PENERBANGAN yang memakan masa dua belas jam itu langsung tidak mampu melelapkan mata Tasyanavella Ahmad Saufi. Setelah lima tahun mencurahkan bakti di negara orang, akhirnya dia kembali ke tanah air meski tidak pasti tentang status dirinya kini. Apa yang pasti, dia bakal dinaikkan pangkat lagi dan ia bermakna skop, cabaran, amanah dan tanggungjawabnya menjadi semakin besar dan bertambah banyak. Tapi, entahlah dia tidak pasti lagi. Dahulu, iyalah. Memang inilah yang diimpikannya. Mahukan kejayaan dalam hidup kerana dia tahu dia adalah seorang wanita yang tidak pernah berpuashati dengan kejayaan diri sendiri. Kerana itu dia mahu mencipta kejayaan demi kejayaan.
Entahlah, itu semua adalah lima tahun yang lalu. Sewaktu usia di akhir dua puluhan. Kini dia mahukan kehidupan berkeluarga. Dipenuhi dengan gelak tawa anak-anak. Kadangkala cemburu melihat rakan-rakan lain yang sudah berkeluarga, yang mana turut dipertanggungjawab dengan tugas yang sama seperti dirinya. Memaksa mereka membawa keluarga berhijrah ke perantauan. Lima tahun lalu, ada rakan yang baru melangsungkan perkahwinan dan kini, rakan itu sudah dikurniakan sepasang anak lelaki dan perempuan yang comel. Ada jugak rakan lain yang dahulunya mempunyai bayi berumur setahun tetapi kini sudah mula bersekolah. Dan ada juga anak rakan yang akan mendaftar di high school selepas cuti musim panas nanti. Tetapi dia? Masih berada di takuk sama, tidak ada apa-apa perubahan.
Haih. Tasya mengeluh melihat awan yang putih di luar tingkap kapal.
Oh, mungkin tidak. Aku mungkin tidak bersendirian. Mungkin 'dia' juga masih berada di takuk yang sama. Tidak ada apa-apa perubahan. Dan aku akan gunakan alasan dan sebab tersebut untuk memudahkan aku mendapatkan penjelasan tentang status kami berdua untuk tinggalkan dia dan mencari seseorang, fikir Tasya dalam hati.
Disebabkan cemburu dan umur yang semakin meningkat, dia mengambil keputusan untuk balik semula ke Malaysia. Menolak tawaran untuk terus berada di negara orang walaupun ditawarkan dengan gaji yang lumayan. Dia sudah tidak mahu kenaikan pangkat atau gaji yang lumayan. Dia mahukan kehidupan berkeluarga, seperti rakan-rakannya yang lain. Hendak pulang ke tanahair dan bertemu dengan seseorang untuk mengetahui statusnya. Sekiranya status dirinya sudah berubah, ia bakal memudahkan rancangannya untuk mencari insan lain yang lebih berjaya serta memulakan hidup baru dengan insan tersebut dalam kadar yang segera. Sangat rapi perancangan hidup yang sudah diblueprint dalam fikirannya itu. Langsung tidak berasa bahawa dirinya bersikap agak kejam, kepada diri sendiri dan juga kepada insan yang berada dalam fikirannya kala itu.
Err, masih ada ke orang yang nak janda tiga puluh tahun macam aku ni?
Eh, tapi aku janda ke?
Tapi, err, aku tak rasa aku masih isteri dia...
Ah, tak tahu!
Tasya tutup mata, ketap bibir dengan kenyataan yang menghempap kepalanya seperti sebiji batu besar yang jatuh dari langit secara tiba-tiba.
"Mommy, I'm hungry," telinganya menangkap suara comel seorang budak perempuan yang duduk di tengah antara ibu dan bapanya. Suara comel tersebut membuatkan Tasya membuka mata seraya menoleh. Dalam perkiraannya, kanak-kanak itu mungkin dalam lingkungan umur tiga tahun.
Comel! Bisiknya dalam hati. Tidak sedar bibirnya mulai menguntum senyum.
"Do you want to eat sandwiches?" soal ibu kepada anak perempuan comel itu. Kanak-kanak comel itu mengangguk. Ibunya menyuakan sekeping sandwich lantas disambut oleh tangan mungil budak perempuan itu sebelum dia memasukkannya ke dalam mulut. Nampak benar laparnya.
Tasya leka memandang kedua beranak itu sambil membayangkan dirinya berada di tempat wanita tersebut. Berfikir, menimbang baik dan buruk tentang jalan yang sudah dipilihnya. Sekiranya lima tahun lalu dia membuang ego dan mengenepikan maruahnya, mungkin hari ini dia mempunyai seorang anak perempuan comel sebaya kanak-kanak tersebut. Oh, mungkin tidak. Fikirannya kemudian meyakinkan dirinya bahawa mustahil untuknya mengecapi bahagia memikirkan mustahil baginya menjaga orang lain apabila hatinya masih inginkan kejayaan dan kepuasan diri. Apabila dirinya masih mahukan kehidupan yang bebas tanpa orang lain bergantung padanya. Dan mugkin juga kerana dia tidak mampu meletakkan hidupnya kepada seorang lelaki yang tidak tentu hala hidupnya.
YOU ARE READING
THE ACCIDENT
RomanceA short story written for a sole purpose of joining a competition. Unfortunately, I didn't make it. So, think I pasted everything in here for everyone's reading and comment. Cheers! Do follow me, k? :) P/S : Kisah ini tidak ada kaitan dengan yang hi...