Bab 1

118 6 0
                                    

"Sudah-sudahlah tidur kamu itu. Matahari sudah tegak di atas kepala, kamu masih membuta di atas katil," bebel Puan Kartina kepada anak tunggalnya, Eddie atau nama sebenarnya, Ramlidi bin Hassan. Eddie adalah anak tunggal Puan Kartina dan Encik Hassan. 

"Alahai... saya sedang asyik melayan mimpi bertemu puteri...." 

"Yalah. Tiap-tiap hari mimpi bertemu puteri.Sekiranya begini cara kamu, puteri jalanan pun tidak akan memandang kamu!" Puan Kartinabercekak pinggang. 

"Hari ini kamu ada kerja ataupun tidak?"Encik Hassan menjengah ke bilik anak lelaki tunggalnya itu. Habuk berkepul membatasi penglihatan Encik Hassan tatkala mukanya menjengah ke bilik bujang itu. 

"Pemalas!" getus Encik Hassan sendirian sambil terbersin kecil. 

"Ada," balas Eddie sambil menutup muka dengan bantal. 

"Anak kita ini apabila ditanya, pasti dijawabnya ada kerja. Walhal, tiap-tiap hari tidur sahaja kerjanya," ujar Puan Kartina, termuncung-muncung.Encik Hassan menggeleng perlahan. 

"Itulah akibatnya apabila terlalu memanjakan anak," ujar Encik Hassan sendirian, tetapi dapat didengari oleh isterinya. 

"Abang yang selalu manjakan dia. Sebab itulah dia menjadi pemalas. Asyik-asyik tidur kerjanya," balas Puan Kartina. 

"Eh, awak ini. Saya pula yang dijadikan penyebab utama kemalasan anak kita," Encik Hassan membela diri.

"Sekiranya bukan awak, siapa lagi?" 

"Sekiranya awak mahu tahu, kajian saintis menunjukkan yang anak-anak hanya mewarisi tiga peratus daya intelek dan keperibadian ibubapanya." Kali ini Encik Hassan mengeluarkan fakta sains. 

"Sejak bila pula ayah aku celik akal berkenaan kajian sains?" gumam Eddie sendirian sambil berselimut rapat. Perangainya juga dapat dijadikan topik bagi ibu dan ayahnya bertikam lidah. 

"Eddie, cepat bangun!" Puan Kartina menjerit dari sudut dapur. 

"Ibu...." Eddie menggeliat kemalasan di atas katil. Matanya masih terpejam rapat. 

"Kamu ini jangan jadi pemalas. Kamu harapan ibu dan ayah. Harapan bangsa dan negara. Sepatutnya kamu ada wawasan. Hidup tanpa wawasan akan membuatkan diri kamu merana. Kamu mahu hidup seperti orang yang tidak waras? Mahu jadi mereka yang tidak ada arah tuju?"Eddie masih membatu di atas katil. Seketika kemudian, api kemarahan Puan Kartina semakin meluap-luap. 

"Eddie, bangun!" Leteran Puan Kartina tegar sahaja masuk ke cuping telinga kanan Eddie, keluar melalui sebelah kiri. Bantal busuk yang menjadi kepunyaannya selama dua tahun ditekup erat-erat di telinganya hingga tiada satu bunyi mampu menembusi rongga-rongga bantal ke lubang telinga. 

"Sekiranya tidak berleter, bukan ibulah namanya." Itulah prinsip yang selalu dipegang oleh Eddie apabila mahu mengelakkan rasa marah dan bengang akibat sikap suka berleter ibunya. Namun begitu, Eddie juga mengakui yang leteran ibunya itu ada benarnya. Umurnya sudah mencecah dua puluh tiga tahun, namun kemalasan menguasai diri hingga menenggelamkan sifat kematangannya. 

"Sekiranya kamu tiada kerja, tolonglah ayah di bengkel." Encik Hassan mengambil topi koboi yang digantung pada dinding seraya keluar dari rumah. Topi koboi yang berusia tiga tahun itulah yang menjadi teman setia Encik Hassan ke bengkel. 

"Tidak mahulah...." Eddie menggeliat malas di atas katil. Jam dindingnya jelas menunjukkan pukul sembilan pagi.Beberapa kali Eddie menguap, dan beberapa kali juga jam loceng di sebelahnya diketuk supaya berhenti berbunyi. Sinaran matahari yang menerjah masuk ke dalam kamarnya benar-benar mengganggu ketenteraman tidur Eddie.  

"Ayah pergi ke bengkel dahulu. Sekiranya kamu terbuka pintu hati mahu menolong ayah di bengkel, ayah sedia menanti," sindir Encik Hassan kepada Eddie seraya memakai kasutnya dari luar rumah. 

Sindiran Encik Hassan itu disambut dengan kuap malas daripada Eddie. Bantal busuknya ditekup lebih erat di telinganya. Hilang semua mimpi bertemu tuan puteri kayangan kerana leteran ibu dan ayahnya. Pagi-pagi lagi terpaksa bersarapan leteran ibu dan ayah. Alahai!  



Mr CupcakesWhere stories live. Discover now