AKU Kata

5.4K 246 9
                                    

AKU kata kalau selimut jatuh dari katil masa tengah malam, lebih baik biarkan je.

Tapi Bella taknak dengar.

Malam itu, Bella hempas badan ke atas katil. Penat. Badannya lenguh dihambat penat, tubuhnya mahu urutan. Rambut dibiarkan lepas berjurai turun ke lantai. Bantal peluk dicapai, lantas dipeluk erat. Selimut ditarik membaluti tubuh gempalnya. Perlahan-lahan, matanya tertutup melayan ngantuk.

Bella terjaga. Kipas siling berpusing laju. Sejuk. Bella duduk di atas katil. Kegelapan mengaburi retina namun dia pasti, selimutnya jatuh ke lantai. Patutlah badannya sejuk semacam. Bella kembali baring dan selimut ditarik kembali membaluti badan. Selesa. Bella tertidur beberapa saat selepas itu.

Sup!

Bella terjaga apabila selimutnya jatuh semula ke lantai. Bella pelik, dia masih dalam posisi tidur yang sama. Macam mana selimut boleh jatuh semua ke lantai? Fikiran negatif dibuang jauh-jauh. Hanya tangan yang mencari selimut di atas lantai. Capai. Tarik. Selesa. Bella kembali lena.

Sup!!

Bella terjaga. Selimutnya ditarik, Bella pasti. Seakannya ada yang merentap selimut yang membaluti tubuhnya. Sejuk kembali menggigit tubuh badan. Bella berpaling perlahan-lahan, melihat ke arah selimut yang bergumpal di atas lantai. Bella mencapai selimut tersebut lantas kembali menyelimutkan badannya yang sejuk. Bella baru sahaja menutup mata, apabila

Sup!

Selimut ditarik kasar. Bella separa menjerit lantas bangun terduduk di atas katil. Mata terbeliak. Dia pasti ada yang menarik selimutnya kerana sebentar tadi, dia rasa pahanya disentuh tapak tangan seseorang.

Bella berpaling melihat lantai. Mulutnya pantas dikatup. Di atas lantai, kelihatan selimutnya bagaikan membaluti tubuh badan seseorang. Figura kaku itu membuatkan ketakutan Bella memuncak, siapa pula yang berada di dalam rumahnya?!

Di bahagian kepala figura yang berselimut itu, Bella dapat lihat selimutnya turun naik. Figura itu bernafas!!

Perlahan-lahan, Bella mencapai hujung selimut. Satu, dua...

Tiga!!

Selimut direntap kasar. Bella menjerit lantang. Di sebalik selimut itu, ada budak kecil dengan mata putih semua tersenyum lebar dengan bahagian tengah dahi yang terkoyak menampakkan isi. Rambutnya panjang mengurai di atas lantai.

Bella menutup seluruh badan dengan selimut. Badannya menggigil ketakutan.

Tiba-tiba, badannya dipeluk dari arah belakang. Nafas sejuk menghembus lehernya membuatkan roma Bella berdiri tegak.

Bella sekali lagi menjerit dan pengsan tidak lama kemudian.

Tulah, siapa suruh tak dengar cakap AKU.

TAKUT HANTU 3Where stories live. Discover now