Keriuhan suara kaum Adam setelah mereka membuat acara pecutan dari kubur bernyawa itu, telah mengejutkan lena kaum Hawa yang sedang enak diulit mimpi yang indah. Merungut kaum Hawa dengan gegaran suara kaum Adam.
"Apa yang mereka bising lagi tu? Tak reti-reti nak tidurkah?" Era Kasmiran menarik nafasnya sambil merungut.
"Entah apalah yang mereka buat tengah-tengah malam ni." Aziham juga terasa geram apabila telinganya bingit disapa oleh suara-suara sumbang kaum Adam.
Husnarisyam yang tidak tahan mendengar suara carca marba kaum Adam telah keluar dari khemahnya. Pecah sungguh mengantuknya di kala itu. "Hei, apa yang kau orang bising-bising ni? Kau orang tahu tak dah pukul berapa sekarang? Tak reti-reti nak tidur?" Husnarisyam menyinga dan biji matanya meluruskan ke arah Firdee Aqasha, Syed Dahuri, Khirulnizan dan Zularman. Tiba-tiba sahaja Husnarisyam melihat keempat-empat jejaka itu berpelukan sesama sendiri sambil menggeletar tahap tidak boleh cakap. Husnarisyam mengerut dahinya tanda tidak faham.
Kenapa pula berpelukan sesama sendiri? Dah buang tabiat ke? Omel Husnarisyam di dalam hati.
"Hei, kenapa kau orang ni berpelukkan sesama sendiri? Macam orang tak betul aje? Dah buang tabiat ke?" sekali lagi suara singa Husnarisyam melantun keluar.
Keempat-empat mereka tidak mampu untuk mengeluarkan sebarang suara. Pelukan sesama sendiri makin dieratkan. Hal itu sungguh luar biasa sekali dan tidak pernah sekali pun disaksikan oleh Husnarisyam membuatkan gadis itu menggaru-garu dagunya yang tidak gatal.
"Cer citer dengan aku, kau orang ni kenapa? Betul-betul dah buang tabiat ya?" bebola mata Husnarisyam masih tepat melurus ke arah mereka berempat. Husnarisyam dapat melihat dengan jelas sekali air liur yang begitu sukar cuba ditelan oleh mereka berempat. Suara masing-masing masih terkurung di dalam petinya. Hanya jari telunjuk mereka sahaja yang menunjukkan ke arah Husnarisyam.
Dia orang ni apa hal ya? Apa yang dia orang tunjukkan? Semakin pening Husnarisyam hendak memahami bahasa isyarat tubuh yang ditunjukkan oleh mereka berempat. Tiba-tiba sahaja bebola mata Husnarisyam melencong ke arah sebelahnya dengan mengikut isyarat tangan keempat-empat jejaka itu. Husnarisyam memandang dari atas sehinggalah ke bawah objek yang berada di sebelahnya tanpa rasa takut mahupun gerun. Sedangkan kaum Adam sudah pun menggigil sakan. Ada di antara mereka sudah mahu terkucil di situ juga.
"Siapa yang bawa nenek tua ni ke sini, hah?" lantang sungguh lontaran nada suara Husnarisyam kepada kaum Adam. Hairan sungguh kaum Adam melinat pada telatah Husnarisyam yang tidak sedikit pun mempamerkan riak takut pada wajahnya. Siap boleh tanya dengan selamba sekali.
"Nenek ikut mereka cu .... Tolong nenek cu .... Nenek dari kubur sesat di sana. Mereka telah menggerakkan nenek. Tolong nenek cu ...." mendayu-dayu suara nenek tua itu menjawab pertanyaan Husnarisyam membuatkan gadis itu mematung tanpa suara. Husnarisyam tidak mampu hendak membuat apa-apa walaupun untuk membuka langkah seribu. Matanya semakin terpasak pada raut wajah nenek tua yang kelihatan hangus.
"Apa dah jadi ni?" Jhaznarul tiba-tiba keluar dari khemahnya. Al-Quran masih lagi kukuh di dalam genggamannya. Dia tidak berganjak sedikit pun dari terus berdamping dengan buku suci ALLAH itu.
"Cu .... tolong nenek cu ...." nenek tua yang melihat Jhaznarul terus meluru ke arahnya.
Jhaznarul sekali lagi terkedu kerana dia tidak menyangka teman-temannya telah membawa nenek tua itu ke tapak perkhemahan mereka. "Hei, kau orang bawa dia ke sini eh? Kau orang dah hilang akal ke?" kini rengkung Jhaznarul pula amat payah hendak menelan sebarang liur.
"Kami mana tau dia nak ikut. Kami dah buat acara pecutan tadi." Syed Dahuri membela diri.
"Kau orang sengaja menempah nahas. Aku dah cakap, jangan pergi tapi kau orang degil. Sekarang kau orang tengok, apa yang kau orang bawa pula. Isy." Jhaznarul menggeletar di hadapan khemahnya.
"Cu .... tolong nenek cu ...." nenek tua itu hendak memegang bahu Jhaznarul tetapi nenek tua itu tidak dapat berbuat demikian apabila di tangan Jhaznarul masih kukuh tergenggam al-Quran.
"Argh!" tubuh nenek tua itu terdampar jatuh tetapi dia tidak berputus asa dan cuba bangun untuk menghampiri Jhaznarul lagi.
"Cu .... buangkan buku itu cu. Tolong nenek cu ... Nenek merayu, tolong nenek cu ..." sekali lagi nenek tua itu terpelanting ke belakang. Manakala kaki Jhaznarul pagaikan terpasung di situ tanpa mampu untuk bergerak.
"Apa yang kecoh-kecoh ni? Orang nak tidur pun tak senang. Kau orang ni tak ada akal ke, dah tengah-tengah malam buat bising? Suara siapa yang bingit tu?" Zunika yang terganggu tidurnya sudah tidak tahan lagi lalu keluar untuk menyelesaikan sendiri kekecohan yang sedang tercetus.
Kaum Adam hanya membisu seribu bahasa. Tidak mampu untuk membaling atau melontarkan sebarang suara. Kaki mereka bagaikan terpasung di tanah tanpa mampu bergerak sedangkan tubuh badan mereka masih berpelukan sesama sendiri. Keadaan kaum Adam pada waktu itu cukup menghairankan Zunika dan sesekali dia berasa lucu melihat tayangan perdana yang jarang ditonjolkan.
Zunika ketawa geli hati sebelum melontarkan suaranya semula. "Kau orang ni kenapa berpelukan macam ternampak hantu? Ke kau orang ni dwi?" Zunika terus mempersenda mereka sehingga terbangkit rasa sakit hati di hati Khirulnizan.
"Cakap sopan-santun sikit. Kami bukan macam itulah." Khirulnizan mempertahankan dirinya dan rakan-rakan yang lain.
"Habis, yang berpelukan tu kenapa? Haa ... yang kau macam patung cendana ni, apa hal pula Risyam?" Zunika semakin pelik melihat keadaan teman-temannya yang berada di luar lingkungan bulatan biasa. Pertanyaan Zunika langsung tidak dibalas oleh Husnariyam. Hanya mata gadis itu sahaja yang menyorot ke arah hadapan seakan sedang melihat sesuatu.
"Kau tengok apa kat depan tu?" Zunika turut mengekori gerak mata Husnarisyam dan tiba-tiba sahaja ...
"Cu ... tolong nenek cu ... Tolong nenek ...." suara nenek tua itu kembali mendayu-dayu meminta pertolongan daripada Zunika pula.
Terbalalak mata Zunika pada waktu itu. Patutlah mereka berpelukan, menggigil dan terpasung bagaikan patung cendana. Rupa-rupanya ada kejadian yang berlaku. Zunika menelan liurnya. Dadanya dilambung amukan perasaan yang cukup sukar untuk dimengertikan.
"Cu .... tolong nenek cu ..." sekali lagi kedengaran suara nenek tua itu merayu dan cuba menghampiri Zunika.
"Hei, siapa yang bawa dia ke sini? Cepat siap! Tercegat apa lagi? Kau orang nak mampus ke? Aku masih sayangkan nyawa aku." Zunika tidak berlengah lagi lalu dia masuk ke dalam khemah dan mencapai senaskah al-Quran (nasib baiklah Jhaznarul selalu mengingatkan mereka agar membawa al-Quran ketika berkhemah untuk keselamatan, katanya. Tidak disangka, naskah itu begitu berguna sekarang) dan terus berkhemas setelah menggerakkan teman-temannya yang lain. Tidak sanggup lagi untuk berlama-lama di situ.
Mereka berkemas apa yang patut dan bersedia untuk membuat acara pecutan ke arah van yang telah disewa oleh mereka yang berada di bawah bukit. Nasib baiklah mereka tidak berkhemah jauh dari tempat van ditinggalkan. Kalau tidak, aniaya sahaja.
Husnarisyam masih menjadi patung cendana. Dia tidak mampu bergerak walau seinci pun. Dia masih terkejut dengan keadaan itu. Jhaznarul yang melihat keadaan Husnarisyam terus mencempung buah hatinya untuk dibawa ke van mereka. Walaupun Jhaznarul tahu memegang seorang gadis yang bukan muhrim itu haram tetapi di dalam keadaan darurat begini, rasanya tidak salah kot. Iyalah, takkan hendak ditinggalkan pula Husnarisyam seorang diri di situ. Buatnya nenek tua itu membawa gadis kesayangannya ke dalam kubur, takkah naya namanya tu? Daripada dia berputih mata, lebih baik dia selamatkan dahulu habibinya.
"Cu ... jangan tingggalkan nenek cu. Tolong nenek cu ..." nenek tua itu tetap meraung dengan suara yang cukup mendayu-dayu kepada mereka. Namun tidak seorang pun daripada mereka yang mahu menunggu ataupun menolong nenek tua yang cukup mengerikan itu. Lagi pantas acara pecutan yang mereka lakukan. Di saat itu, sakit kaki pun tidak terasa lagi. Yang penting, nyawa mereka selamat.
FYI: Boleh dapatkan dalam versi cetak di karangkraf mall atau hubungi no Whatssapp (011-2906 12400 untuk dapatkan Kubur Bernyawa untuk mengetahui versi penuh.
YOU ARE READING
Kubur Bernyawa
De TodoSiNOPSIS Sekumpulan remaja dari Kolej Imanshah telah mengadakan perkhemahan di Hutan Simpan Kaffi ketika bermulanya cuti semester pertama di tahun yang terakhir itu. Asalnya mereka ingin menenangkan fikiran sebelum menempuhi semester yang terakhir...