Assalamualaikum….
Kehadapan insan yang paling ku cintai sepanjang hidup ini, Emilia.
Akhirnya segala yang kuimpikan bakal menjadi kenyataan… aku bersyukur kerana kita bakal dipertemukan di saat-saat paling diimpikan oleh kita berdua. Mungkin apa yang terjadi selama ini ada hikmahnya. Aku akur dengan kehendak-Nya, kerana hanya Dia yang tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Adakah kau menerimanya? Adakah kau akur dengan suratanNya?
Maafkan aku kerana terlalu lama membuat kau menunggu. Kau tahu apa perasaanku padamu selama ini. Cuma untuk mendengarnya dari mulutku, ku akui terlalu amat payah. Aku terlalu sukar mengucapkan kata-kata itu padamu. Bahkan sehingga kau berlalu pergi bersama Hilman pun aku masih tersenyum seolah-olah rela kau dibawa pergi, seolah-olah hati ini tak pernah punya apa-apa rasa terhadapmu, masih tersenyum seolah-olah hati ini takkan menangis dan terluka dengan kepergianmu. Aku tahu itu bukan salahmu. Semuanya salahku yang tak pernah berterus terang tentang perasaanku padamu.
Adakah kau masih ingat saat kita mula-mula dipertemukan? Ah, aku masih ingat betapa comelnya dirimu dalam gaun ropol serba biru itu. Kau tersenyum padaku dan aku menghulurkan tangan untuk bersalam denganmu. Papa dan mamaku sangat gembira melihat aku punya teman baru. Begitu juga dengan ayah dan ibumu. Hilang sudah Hakim yang sentiasa muram dek kerana tiada teman bermain. Kau masih ingat lagi rumah banglo keluarga ku di atas Bukit Hijau itu? Sunyi dan sepi sehingga lah keluargamu berpindah ke kawasan itu.
Kita selalu menghabiskan masa bersama-sama. Seawal usia 10 tahun, kita sudah pun menjalinkan persahabatan yang kukira cukup kukuh dan bermakna untuk kita berdua. Kita membesar bersama, bersekolah yang sama. Aku masih ingat lagi bagaimana kau menolak untuk bersekolah asrama yang cukup terkenal itu semata-mata untuk bersama denganku. Aku sungguh gembira ketika itu. Kita tetap bersama dalam suka dan duka, sehinggalah usia menjejak remaja.
Ketika kita sama-sama melangkah dari zaman kanak-kanak ke alam remaja, kau menjadi seorang gadis sunti yang sangat indah. Keindahan wajahmu, telah membuat hatiku terdetik suatu perasaan aneh yang semakin hari semakin menjalar dan membuatkan aku semacam kaku. Adakah itu cinta? Aku cuba menyoal diriku. Namun, aku hanyalah seorang lelaki yang masih belum matang dalam membicarakan soal hati dan perasaan. Malah, sebenarnya aku takut hanya aku sahaja yang bertepuk sebelah tangan, sedangkan kau mungkin hanya menganggap aku sekadar teman biasa. Aku cuba membuang perasaan itu, tetapi amat sukar bahkan terlalu sukar apatah lagi setiap masaku dihabiskan bersamamu.
Sejak bila cintamu berputik untukku? Sejak bila kau menyimpan perasaan padaku? Sukar untukku mentafsirkannya. Kerana kau tak pernah menyuarakannya. Kau tak pernah menyatakannya. Sehinggalah tamat waktu persekolahan. Kita sama-sama mengenggam azam untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Namun, hanya aku yang bernasib baik. Masih ingat lagi seminggu sebelum ku bertolak ke Ireland untuk mengejar cita-citaku sebagai seorang doktor? Kita telah bertemu di bawah pohon tanjung di kaki Bukit Hijau. Kau menyatakan kesesalan kerana tidak dapat bersamaku. Kau menitiskan airmata yang tak pernah kupastikan samada ianya kerana kegagalanmu ataupun kerana pemergianku. Ingin saja aku memelukmu dan mengeringkan airmata mu ketika itu. Tetapi aku masih sedar batas antara kita. aku melihat lagi airmata itu tatkala keluargaku dan keluargamu menghantarku di lapangan terbang. Kau menangis hiba. Ingin saja aku berlari mendakapmu dan mengecup dahimu dan mengucapkan, “Sayang, jangan kau menangis. Aku kan pulang dengan seribu kebahagiaan dan pastikan kau menungguku bersama cinta.” Tapi aku tak mampu. Dan aku melangkah jua demi menggapai cita-cita dan ilmu untuk menempuh hari kelak.
Kita jauh di mata namun terasa dekat di hati. Surat-surat dan emel dari mu menjadi penawar kalbu. Bait-bait karanganmu itu membuai rinduku padamu. Aku masih ingat lagi, nada tulisanmu sedikit ceria apabila kau mengkhabarkan padaku yang kau telah mendapat tawaran untuk memasuki IPTA. Aku turut berbahagia untuk dirimu. Dan juga nadamu yang sedikit manja dan kurasakan penuh kasih menambahkan kesyahduanku. Tapi itu juga yang menjadi pendorong bagi meneruskan cita-cita ku. Menjadi kekuatan dalam meneruskan hari-hariku yang jauh beribu-ribu batu dari keluargaku dan dirimu.