Misteri Kematian Suami Isteri

362 8 2
                                    

Misteri Kematian Suami Isteri

Percubaan pertama dalam menghasilkan cerita thriller, jenayah misteri dan penyiasatan. Mungkin tidak dapat menandingi novel-novel thriller yang lain, tetapi kami sedaya upaya cuba yang terbaik. Terimalah.

"Semua sekali RM12.50 sahaja" Penjaga kaunter itu tersenyum sambil memasukkan barang-barang tersebut ke dalam sebuah plastik merah. Wang kertas bersilih ganti dengan barang yang dibelinya tadi. Beg plastik merah di capai dan dia terus beredar dari kedai runcit di bawah rumah flatnya itu. Masuk hari ini sudah dua minggu Adam tinggal menyewa di rumah flat di pinggir bandar itu. Adam yang baru sahaja mendapat tawaran bekerja memilih untuk tinggal menyewa di flat tersebut. Oleh kerana kadar sewaannya yang agak murah Adam terus tidak berfikir panjang. Lagipun rumah flat itu berdekatan dengan tempat kerja barunya.

Adam menyewa dengan seorang lagi penyewa, Bakri namanya. Orangnya pendiam dan tidak banyak bercakap. Adam mendapat tahu ada kekosongan rumah itu apabila terlihat iklan yang disiarkan oleh Bakri di internet. Dia pada mulanya agak curiga apabila pertama kali sampai di rumah flat itu. Hal ini kerana keadaannya yang sunyi dan tiada ramai penyewa lain. Adalah dua-tiga keluarga yang menyewa di situ. Mungkin kerana rumah flat itu kedudukannya yang agak jauh sikit dari bandar yang membuatkan orang ramai tidak memilih untuk menyewa di situ. Bakri pula jarang berada di rumah oleh kerana kesibukan bekerja. Hanya malam sahaja dia akan pulang.

Adam berjalan melalui lorong di flat yang kelam dan sunyi itu. Amat berbeza dengan dengan flat-flat lain yang biasa Adam lihat. Tidak nampak langsung kelibat kanak-kanak bermain-main di lorong koridor, malahan hendak melihat penghuni lalu lalang pun agak payah sekali. Adam menyeluk kunci pintu rumah daripada jaketnya lalu memasukkan ke dalam tombol pintu. Suasana lengang dalam rumah itu sudah biasa dia hadapi. Bakri pagi-pagi lagi sudah pergi bekerja dan biasanya akan pulang lewat dalam pukul 9 malam. Tapi tengahari tadi Bakri ada menelefonnya bertanyakan tentang kunci pendua. Bakri beritahu Adam dia pulang sebentar ke rumah kerana tertinggal barang.

Perutnya sudah mula berbunyi irama duka, Adam perlahan-lahan bangun dan mencapai bungkusan plastik merah yang diletakkan di atas meja dapur. Paket yang berwarna kuning dan merah itu dibuka, Adam menuangkan isinya ke dalam mangkuk sebelum mencurahnya dengan air panas. Sementara menunggu ia kembang, Adam duduk bersandar di dinding ruang tamu. Matanya ligat memerhati keadaan rumah. Suasana sunyi flat itu membuatkan Adam dibuai perasaan seram. Jam baru menunjukkan pukul 8 malam, tetapi sunyinya seperti sudah menginjak pukul 12 malam. Kadang-kadang kedengaran juga bunyi jiran-jirannya pulang ke rumah. Rumah yang berpenghuni boleh dikira dengan jari.

Mee segera yang dibelinya di kedai runcit petang tadi menjadi pengalas merangkap makan malamnya. Sebenarnya daripada tadi dia memandang sahaja pintu bilik Bakri yang bertutup rapat. Adam pernah cuba untuk membuka tetapi pintu itu berkunci. Adam mempunyai tabiat pelik iaitu mudah memberi stigma yang bukan-bukan kepada orang berperangai misteri seperti Bakri. Dia bukanlah ingin berprasangka tapi sifat ingin tahunya cukup menebal. Lagi-lagi orang seperti Bakri. Kesibukan Bakri bekerja membuatkan Adam tidak mempunyai banyak masa untuk berbual-bual dan mengenali Bakri dengan lebih dalam lagi. Adam cuba berfikiran positif, baru dua minggu jadi mungkin lama kelamaan nanti dia boleh selesa dengan Bakri.

"Dum! Dum! Dumm!!"

Hampir tercampak mangkuk mee segera daripada tangan Adam. Adam terperanjat bukan kepalang apabila mendengar bunyi pintu rumahnya diketuk bertalu-talu. Dah lah dia sedang asyik mengelamun.

"Siapa?"

"Akulah, Bakri!"

"Tak kan kau tak ada kunci Bakri? Kan pagi tadi aku ada beritahu kau dekat mana kunci pendua tu?"

"Bukak je lah pintu, aku malas nak ambik kunci dalam beg ni!" Bakri sedikit bengang.

Adam membuka pintu yang berkunci itu. Kelihatan Bakri yang dalam keadaan basah lencun berdiri tegak di luar pintu. Seluarnya kotor dengan lecak dan tanah. Adam terus memerhati Bakri dengan muka yang aneh.

Creppy Pasta✔Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang