiasat persendirian secara peribadi. Tukang tarik kereta pun penyiasat juga—hanya beri nombor kereta, dia boleh cari di mana tempatnya disorok tidak kira dalam ceruk kampung sekalipun.

"Amboi Mia, takkanlah tak kenal orang yang sendiri kong— " Pool tidak dapat menghabiskan ayat apabila Mia menjeling tajam. Sungguh tidak menjaga tatasusila depan anak kecil!

"Memanglah aku tak kenal. Aku jumpa Hanan ni sebenarnya," Mia menghembus nafas menenangkan diri. "Biarpun aku tidak ada masalah menjaganya dengan baik, tapi tak salah juga untuk mengetahui siapa ibu bapa sebenar Hanan."

"Ada klu yang kau boleh beri?" pinta Pool.

"Hmm...aku boleh beri alamat rumah kosong tempat aku jumpa Hanan, dan jangkaan tarikh kelahiran Hanan, tapi itu sajalah," Mia mengacau sudu dalam gelasnya lalu menghirup air teh pekat manis dari dasar gelas.

Pool merenung wajah si kecil. Kagum bagaimana dia relaks saja mendengar butir bicara Mia. Didedahkan sebagai anak pungut tidak sedikitpun membawa gusar di hati Hanan.

"Baiklah, aku akan bermula dari situ. Kita akan sentiasa berhubung. Dan kau juga perlu menyiasat bersama. Kalau ada maklumat lagi kongsikan secepat mungkin." Pool seolah mengajak Mia menjadi partner penyiasatannya. Mia menangguk saja. Sebagai tanda kerjasama, Mia memanggil pelayan untuk membelanja Pool makan malam. Pool memesan nasi kandar dengan lebih daging serta sepinggan roti nan cheese.

"Jadinya," kata Pool sambil mengoyak nan cheese ke dalam dal. "kita dah lama tak bertemu, bukan?"

"Ya."

"Sejak kau pindah keluar dari bandar kita dulu. Slip SPM pun kau tak datang ambil."

"Aku malas nak ke sana semula. Banyak kenangan . Jadi aku pun berpindah ke Kuala Lumpur," jawab Mia.

"Kau kerja apa sekarang?"

Mia menyandar ke kerusi, meregangkan tangan sambil tersenyum "Finance."


HananWhere stories live. Discover now