PROLOG
Nama aku Mustakim Zainol Ariffin. Nama gelaran aku ada banyak. Kau boleh panggil aku M, Mus, Musta yang disebut-sebut Masta atau Master, Takim, dan Akim. Dalam banyak-banyak nama hasil daripada terbitan nama asal aku, semua orang panggil aku Akim. Aku tak ada penyakit mental untuk ada identiti bagi setiap nama panggilan aku. Sekali lagi, nama aku Akim sahaja. Senang, kan? Tapi tolonglah, aku bukan penyanyi rancangan realiti TV tu sebab aku taklah hensem mana tapi aku yakin aku lagi hensem berbanding orang yang ada nama sama dengan aku tu.
Aku seorang pegawai penyiasat. Tengok orang mati darah mengalir tanpa arah tuju tu dah macam makanan ruji aku. Boleh kata aku akan demam kalau dalam masa sebulan tu tak ada kematian yang perlu aku siasat. Macam dadah dah, kan? Tapi itulah serba-sedikit maklumat peribadi aku. Aku bukan jenis yang suka dedahkan cerita aku tapi nak aku cerita lagi ke? Okay, fine!
Aku berumur 28 tahun. Berasal dari Muara Lumpur. Aku taknak bagi lokasi dekat mana aku tinggal sebab nanti mesti ada yang nak serbu rumah aku. Umur sedikit lebih daripada suku abad ni, aku dah ada hampir kesemuanya. Tahap kesihatan yang memuaskan, tak ada masalah kewangan sebab aku tak ada kad kredit, kereta ada beberapa biji, aset yang bernilai iaitu rumah impian pun dah ada, pernah pergi bercuti dekat beberapa benua, dan yang paling penting sekali aku ada seorang teman wanita atau tunang yang sangat cantik inside out.
Kan aku dah cakap tadi yang aku taklah hensem mana tapi memang betul, aku memang tak hensem pun. Aku sedar diri. Macamana dia suka dekat aku pun aku tak tahu. Tak tahu? Mestilah aku tipu. Aku kenal dia daripada kecil lagi. Kenal ya, rapatnya tak. Sebenarnya masa awal-awal perkenalan, dia ni langsung tak suka aku. Aku rasa kalau aku "hai" dia, mesti kena ludah balik. Tapi tu kisah lama. Sekarang ni semua dah tak bermakna. Maksud aku, cerita lama dah tak bagi kesan dekat aku sebab dia ni dah berubah daripada tak suka aku dan sekarang ni langsung tak boleh berpisah dengan aku. Dialah kawan baik aku, cuma dia belum jadi isteri aku lagi.
Cakap pasal isteri, ya, aku memang bakal berkahwin dengan dia esok. Seronok, bukan? Akulah yang rasa seronok, bukan orang yang baca tulisan aku ni.
Nama dia Mira Mazwan. Wanita yang mempunyai keperibadian sama seperti sebuah berlian. Cuma bezanya adalah berlian yang dikatakan mineral yang sangat sedikit dekat bumi ni pun boleh kata bersepah dekat mana-mana, tapi Mira ada satu sahaja dalam dunia ni. Siapa-siapa yang jumpa dia pasti akan memujanya. Tapi, kalau aku tahu ada sesiapa dekat luar sana memuja bakal isteri aku, sila berjaga-jaga sebab malaikat maut akan sentiasa memerhati orang tu. Tidaklah begitu tinggi orangnya, maka, dia tak layak nak masuk pertandingan Ratu Malaysia tapi dalam Reader's Digest edisi bila aku tak pasti, ada ayat macam ni – "Girls who lack height will be the prettiest one". Aku susah nak percaya ayat-ayat yang nak lariskan jualan buku ni tapi aku setuju dengan ayat tu. Mira. Maha cantik. Fakta.
Tapi orang kata cantik tu subjektif. Tipulah kalau aku cakap aku tak bersyukur sebab dia cantik tapi apa yang sebenarnya paling menonjol bagi seorang Mira adalah hatinya. Dalam ringkasan, dia sangat penyayang, senyumannya seperti virus pandemik yang berjangkit dengan hanya melihatnya, dan sangat tak memandang duniawi. Cukuplah panjang tu aku lukis perwatakannya, tak perlu aku takbur dengan apa yang ada pada bakal isteri aku.
Nak rancang perkahwinan itu payah. Setahun lebih kami merancang hanya untuk dua hari majlisnya. Anugerah Juara Lagu pun tak dirancang lama macam ni. Kenapa, kau tanya, aku rancang lama sangat? Aku ada bagitahu ke yang ayah aku seorang ahli politik? Belum eh? Maaf. Ayah aku seorang ahli politik yang dikasihi orang. Macamana dia boleh dikasihi orang? Itu aku tak tahu sebab itu semua permainan politik. Jadi, sebab tu perkahwinan aku wajib cemerlang di mata ayah supaya dia dapat menjaga namanya. Itulah yang kelakarnya pasal perkahwinan ni. Aku yang nak kahwin, tapi dia ajak kawan dia lagi ramai daripada kawan aku. Dia nak kahwin ke aku yang nak kahwin? Tapi itulah kan, adat Melayu. Kalau tak buat besar-besaran, nanti mulut orang tak berhenti bercakap sebab ayah aku kan public figure. Melayu.
YOU ARE READING
(preview) VELVET - sebuah novel Ikmal Ahmad
Mystery / ThrillerVersi cetak VELVET kini boleh dibeli online di fixi.com.my atau whatsapp 01123651972. Akan masuk kedai-kedai biasa Januari 2016. * Sinopsis: Untuk meraikan harijadi Mira ke-20 tujuh tahun dahulu, Akim melamar dirinya untuk menjadi kekasih hatinya- s...