Abdullah Ibn Umar R.A

184 13 0
                                    

Assalamualaikum Warahmatullah. Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahi Robbil 'Alamin. Wassolatu Wassalamu 'Alal Ashrafa Mursalin. Wa'ala Alihi Wasohbihi Ajma'in. Subhanaka La Ilma La Na Innaka Anta Tawwabu Rahim. Marilah sama-sama kita mulakan usrah kita dengan sedekahkan al-Fatihah kepada Nabi junjungan kita iaitu Nabi Muhammad , para Sahabat Baginda, para isteri Baginda, para Tabi'in, para Tabi' Tabi'in, ke atas kedua ibu bapa kita sama ada yang masih hidup ataupun yang telah pergi. Al Fatihah.

Tajuk yang diceritakan kali ini berkaitan dengan satu Sahabat Nabi yang dimana ayahnya pun Sahabat Nabi, iaitu Sayyidina Abdullah ibn Umar al-Khattab al-Faruq. Abdullah ibn Umar ibn al-Khattab ataupun yang selalu kita dengar orang panggil Ibn Umar. Beliau lahir pada 612 Masihi. Dilahirkan di Mekah dan tarikh wafatnya ada khilaf; ada yang kata 693 Masihi, ada yang kata 696 Masihi dan lain-lain tapi biarkan isu ini, kita bukan ahlinya. Beliau seorang periwayat hadis yang memang ingatannya sangat hebat dan dia amat dihormati semasa hidupnya.

Maju dijadikan cerita, ibn Umar memeluk Islam sekali waktu Sayyidina Umar al-Khattab yakni ayahnya memeluk Islam. Beliau juga mengikuti peristiwa hijrah dari Mekah ke Madinah. Ibn Umar mempunyai banyak karakter yang mulia sama seperti ayahnya yang mengikut sunnah Nabi Muhammad . Pada usia belasan tahun, semangatnya berkobar-kobar mahu menyertai Perang Badar, tetapi Rasulullah tidak mengizinkannya. Perang pertama yang disertai adalah Perang Khandaq dan banyak lagi perang lain yang disertainya.

Ibn Umar tidak pernah meninggalkan solat malam walaupun sekali sejak beliau mendapat satu mimpi selepas solat dengan Rasulullah . Ibn Umar mengatakan bahawa, "Seolah-olah di tanganku ada satu kain baldu. Ke mana sahaja aku ingin untuk pergi ke dalam syurga, Malaikat akan membawaku. Dan Malaikat telah membawaku ke neraka, menampakkan semua yang ada di neraka. Semua yang aku tanyakan kepada Malaikat tentang neraka, semuanya dijawab." Sejak peristiwa mimpi ini, ibn Umar tidak pernah meninggalkan qiyamullail hinggalah beliau meninggal dunia. Beliau juga selalu menitiskan air mata jika mendengar alunan al-Quran. Ibn Umar pernah menangis teresak-esak ketika hanya membaca ayat 1-6 surah al-Mutaffifin.

Beliau juga orang yang amat amanah dan berpendirian teguh. Ada satu kisah, ibn Umar keluar ke salah satu pelosok kota Madinah bersama beberapa orang sahabatnya. Lalu mereka meletakkan bekal makanan untuknya. Kemudian lalulah seorang pengembala kambing di hadapan mereka. Si pengembala kambing ini memberi salam dan ibn Umar pun berkata, "Hei Pengembala, marilah ke sini makan bersama kami." Si Pengembala kambing berkata, "Saya sedang berpuasa." Ibn Umar berkata, "Di hari panas terik begini kamu masih puasa padahal kamu sedang mengembala kambing?" Si Pengembala kambing menjawab, "Demi Allah, saya berlumba-lumba dengan hari-hari hayalan saya." Ibn Umar kemudian tergerak untuk mengujinya lalu beliau berkata, "Mahukah kamu menjual seekor kambing yang kamu gembalai ini kepada kami? Kami memberi kamu wangnya dang bahagikan dagingnya kepada kamu lalu kamu boleh berbuka puasa dengannya?" Si Pengembala kambing itu menjawab, "Ini bukan kambing saya, ini kambing tuan saya." Ibn Umar berkata lagi, "Aku rasa tuanmu tidak akan berbuat apa-apa jika hilang satu dan kamu katakanlah ia dimakan serigala." Akhirnya si pengembala kambing itu meninggalkan ibn Umar sambil menunjukkan jarinya ke langit dan berkata, "Allah dimana?" Ibn Umar lalu mengulang-ulang kata-kata si pengembala kambing tadi, "Allah-nya dimana?!" Akhirnya ketika sampai di Madinah, dia mengutuskan orang menemui tuan si pengembala tadi dan membeli kambing beserta si pengembala tersebut (yang tadinya adalah budak) lalu memerdekannya dan memberikan kambing-kambing itu untuknya. [Syu'ab AL-Iman jilid 7, halaman 223, no.4908]

Ibn Umar dalam hatinya penuh dengan al-Quran. Ingatannya dipenuhi dengan hadis dan al-Quran. Beliau tidak pernah melupai apa yang dihafalnya hingga beliau wafat. Inilah kehebatan ibn Umar. Kerana dicatat dalam kitab al-Muwatta' Imam Malik, Abdullah ibn Umar menghabiskan masa 8 tahun untuk menghafal surah al-Baqarah sahaja. Saya berpendapat, teknik ibn Umar ini adalah teknik yang terbaik dalam menghafal al-Quran. Bagaimanakah tekniknya? Diriwayatkan bahawa Uthman ibn 'Affan, Abdullah ibn Mas'ud dan yang lainnya, para Sahabat apabila hafal 10 ayat dari al-Quran, tidak akan beralih kepada ayat seterusnya sebelum mereka pelajari dan faham maknanya dan kemudian beramal dengannya. Bukankah terbaik teknik ini? Al-Quran bukan untuk dihafal semata-mata malah perlu ditadabbur dan diamalkan dalam kehidupan. Ada yang kata, "Dah tua-tua ni, otak sudah berkarat, susah nak hafal al-Quran." Saya katakan, "Para Sahabat juga terdiri dari kalangan orang tua-tua, tetapi mereka mampu habiskan 30 juz. Mengapa tidak kita? Mereka manusia, kita juga manusia."

Ibn Umar ini pedagang yang berjaya. Dia sangat dermawan. Ada satu kisah dimana dia diberikan 4000 dirham dan satu baju yang sangat cantik dan mahal, lalu beliau sedekahkan kesemua 4000 dirham itu pada malam itu juga dan dia berikan baju itu kepada fakir miskin yang kesejukkan. Dan betapa lembutnya hatinya dalam ketegasan ada kelembutan. Pernah satu hari, seseorang membuat satu majlis makan untuk orang yang berada sahaja. Lalu ibn Umar datang dan berkata, "Kamu beri makan itu adalah orang yang sudah cukup kenyang, sedangkan kamu membiarkan orang yang kelaparan bertempiaran mencari makanan." Allahu.

Dia juga selalu mengelak daripada jawatan yang memberi fatwa seperti hakim. Dia berkata, "Hakim ini ada tiga jenis;
1) Yang mengadili tidak ada ilmu, dia masuk neraka.
2) Yang mengadili menggunakan nafsu, dia masuk neraka.
3) Yang mengadili dan keputusannya tepat tetapi dia was-was, maka tiada dosa dan tiada pahala keatasnya."

Wallahua'lam. Saya mintak maaf jika ada salah silap. Jika ada silap, mohon tegur. Kita akhiri usrah kita dengan suratul Asr dan tasbih kifarah.

© Team Tazkirah (El Tazkiyah) 2015


Abdullah Ibn Umar R.A: Sahabat Rasulullah S.A.WWhere stories live. Discover now