CAKAP.... CAKAP

221 21 42
                                    


Di Suatu petang, di sebuah kampung. Hujan lebat bertalu-talu menghempap bumi. Air berselut mengalir banyak. Lecah dan berlumpur semua tanah di kampung itu. Angin kuat bertiup kencang. Hadir bersama hujan lebat. Menggoncang pokok-pokok getah yang banyak di tanam di kawasan belakang kampung itu. Bunyi desiran angin membingitkan telinga.
Hujan semakin kuat, angin semakin mengganas. Merobek akar pokok-pokok muda. Anak pokok getah yang muda ditumbangkan. Dahan yang berat terlerai. Jatuh ke tanah. Batang pokok yang lama dan buruk patah dibadai angin. Mencorak alam hijau tanpa disedari manusia.
Kampung Kuala Tiga tidak henti-henti disimbah hujan. Di mana-mana saja pokok bergoyang bagai penari yang mengikut rentak muzik. Sungai pula semakin meninggi paras air. Tanah merah semakin berlumpur. Tebing dan cerun dikikis air deras yang mengalir tidak henti-henti.
Kehadiran hujan lebat dianggap perkara biasa. Angin jahat yang meruntuh dan menumbangkan pokok dibiarkan saja. Redha dengan kuasa alam. Namun bersyukur kerana itu adalah rahmat. Bagi mereka yang taat kepada Allah swt.
Tapi tidak semua begitu. Ada yang masih leka dengan hiburan dunia ciptaan mereka. Di tengah kampung itu adanya sebuah kedai kopi yang sangat popular. Sentiasa penuh dengan kehadiran lelaki kampung. Yang dewasa dan tua belaka. Berkupiah atau berkain pelikat. Ada yang tidak berbaju bahkan ada yang melepak sejak pagi hingga ke petang. Dari petang sampai ke malam.
Bila petang lagi meriah kedai kopi itu. Riuh dan bising mengalahkan Jom Heboh. Di satu penjuru ada yang asyik bermain karom. Di penjuru lain pula ada yang asyik bermain dam haji. Ada dua papan dam haji.
Jika menang disorak menggila. Jika kalah di boo mengganas. Mereka bermain dengan bersungguh-sungguh. Bahkan ada terasa hati bila diperli, maruah dimalukan. Yang tidak tahan akan marah. Mengamuk dan bergaduh. Tidak bertegur sapa. Bila marah sudah hilang bertemu kembali di gelanggang dam haji.
Begitulah rutin harian lelaki dewasa penduduk Kampung Kuala Tiga. Yang hidup menoreh pokok getah di pagi hari. Waktu petang pula lepak di kedai kopi.
Di satu penjuru, di bahagian dalam kedai kopi. Dan jauh sedikit daripada meja karom dan dam haji. Ada seorang pak cik berusia 50-an. Berkupiah dan berkain pelikat. Sesudah solat Asar di masjid tadi dia singgah di kedai kopi. Mahu menghirup teh panas kegemarannya. Yang tersohor di kedai kopi Pak Da Wahab.
Pak cik tu dikenali dengan nama Pak Mat Hitam. Dek kulitnya yang hitam macam negro. Dia seorang yang banyak cakap. Suka bercerita. Gosip sana-sini. Bercakap besar.
Sedang Pak Mat Hitam asyik menikmati teh panas, tiba-tiba datang seorang budak dari dalam hujan yang lebat. Dia  menggosok rakus rambutnya yang basah. Mujurlah ada payung, tidaklah basah kuyup.
Budak itu menjerit ke arah Pak Da Wahab. Dia pesan mee goreng daging dua bungkus. Kemudian dia melenyekkan pinggulnya di bangku kayu. Berkongsi meja dengan Pak Mat Hitam.
Pak Mat Hitam menjeling ke arah budak itu. Macam pernah nampak. Anak siapa, ya? Tiba-tiba dia menegur budak itu. Bertanyakan rumah di mana? Anak siapa?
Budak itu menjawab spontan. Tidak rasa segan atau malu. Terangguk-angguk Pak Mat Hitam. Sebaik mengenali ibu bapa budak itu. Rupanya sekampung juga.
Pak Mat Hitam mula bercakap banyak. Bermacam-macam yang ditanya. Tapi dijawab dengan elok oleh budak itu. Baik sungguh budak itu. Melayan karenah Pak Mat Hitam yang suka bergosip.
"Kau nak dengar cerita hantu?"
Tiba-tiba saja Pak Mat Hitam bertanya. Niatnya mahu mengusik budak itu. Biar tidak tidur malam bila dengar ceritanya nanti.
Budak itu tergamam. Hendak menolak takut dikata kurang ajar. Dia mengangguk perlahan.
Pak Mat Hitam pun memulakan cerita hantunya. Cerita pasal Penunggu Bas Berdarah. Ceritanya begini, ujar Pak Mat Hitam.
Ada seorang lelaki dewasa, berumur lewat 20-an. Dia seorang jurugambar profesional. Suka mengambil gambar alam flora dan fauna.
Dia ke Lata Kijang. Mengambil gambar keindahan pokok-pokok hutan di sana. Dan yang paling menggamat jiwa adalah keindahan air terjun enam tingkat. Dia mencabar diri mahu mengambil gambar air terjun di waktu senja. Tika matahari hendak tenggelam. Gambar ketika itu sangat cantik.
Lebih kurang jam 8 malam dia mahu pulang. Tadi masa datang dia naik teksi dari pekan Kampar. Waktu malam begini susah hendak cari teksi. Mujurlah ada yang bagi tumpang. Membawanya keluar dari Lata Kijang hingga ke perhentian bas yang berhampiran.
Menurut penduduk tempatan, bas terakhir tiba jam 8.15 malam. Jurugambar itu sampai di perhentian bas jam 8.16 malam. Resah mula bertaut. Ada atau tidak bas. Kalau tiada matilah aku.
Tika resah semakin gelisah tiba-iba wajahnya dipancar oleh cahaya kekuningan. Cahaya itu semakin dekat. Datang bersama bunyi enjin berderau kuat. Lega rasanya. Bas sudah tiba.
Jurugambar itu mengukir senyum ke arah pemandu. Ingin berkongsi rasa kelegaan. Namun senyuman itu tidak dibalas. Bahkan wajahnya masam mencuka. Macam burung pungguk. Mungkin sebab penat. Kerja sampai lewat malam begini mesti penat gila.
Dia duduk di bahagian tengah sebelah kiri. Dekat tingkap. Bas mula bergerak perlahan. Dan tika bas hendak memecut laju tiba-tiba dia ternampak seorang budak lelaki berusia 13 tahun sedang berlari dan melambai. Budak itu mengejar bas di bahagian kiri. Budak itu mahu naik atas bas itu juga.
Jurugambar menjerit kuat.
Berhenti!!!.
Terperanjat pemandu bas. Serentak itu juga dia menekan brek. Terpelanting ke depan jurugambar. Begitu juga dengan beberapa orang penumpang yang ada dalam bas itu. Ada lima orang penumpang termasuk jurugambar.
Sebaik bas berhenti, budak berusia 13 tahun itu menghentak pintu bas. Pemandu bas pun buka pintu. Cepat-cepat budak itu naik. Bernada termengah-termengah sambil mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas.
Budak itu menjeling ke arah jurugambar yang turut memandangnya. Budak itu mengukir senyum. Tanda berterima kasih. Tanpa jurugambar itu belum tentu bas akan berhenti.
10 minit berlalu. Budak berusia 13 tahun itu bangun. Dia ke tempat duduk jurugambar. Dan tidak semena-mena dia menghulur sebuah buku. Bersaiz, buku latihan sekolah rendah.
Buku itu tidak tebal. Tidak juga nipis. Warnanya sudah lusuh. Bahkan di bahagian tepi sudah terkobek dan carik. Muka depannya tertulis tajuk 'Dongeng Kanak-Kanak'. Dan tiba-tiba budak itu bersuara.
"Abang telah bantu saya. Terimalah buku ni sebagai tanda terima kasih. Ini adalah pemberian ikhlas saya."
Tergamam jurugambar. Berasa sebak pun ada. Baik sungguh hatinya. Tidak suka makan budi.
Jurugambar mengambil buku itu. Dan hendak bertanyakan sesuatu. Belum sempat dia bersuara budak itu bersuara dulu.
"Tapi ingat... jangan baca muka surat terakhir."
Lagilah tergamam. Semakin pelik pula budak ni.
Budak itu menekan punat loceng. Bas pun berhenti. Cepat-cepat budak itu turun. Turun di tempat selekoh.
Jurugambar memanjang lehernya keluar tingkap. Dia mahu melihat ke mana arah budak itu pergi. Tidak sampai 2 minit budak itu sudah hilang dari pandangan mata.
Jurugambar itu memandang buku lusuh itu. Lama dia memandang tatkala fikiran bermain dengan persoalan kenapa budak itu tidak benarkan dia baca muka surat terakhir. Dia termenung. Membiarkan fikirannya bermain dengan persoalan itu. Yang pasti tiada jawapan. Kalau hendak tahu kenalah belek dan baca.
Keinginan mula menguasai jiwa. Fikiran  dihasut supaya bacalah. Bukalah muka surat terakhir itu. Bisikkan jahat terus menggoda sehingga tidak tertahan lagi.
Maka dibeleklah muka surat terakhir.
Tanpa berfikir panjang, jurugambar pun membaca. Sepotong ayat tertera di muka surat terakhir buku itu.
"Bangkitlah jiwa. Penunggu bas berdarah."
Dan tidak semena-mena bas berhenti dengan tiba-tiba. Enjin mati mengejut. Lampu depan bas terpadam. Begitu juga dengan lampu dalam bas. Keseluruhan bas bergelap dalam gelap malam yang pekat. Berhenti pula di jalan yang sunyi. Semua orang yang berada dalam bas panik, cemas dan keliru.
Pemandu bas cuba menghidupkan enjin tapi gagal. Berulang-ulang kali namun tidak berjaya juga. Semua orang panik. Berwajah gelisah. Perasaan takut tidak dapat disembunyikan lagi.
Dan tiba-tiba satu ngauman kedengaran. Bunyinya sangat menakutkan. Macam bunyi ngauman singa jantan tapi gerun dan ganas.
Menjeritlah semua yang ada dalam bas itu. Masing-masing mahu buka tingkap bas tapi entah kenapa semuanya berkunci seakan melekat. Kedua-dua pintu bas di depan dan di belakang juga tidak boleh dibuka. Terkunci rapat. Seakan dipaku dari luar. Tidak benarkan mereka keluar.
Tika mereka semua menjerit meminta tolong, menghentak-hentak pintu bas dan tingkap bas, muncul sepasang mata yang bersinar merah. Macam api merah yang membakar. Menjelma satu mahkluk berbadan besar dalam pekat gelap. Setinggi 9 kaki. Badannya berkulit basah, melekit seakan baru keluar dari tempat berair. Berwarna biru kehitamam. Separa manusia, separa binatang.
Kaki berkuku macam kerbau. Tangan berkuku panjang macam helang. Mulutnya besar ternganga luas dek giginya yang panjang tersembur keluar. Keseluruhan giginya macam taring bersaiz satu jengkal. Air liur melelih sebaik ternampak mangsa di depan mata.
Yang pertama menjadi mangsa pemandu bas. Mukanya dicakar dengan kuku tajam. Ditampar hingga melambung. Lalu perutnya dirobek dengan gigi taring yang tajam. Mahkluk itu melahap isi perut pemandu bas. Sungguh berselera melahap usus-usus perut.
Kemudian mahkluk itu menyerang. Melompat dan menerkam. Menggigit, mencakar, merobek mangsanya. Satu persatu tumbang. Menjadi makanan mahkluk yang laparkan usus perut manusia.
Keadaan dalam bas itu sungguh menggerikan. Darah merah yang pekat lagi hitam memercik di semua tempat dalam bas. Serpihan daging dan tulang beselerakan. Anggota badan terlerai dan terbelah dua. Kepala terputus. Sisa daging bersepah.
"Kebaikkan aku dibalas dengan kecelakaan."
Kata jurugambar sebelum menghembuskan nafas. Tatkala mahkluk ganas itu merobek dadanya dengan kukunya yang tajam.
"Apa yang kau tulis tu?"
Pak Mat Hitam bersuara.
"Cerita Pak Matlah. Saya suka tulis cerita hantu yang saya dengar. Saya tulis dalam buku ni."
Jawab budak itu bersahaja.
"Saya nak ke tandas kejap. Hujan-hujan begini asyik hendak kencing saja." Bebel budak itu lantas bangkit. Dan berlari anak ke bahagian belakang kedai. Ada tandas kecil di luar kedai.
Pak Mat Hitam merenung buku itu. Dia memandang tulisan budak itu yang cantik dan kemas. Macam tulisan orang dewasa. Seperti ditulis pakar tulisan khat. Tergamam Pak Mat Hitam.
Dia pun mengambil buku itu dan membaca sepintas lalu. Memang betul. Budak itu menulis ceritanya. Sebiji sama. Tiada satu patah pun yang ketinggalan. Semua yang terkeluar dari mulutnya ditulis.
Pak Mat Hitam terus membelek sehingga ke muka surat terakhir. Dia pun membaca ayat terakhir itu.
"Bangkitlah jiwa. Bangkitlah jiwa yang ada di kedai kopi ni."

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Oct 11, 2017 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

CAKAP.... CAKAPWhere stories live. Discover now