Cerita-1

86 3 8
                                    

Kepekatan pagi sejajar tamparan angin sejuk pada pipi menyentak dia dari mimpi. Mimpi yang belum menemui penamat. Masih samar-samar jalan ceritanya. Ikutkan hati mahu saja dia teruskan. Menyambung kembali apa yang sudah dia mulakan. Tapi, kerana tanggungjawab, dia balutkan hati kecilnya dengan kesabaran.

Segera dia bangun dari katil yang sudah unzur, capai tuala lusuh dan bergegas mencari bilik air. Tatkala air bersentuh kulit tubuhnya, dia mengeluarkan suara yang bergetar nadanya.

'Brrrrrrr !! Wuuh sejuk !!!'.

Hanya jirusan air kedengaran dari luar rumah, memecah sepi hening pagi. Timba demi timba dicedok dalam perigi tua yang masih bertakung mata air, sekadar mencukupi buat keluarganya.

Usai mandi, seragam putih yang sudah tiga tahun tidak diganti dibutang kemas. Kerana wang yang makin merosot dia tidak berkemampuan meraih yang baharu. Seluar hijau pula disarung pada kaki.

Dia melihat cermin, membetulkan posisi tai yang senget.

"Hai romeo Malaya", sapanya pada pantulan cermin. Merasakan dia lelaki terkacak di daerah Batang Pinang.

Siap, dia berjalan ke hujung kepala katil. Duduk seketika untuk mengemas buku buku yang bersepah. Sedang itu, matanya ternampak satu foto lama. Ya , gambar ayahnya. Memakai baju safari yang melekat empat kantung poket setiap bahagian. Dia tersenyum seakan kembali merenung kisah silam .

***

"Jali, bangun nak. Mahu tak ikut ayah ke majlis kenaikan pangkat di lombong timah", ayahnya menggoncang perlahan tubuhnya dan satu senyuman diukir. Bukan yang dibuat-buat. Senyuman gembira.

Setelah lima tahun bekerja di lombong timah Haji Kosai, hari ini baru ayahnya dinaikkan pangkat. Seolah tidak percaya pada rezeki itu tetapi surat jemputan sudah dua hari diterimanya. Tukang surat bermotor capuk yang mengirim.

"Nak, ayah. Tunggu, Jali mahu siap", mata yang baru dibuka digosok lembut jarinya. Lantas dia bingkas bangun dari tempat tidur, katil. Nafsu yang cuba menahannya dari bangun ditimbus dengan kegembiraan ayahnya.

Selesai bersarapan semua, dia menyalam tangan ibu, ucap salam lantas mereka pergi. Basikal tua menjadi kenderaan mereka pada hari itu. Ini sahaja sudah cukup untuk memudahkan hari dia dan keluarga. Basikal ini yang menghantar dia ke sekolah atau mengaji di toko Ali. Berjasa sungguh walaupun tidak bernyawa.

Dia peluk erat perut ayahnya. Takut terjatuh apabila ayahnya sedang kayuh laju. Bunyi rantai bergesel selang seli menjadi musik sewaktu perjalanan.

Tidak sabar mereka mahu menjejakkan kaki ke lombong timah. Salah satu hari bermakna buat ayahnya bakal terlakar dalam riwayat hidup tuanya.

Sampai sahaja, beberapa orang serupa ayahnya sudah datang. Ada yang bawa anak mereka. Barangkali mahu berkongsi detik kegembiraan yang sedang menanti waktu.

Dia dan ayahnya duduk di bangku kayu panjang. Mengambil barisan yang kedua dari belakang sekadar menyembunyi keghairahan meluap. Mereka diam tak terkata. Senyuman sahaja pantas memberitahu apa yang ada disebalik pintu hati.

***

Nama setiap orang dipanggil mengikut abjad. Dari 'A' sehingga 'Z'. Ayah Jali bermula dengan abjad 'J', Judali. Menunggu dengan segenggam kesabaran di dada.

10 minit lantas pergi. Terasa lambat buat mereka. Tapi, masih tenang di bangku.

Kini abjad 'I', Ismail Bakarti.

Dan tukang seru menyeru nama seterusnya ; Kamal Santoso. Laung dia pantas.

Jali memandang ayahnya. Ayahnya melirik semula dengan mata yang terlindung disebalik cermin mata yang jernih. Jelas resah di dada tapi tidak ditonjolkan.

"Tunggukan saja. Ada tu." Ayahnya berkata penuh tenang. Kembali tumpuannya pada suara tukang seru semula.

Saat itu sudah membuatkan jiwa Jali resah, takut harapan ayahnya pecah berkecai seperti kaca permata. Dibakar api jadi abu. Hitam warnanya.

Orang makin sedikit yang tinggal. Hanya beberapa yang sibuk berlegar legar tanpa hirau.

Dan jangkaan Jali tepat belaka. Orang terakhir ialah Pak Cik Zupari, anak bekas ketua kampung di sini. Selang itu, tiada nama ayahnya dipanggil.

Jali dan ayahnya berjalan menuju kaunter. Langkah kekecewaan diatur.

"Bisa dibantu?", tanya tukang seru dengan mata membulat.

"Namaku Judali", balas ayah.

"Judali Witaya."

"Bentar aku periksa", kertas yang mengandungi senarai nama dibelek setiap satu halamannya. Tiada nama ayah Jali tertulis disitu.

Geleng. Bibir dimuncung.

"Udah gitu. Kami pulang dahulu", ayahnya memujuk hati, memberitahu pada laki itu. Kesabaran ayah masih terpamir. Jali tahu perit itu cuba disembunyikan ayahnya. Tak rela dikongsi bersama.

"Assalammualaikum."

"Waalaikummussalam."

"Mari nak kita pulang", ayahnya masih tersenyum, mengajak dia pulang ke rumah.

Jali menuruti kata- kata itu. Mereka ke arah basikal yang dipayungi bumbung langit tanpa sebarang bicara.

***

Jali dan ayahnya lalu pulang tanpa kegembiraan berbakul. Dalam perjalanan, hanya bunyi pedal basikal kedengaran.

"Kreeeek ! Kruuuuk!"

Berulang.

Sekali lagi mereka diam membatu.

Ikutkan hati Jali mahu berjenaka, menggembirakan hati ayahnya yang terluka ditusuk hampa.

Tetapi, melihat kondisi ayahnya, muram sedih. Jali simpan hasratnya dalam-dalam.

Dua hari selepas hari kejadian itu, mereka mendapat tahu yang surat itu salah alamatnya. Sialan. Jali maki dalam. Gara gara tukang surat yang silap alamat, ayahnya dipermainkan. Tidak lalu makan. Apatah lagi di ajak lawan bercakap.

Sejak hari itu Jali tidak percaya akan tukang surat. Tidak akan pernah. Malah dibenci berapi-api.

***

'Kokk-Kokk-Kokk!!!' bunyi ayam jatuh dari bumbung menyentak lamunan Jali. Dia terkejut beruk.

Dia menyelit semula foto ayahnya di bawah bantal. Ayah yang sudah pergi meninggalkannya, menjadi idola untuk dia terus berenang dalam lautan hidup yang belum penghujung. Matanya Jali ditakungi air jernih. Di sapu dengan jari jemari, agar tidak tumpah. Hanya doa menjadi bekalan buat ayahnya. Ayah nombor satu.

Jali menarik tali beg conversenya, disandang pada bahu. Kedua mata mengerling pada jam di tangan peninggalan ayahnya. Hampir ke angka 7 jarum pendek. Dia sudah lambat lagi. Malah setiap hari. Denda pasti diterima tapi dia tidak kisah akan itu semua. Asalkan pesanan yang terakhir keluar dari mulut ayahnya dia turuti, 'Jangan malas ke sekolah nak. Hanya itu jalan kamu ke dunia mewah.'

Jali menapak menuju ke tangga rumah. Kasut putih sudah bersedia di anak tangga.

Sebelum itu, dia berhenti pada satu bilik. Bilik ibu kesayangannya. Nyenyak tidur bersama tangan mengalas kepala. Kepenatan mencari rezeki malam tadi, menjadi jaga di Kilang Mamee.

Jali masuk dan menghampiri tubuh yang sudah dimamah usia, tapi masih tegap kudratnya. Bibirnya mengucup dahi ibunya berkedut. Membuat ibunya bergerak sedikit, tapi masih lena.

"Ibu Jali ke sekolah dulu", dia bersuara perlahan, membisik di celahan telinga. Tak mahu menyedarkan orang tua itu.

Segera dia menapak keluar ke tangga. Menyarung kasut sebagai pengalas kaki.

Ada misi perlu dia laksanakan. Misi hidup yang liku sedang menunggu. Mengejar apa yang sedang diimpikan. Perlahan-lahan dia harungi jalan yang akan membawanya ke satu sudut kemewahan.

Mimpinya yang tinggi disemadikan di dada –mengubah duka menjadi gembira. Dan paling penting, bukan bermimpi menjadi tukang surat yang sama sekali hilang kepercayaannya!




TUKANG SURATWhere stories live. Discover now