Hari itu, hari ulang tahun perkahwinan aku bersama suamiku yang tercinta, Fakhri Adli. Ini tahun yang keempat kami hidup bersama menjalani kehidupan rumah tangga yang cukup bahagia. Bagi orang lain mungkin ulang tahun perkahwinan akan diraikan dengan penuh kegembiraan namun, tidak bagi kami berdua. Aku dikejutkan dengan apa yang dikhabarkan oleh doktor bahawa suamiku, Fakhri Adli disahkan menghidap Leukemia setelah seminggu dimasukkan ke hospital. Ya Allah, rasa luluhnya hatiku ketika mendengar bait-bait kata yang keluar daripada mulut doktor itu. Aku memandang raut wajah suami aku yang keihatan tenang menerima penerangan daripada doktor lelaki yang dalam lingkungan 40 tahun itu.
''Doktor, ada harapan untuk suami saya sembuh?'' soalku perlahan dalam mengawal emosiku.
''Maaf, puan. Ketika ini saya tak mampu memberi sebarang jaminan kerana penyakit Leukemia yang dihidapi oleh Encik Fakhri berada diperingkat kronik. Kandungan sel darah putih dalam tubuh Encik Fakhri semakin bertambah dari hari ke hari. Keadaan Encik Fakhri juga semakin lemah,'' terang Mr. Nazri, Pakar Hematologi yang merawat suamiku. Riak wajahnya aku nampak tenang menyampaikan berita namun, terselit juga simpati dalam gaya profesionalnya.
Aku bertambah sebak mendengar penjelasannya. Ketika ini, hatiku bagai dibawa pergi daripada jasadku yang hampir rebah ke bumi. Bayi dalam kandunganku yang berusia enam bulan bergerak-gerak dan menendang perutku seakan memahami situasi Ibu dan ayahnya ketika ini. Kandunganku ini merupakan anak kedua kami. Anak sulung kami, Darwisy Hakimi yang berusia tiga tahun kini berada dalam penjagaan ibu mertuaku buat sementara waktu. Maklumlah dalam seminggu ni aku terkejar-kejar dengan tugasku sebagai isteri, ibu dan pendidik.
''Encik Fakhri dan Puan Farhana jangan risau. Kami sebagai doktor akan cuba yang terbaik dalam merawat apa jua penyakit cuma pengakhirannya kita serahkan segalanya kepada ALLAH S.W.T kerana DIA yang Maha Penyembuh. Saya berharap awak berdua tabah dan sabar dengan dugaan ini. Ingatlah setiap penyakit itu apa ubatnya, kecuali mati.'' Mr. Nazri lagi menyambung kata lagi sebelum berbincang semula dengan kumpulan perubatannya.
Aku mengambil tangan kanan suamiku dan menggenggam erat dengan harapan tindakanku ini akan menyuntik semangat dan kekuatan dalam diri suamiku.
''Abang...'' panggilku lembut.
''Ya, sayang. Abang tak apa-apa. Abang reda kalau ni dah takdir-NYA.'' Suamiku membalas lemah.
Aku sedar ketika ini mataku semakin memerah dan bila-bila sahaja air mata ini akan mengalir. Dugaan diulang tahun perkahwinan ini cukup mengacau emosiku ketika ini. Akhirnya, aku tak mampu menahannya. Aku menghamburkan tangisan didada suamiku.
Tangan suamiku mengusap-usap kepalaku yang dilitupi tudung bawal itu.
''Sayang, kena janji dengan abang yang sayang tak akan sedih. Abang tak nak sayang sedih. Abang nak sayang kuat. Kalau sayang kuat, abang pun akan kuat. Anak-anak kita pun akan kuat,'' pinta suamiku sambil tangannya bergerak ke arah perutku yang membawa benih cinta kami.
''Sayang janji, bang.'' Aku membalas lemah sambil memegang erat tangannya.
***
Sejak suamiku disahkan menghidap penyakit Leukemia, kehidupan kami sekeluarga sedikit berubah dek badai ujian yang ALLAH S.W.T beri kepada kami. Kini suamiku tidak mampu bekerja lebih sedikit kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Jika sebelum ini, suamiku akan ke tapak pembinaan kerana tugasnya sebagai Juruukur bahan. Kini, situasi itu telah berubah. Suamiku hanya melakukan kerja di pejabat dan memantau sekali sekala di tapak projek syarikatnya. Suamiku mudah letih dan penat. Tenaganya sudah tidak seperti dahulu. Aku yang banyak menguruskan hal rumah tangga. Jika sebelum ini tugas ke pasar dan membeli barang dapur kami lakukan bersama namun, dek ujian ini aku perlu melakukannya sendirian.