1
JUJEN duduk di atas sofa empuk itu dengan penuh bergaya. Bersandar selesa dengan kaki kanan disilangkan di atas kaki kiri. Kenalah jaga penampilan. Hotel lima bintang, kan... . Punggungnya pun relaks sahaja tenggelam dalam kusyen yang tebal dan lembut itu. Sofa di rumah, kalau tenggelam macam itu memang tak boleh bangkit dah. Silap hari bulan sudah rabak bontotnya kena cucuk spring!
Tangannya menyelak perlahan-lahan lembaran majalah Vogue terkini yang dibelinya di kiosk akhbar di luar hotel tersebut. Bukan dia baca pun. Tengok gambar sahaja sebab nak pasang telinga mendengar perbualan Vic dengan Vaibhav. Dua beradik itu masih belum habis bernahin-nahin sejak dari tadi. Entah apa yang mereka bualkan, satu habuk pun Jujen tak faham. Laju sangat mereka bertutur. Payah Jujen nak meneka butir bicara mereka. Saling bertingkah-tingkah pula. Macam nak bergaduh pun ada. Lagipun, kalau Jujen tak silap mereka bersembang dalam bahasa Punjabi. Bukan Hindi. Lain 'melodinya'.
Hari itu Jujen tak kisah langsung bila suami dan abang iparnya tidak mengajaknya berbual sama. Kalau hari-hari lain, memang dia akan bersilat jika Vic mengenepikannya dalam perbualan. Hari itu, hati Jujen sebu dengan bahagia. Dalam masa tak sampai tiga jam itu, dia telah dihadiahkan dengan dua berita baik sekali gus; Visa Penduduk Tetap daripada Canada Immigration dan restu daripada emak, abah, mummy ji dan papa ji. Macam berpakat pula mereka bagi restu pada hari yang sama.
Selepas hampir sejam di situ, kebosanan mula melanda. Bontotnya terasa macam sudah terbakar kerana duduk terlalu lama. Jujen tutup majalah Vogue yang telah tiga kali dikhatamkannya lalu diletakkan di atas sofa. Kemudian dia mengubah cara duduknya, menongkat dagu dengan tangan yang sikunya dipacakkan pada lutut untuk menghilangkan lenguh di pinggang. Tanpa sengaja, sebuah keluhan terlepas dari bibir. Agak kuat bunyinya sehingga membuatkan Vic dan Vaibhav menoleh serentak ke arahnya.
"Maaf." Jujen memberikan senyuman paling comel kepada dua beradik itu, yang roman muka masing-masing kelihatan tersangatlah serius. Astaghfirullah... tengah bergaduh ke apa dia orang ni?
Sebaik sahaja Vic dan Vaibhav menyambung semula perbualan mereka yang terhenti, Jujen kembali bersandar. Kembali membaca majalah Vogue tadi sambil berdoa dalam hati supaya Allah menjerebukan minda kedua-dua beradik itu sehingga mereka tiada idea lagi nak bersembang.
"Okeylah, bhaiya... awak pergilah berehat," kata Vic dalam bahasa Inggeris. Jujen mengerlingkan matanya ke atas. Bersyukur tak terkata kerana Allah telah memakbulkan doanya dengan pantas sekali.
"Telefon saya sebelum berangkat," ujar Vic lagi seraya bangun. Jujen turut bangun dan berdiri di belakang suaminya, memerhati Vic berpelukan lama dengan Vaibhav. Mengucapkan selamat tinggal.
Masuk ke dalam kereta, Jujen pandang Vic sambil tersenyum lebar. Menggedik sahaja gayanya. Dia tak sabar nak berkongsi ilham yang datang tiba-tiba semasa dia membaca majalah Vogue tadi. Dia sudah merancang sesuatu untuk mereka berdua dan dia berharap malam itu akan merakamkan kenangan paling indah yang akan mereka ingati buat selama-lamanya.
"Ya, sayang... awak nak apa?" soal Vic sambil menghidupkan enjin kereta. Selepas itu dia mengenakan tali pinggang keselamatan.
"Siapa kata saya nak apa-apa?"
"Bukannya saya tak kenal awak. Bila awak pandang saya macam tu, adalah benda yang awak mahukan."
"Okey! Malam ni. You and I. Candlelit dinner. Setuju?" Jujen pandang Vic dengan penuh berharap. Melihat Vic seperti berat hati nak menjawab, dia menyambung dengan nada merayu, "saya nak raikan berita baik yang kita dapat hari ni, Vic. Seeloknya kita buat kenduri doa selamat. Tapi rumah kita kecil sangat. Nak panggil lima orang jemaah masjid datang pun tak muat. Kalau nak buat kat masjid, kena buat janji temu untuk berjumpa dengan imam dulu. Lepas tu baru kita dapat tarikh nak buat kenduri. Tarikh janji temu pun entah bila dia bagi. Mungkin minggu depan. Mungkin bulan depan. Habis tu kendurinya bila? Jadi, buat sementara waktu saya cadangkan malam ni kita raikan berdua dulu. Setujulah... tolonglah setuju..."
"Baiklah!"
"Betul?"
Vic mengangguk.
"Yeayyy..." Jujen bertepuk tangan. Kemudian dia panjangkan badannya lalu memberikan sebuah ciuman kecil di pipi Vic. "Terima kasih, Vic. I love you."
"I love you too, sayang. Tolong kenakan tali pinggang keselamatan awak. Kalau apa-apa jadi pada awak, tak mungkin saya sanggup hidup lagi di atas muka bumi ni." Vic mengingatkan. Direnungnya Jujen dengan pandangan yang mendebarkan.
"Oh, Vic... tak sangka saya awak begitu romantik sekali." Jujen membalas dengan penuh perasaan. Matanya berkedip laju. Dua tangannya diletakkan bertindih di atas dada.
Serta-merta wajah Vic berubah. Dipalingkan mukanya ke hadapan, tarik gear automatik dari P ke D dan mula memandu. Jujen mengenakan tali pinggang keselamatan tanpa mengalihkan matanya dari muka suaminya yang sudah mencuka. Dia benar-benar keliru dengan perubahan tingkah laku suaminya yang mendadak itu. Rosak rancangannya malam itu jika dia biarkan Vic merajuk. Rosak! Pujuk, Jen... pujuk.
"Vic... kenapa dengan awak ni? Tiba-tiba aje berubah. Macam marah aje," pujuk Jujen sambil memegang lengan kiri suaminya.
Vic hanya membisu. Lama pula tu. Seolah-olah Jujen tidak berkata apa-apa. Lagak Vic yang buat dia seperti tak wujud, sangat menyakitkan hati Jujen. Bagai sengaja mahu menaikkan darahnya sahaja. Jujen menoleh ke hadapan dan paksa diri supaya bersabar. Namun, seperti biasa dia takkan berpuas hati jika tidak memperoleh jawapan yang dimahukannya. Kembali menoleh ke kanan. Lengan kiri Vic dipegangnya semula. Lembut sentuhannya. Sekali lagi memujuk.
"Vic... janganlah macam ni. Saya tak nak gaduh-gaduh hari ni. Kita baru je dapat berita baik. Takkan nak gaduh pulak? Vic!" Jujen usap lengan suaminya yang berbulu tebal. "Saya salah cakap ke? Kalau ada, saya minta maaf," ujarnya lagi.
"Senang, bukan? Lepas persendakan saya, awak minta maaf. Habis cerita!"
"Laaa... masa bila pulak saya persendakan awak?" Terkebil-kebil mata Jujen. Keliru sungguh dia.
"I was trying to be romantic, okay! I was trying to be nice!"
"Saya pun sama! Saya tahu awak guna dialog yang hero dalam filem Hindi yang kita tengok minggu lepas tu guna. Sebab tu saya tiru gaya heroin dia pulak. Apa masalahnya?"
"Awak tak ingat ke si heroin tu mempersendakan si hero?"
"Memanglah dalam filem tu si heroin persendakan si hero. Tapi saya tak! Saya ikhlas cakap awak romantik. Tolonglah jangan kecil hati," rayu Jujen, cuba menjernihkan suasana.
"Saya tak nak keluar malam ni!" lontar Vic.
Spontan riak wajah Jujen berubah sebaik sahaja dia memahami apa yang sedang berlaku. Dipandangnya Vic dengan rasa tidak percaya. "Awak sengaja cari fasal rupanya supaya awak tak perlu bawa saya keluar malam ni. Kenapa, Vic? Kenapa perangai awak macam ni?"
"Jangan nak menuduh saya yang bukan-bukan!"
"Kalau awak nak tahu, bukan awak seorang saja yang dah kenal saya. Saya pun dah kenal perangai awak." Jujen menyilangkan kakinya dan berpeluk tubuh. Mata merenung lurus ke hadapan. Bahasa badannya jelas menunjukkan bahawa dia sedang menahan marah. Habis rosak rancangannya. Habis!
Apa masalah Vic, Jujen pun tak tahu tetapi yang nyata cara Vic menggagalkan rancangan yang dia buat memang kejam. Vic sering mengelak bila Jujen mengajaknya makan di kedai, padahal bukannya selalu mereka makan di luar. Alasan Vic, dia lebih suka makan masakan yang Jujen sediakan. Lebih sedap. Lebih terjamin kebersihannya. Yalah sangat! Bukannya Jujen tak tahu, Vic lebih rela menelan masakannya yang tak sedap daripada keluarkan duit beli makanan di kedai. Berapa kali Jujen dengar keluhan halus Vic sewaktu makan jika masakannya tak sedap. Suap sekali, mengeluh. Suap lagi, mengeluh. Makan pun lambat-lambat. Konon sambil makan sambil tengok TV. Konon dia kena kunyah makanan tu seratus kali supaya betul-betul hadam. Habis tu kenapa bila masakan Jujen sedap, Vic melantak macam tak ingat dunia? Tak angkat muka langsung walaupun cerita yang ditayangkan di televisyen sangat menarik. Berkali-kali pergi tambah nasi, tambah lauk lagi. Muka pun berseri-seri sahaja. Senang hati, kan... makanan kena dengan cita rasa.
Jujen faham, belanja makan di luar memanglah mahal tetapi sekali-sekala apa salahnya? Bukannya untuk orang lain. Untuk perut mereka sendiri juga. Takkanlah dengan diri sendiri pun nak kedekut? Yang mereka kerja siang malam cari duit tu untuk siapa? Bukan untuk diri sendirikah?
Malam masih jauh, jadi Jujen mahu mencuba nasibnya sekali lagi. Vic ni kadang-kadang bukannya apa. Dia nak balas dendam sebab Jujen mengamuk pagi tadi. Dia nak tunjuk kuasa vetonya. He wants to have the last say. Anak bongsulah katakan... . Bila jadi suami, jadilah perangai macam ni. Memang Jujen kena pandai memujuk jika dia mahu Vic menurut kehendaknya. Masalahnya, Jujen bukan reti sangat nak memujuk. Tambah kalau yang merajuk tu baby tua yang terlebih mengada-ngada. Pujuk budak-budak kecil pandailah dia. Sua gula-gula, hilanglah merajuknya. Dengan orang tua nak sua apa?
"Vic..."
"Saya tak nak keluar. Muktamad!"
YOU ARE READING
KALAU DAH JODOH 2
RomantikSinambungan Kalau Dah Jodoh. Kisah cinta antara Jujen dengan Vic.