Ken berundur setapak demi setapak. Matanya diliarkan bagi memerhati keadaan bangunan usang yang seperti sudah lama tidak berpenghuni. Badannya menggigil menahan rasa takut yang membukit.
'Aku dekat mana ni?' Gumam Ken.
Ken menarik nafas perlahan-lahan. Cuba untuk menenangkan diri walaupun dia tahu perkara itu tidak akan menjadi. Dia berjalan ke arah sebuah batu besar dan duduk bersandar di situ.
'Okey Ken. Tenang. Kau kena tenang. Cuba ingat balik apa yang berlaku sampai kau boleh tersesat sampai ke sini.' Kata Ken sambil cuba mengerah ingatannya terhadap apa yang berlaku.
Seingat dia,pagi tadi selepas bangun daripada tidur dan bersiap-siap,terus dia ke sekolah seperti biasa. Tiada perkara pelik-pelik yang berlaku. Kemudian,balik sahaja daripada sekolah,dia mandi dan tidur sehingga asar. Solat zohor pun dia tertinggal. Astaghfirullahal'azim. Ken mengutuk diri sendiri yang lalai dalam menjalankan tanggungjawab terhadap Sang Pencipta. Tapi......
Tapi dia sudah tidak mampu untuk mengingati kejadian seterusnya. Apa yang dia tahu,sedar-sedar sahaja dia sudah berada di suatu kawasan yang sangat asing. Sebuah tempat yang pada pemerhatiannya, seperti baru sahaja menamatkan suatu perang yang dahsyat. Kebanyakan bangunan-bangunan di sini sudah roboh dan sangat usang.
Seperti bangunan yang dia duduki sekarang. Ken mengeluh.
Bang! Bang! Bang!