HAISY! Mana aku nak mencari duit ni? Tak cukup bergaya ke lagi aku sampai orang tak nak ambil aku kerja? tanya Iman dalam hati. Kepala yang tidak gatal, digaru lembut. Bergerak sedikit knitted hat koyak yang dipakainya. Nasib baiklah petang itu indah. Macam tak ada pun mafia yang suka sangat mengejarnya setiap hari. Tersengih-sengih dia menampakkan barisan giginya.
"Hoi!" Bergema jeritan di tengah-tengah orang ramai, membuatkan dia tersentak dan menoleh.
Alamak. Mati gua. Lari, Iman, teriak hatinya.
"Iman Firdaus! Berhentilah! Jangan lari!" Sekali lagi mafia yang mengejarnya itu menjerit.
Haisy! Tak perlulah nak menjerit nama penuh aku dekat khalayak ramai. Alahai...sibuk sungguhlah mafia ni. Aku ingatkan dah K.O. Rupanya wujud lagi. Iman berlari dah tak pandang belakang. Seperti maraton, macam pelari terkenal dunia. Otak bergeliga Iman mula rancak berfikir. Ah! Dia orang ni bodoh sikit bab-bab mengejar ni. Tambahan lagi dia orang semua badannya besar-besar, mana nak kuat lari. Iman cilok sana sini, hilang aje daripada pandangan, terus dia orang tak kejar. Jadi...Macam lipas kudung dia berlari. Sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Tapi...
Dia menoleh ke kiri. Apasal mamat sebelah ni boleh lari sama laju dengan aku pulak ni? Tak boleh jadi ni. Boleh pula dia lari pandang belakang. Woi, mamat. Lari pandang depanlah. Kau langgar tiang nanti, patah hidung mancung kau, padan muka. Dia rasa seakan hendak bercakap dengan mamat di sebelahnya itu, namun tidak terucap. Kepantasan dia berlari membataskan mulutnya hendak berkata-kata kerana angin yang ditentangnya itu sedikit laju.
"Iman Firdaus!"
Sudah-sudahlah tu memekik nama aku. Aku tau kau nak popularkan aku. Tapi, tak payah nak menjerit macam kilat.
Semua makhluk di kiri dan kanan tempat mereka berdua berlari dan dikejar itu memandang pelik aksi mereka. Bagaikan berlakon filem aksilah pula. Macam pelik saja gamaknya berlawan lari dengan mamat maco dengan kaca mata hitam segala tu. Ke dia orang gila? Berbaju sejuk tengah-tengah hari panas terik. Iman sempat lagi mencuri pandang lelaki di sebelahnya itu. Dengan penuh gaya dan semangatnya Iman mencilok supaya dapat lari daripada pandangan mata mafia yang mengejarnya. Matanya juga pantas mencari tempat berlindung. Hah! Tembok China tu boleh juga. Satu tembok menjadi perhatiannya waktu itu.
Belum lagi dia hendak membelok...Gedebuk! Satu benda melanggarnya kuat.
Mati aku...Kena langgar dengan treler ke? Baguslah, tak payah susah-susah. Senyum, Iman. Mati dalam imanlah P. Ramlee kata.Sempat dia berceloteh dalam hati. Dalam matanya terkatup rapat, telinganya masih dapat mendengar bunyi orang bernafas dengan kuat. Macam kena lelah pun ada juga.
Dah mati ke belum aku ni? Perlahan-lahan dia membuka mata. Mak...Terkejut nyah...
"Apa lu buat ni, bro?" gumam Iman sambil menolak tubuh yang berada betul-betul di hadapannya itu. Beberapa inci saja muka dia hendak mencium dada lelaki tinggi lampai itu. Dia pun tak pasti mana datangnya mamat yang tinggi menggunung itu.
Kepalanya dipanggung, wajah lelaki itu diamati. Eh! Mamat maraton tadi. Iman berbisik dalam hati. Alamak...tak sempat aku nak tengok siapa lari lagi laju. Dia merengus pula.
"Kau tu yang buat apa," jawab mamat itu dengan selamba.
Eh, bahasakan aku balik? Agaknya inilah malapetaka yang menolak aku tadi. Yeye... aku ingatkan aku dah arwah. Senang sikit hidup aku.
"Oi, bro. Lu yang tolak gua, kan? Sakit lu tau tak belakang gua ni lu kerjakan." Sikunya dibelek. Melecet sedikit kulitnya.
"Dah kau lari sebelah aku. Aku tertolaklah. Bengap sangat pergi maraton sebelah aku. Kenapa?"
"Apa kau kata? Kau tu yang maraton sebelah aku. Dengkilah tu nampak aku lari laju." Aku tak faham kenapa aku perlu berdebat dengan dia pasal larian pula. Ingat ni zaman sekolah ke kena tahu siapa lagi laju supaya boleh wakil rumah sukan.
"Helo. Tak ada masalah aku nak ikut kau lari dan tak ada masalah aku nak dengki kau lari laju."
"Habis? Kenapa kau lari juga?"
"Dah orang jerit nama aku, aku larilah. Takut nanti tak pasal-pasal patah jari aku ni nak kena tandatangan buku peminat. Ni...badan aku ni. Cukup-cukuplah sakit nak posing waktu dekat set. Tak payahlah nak memenatkan lagi badan aku dengan nak posing dengan peminat."
"Erk! Muka macam kau ni ada peminat ke?"
"Apa kau cakap? Kau tak kenal ke aku siapa?"
"Siapa? Macam mamat jual cendol sebelah rumah aku tu aje."
"Hisy, kau ni. Tak tengok TV ke? Akulah Im Aus. Tak kenal? Muka aku terpampang besar dekatboard tepi jalan, kau tak pernah nampak ke?"
"Betul-betul, aku memang tak kenal kau. Rumah aku tak ada TV, bro. Nak makan pun tak ada duit, ini kan pula nak bayar bil elektrik. Memang alamatnya makan pasirlah aku dengan adik-adik aku tu."
Hah...Terkebil-kebil bro itu mendengar. Ingat semua orang tengok TV ke? Iman mencebik dalam hati. Matanya menikam tepat wajah lelaki bermuka kerek di hadapannya itu.
"Apa ke kolotlah kau ni duduk bandar tak ada TV? Orang kampung pun ada TV LCD kau tau tak?" Dengan selambanya dia membidas kembali. Tak langsung rasa kasihan dengan nasib si Iman.
LCD? Nama beruk ke? CD aku tahulah. Argh, apa-apalah. Hati Iman dah kian bercelaru melayan mamat maraton itu. "Dahlah. Terima kasihlah kau dah menjahanamkan hari aku. Dah, aku nak balik masak. Adik aku balik sekolah nanti tak ada makan."
"Eh, budak ni. Kau ada rumah ke?"
"Kurang ajar kau." Pantas kaki Iman menendang tulang kering lelaki tersebut. Ambil kau, terduduk. Sampai tahun depanlah lebam tu tak hilang, gerutu hati Iman.
"Oi. Sini. Alamak, busuklah kau ni." Diterkamnya Iman dari belakang.
Eh boleh tahan kurang ajar juga ayat dia. Kata aku busuk. Hah, ambik! Sekali lagi kaki Iman berayun, menyepak lelaki itu. Rasakan.
"Busuk-busuk jangan main eh. Rumah aku air dah kena potong. Surau, jauh sangat. Jadi pagi tadi aku tak mandi. Puas hati? Yang kau peluk aku tu apa halnya? Dah terdesak ke?"
"Mana ada. Aku nak kau bayar ganti rugi. Kenapa kau sepak kaki aku tu? Seluruh tubuh aku ni, berharga tau."
"Apa aku kisah? Otak kau bayar ganti rugi. Kau nak suruh aku bayar pakai apa? Aku mana ada duit. Bagi tulang aku ke? Boleh?"
"Ya tak ya juga." Tempat yang ditendang Iman digosok laju. Sakitnya menusuk sungguh.
"Dahlah, aku nak balik. Bye." Tangan diangkat. Apa nak jadilah dengan orang sekarang ni. Seperti selalunya, hati Iman akan terus-menerus membebel.
"Oi, kejap."
"Kau ingat aku tak ada nama ke?" Iman berpaling semula. Nak makan penyepak lagi sekali ke mamat ni? Panggil oi...oi.
"Kau ada nama ke? Aku ingatkan tak ada. Yalah, semua kau tak ada. Air tak ada, duit tak ada, TV tak ada. Apa lagi kau tak ada?"
Iman mencerlung tajam ke arah lelaki itu. "Aku tak ada mak bapak. Puas hati kau?"
Iman terus saja berpusing. Jalan selaju boleh. Dia harap tak jumpa lagi mamat yang dia tak kenal ini. Yang lebih-lebih perasan ramai peminat.